Ramadan bawa ceria, Syawal lebih bermakna! LZS bantu 3 ahli KARIB! Terima pelbagai bentuk bantuan!
Published byIRWAN Sulaiman bersama replika bantuan LZS.
JALINAN kerjasama strategik yang tementerai antara Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membawa hasil positif apabila tiga orang ahli KARIB menerima bantuan daripada LZS baru-baru ini.
Ketiga-tiganya, Irwan Sulaiman, Anita Ismail dan Noor Azmi Mat Nor adalah penerima pelbagai kategori bantuan bertepatan dengan hasrat KARIB untuk membantu ahli-ahlinya yang terdiri daripada bekas kakitangan akhbar Berita Harian dan Harian Metro.
Irwan yang kini mengambil tanggungjawab menjaga kesemua enam orang anak Allahyarham Kamaruzaman Pid menerima bantuan berbentuk kewangan bulanan mulai Mac, 2023, bantuan keperluan pendidikan, bantuan kecemasan tunai sebanyak RM500 serta bantuan Ramadan dan Hari Raya 2023.
Allahyarham Kamaruzaman yang meninggal dunia pada Disember, 2022, merupakan bekas wartawan Harian Metro dan tidak mempunyai pencen sementara Allahyarhamah isterinya yang meninggal dunia pada 2017 adalah seorang guru dan menerima pencen.
Namun, buat masa ini pengurusan pencen tidak dapat diuruskan kerana penerima pencen sebelum ini adalah Allahyarham bapa kepada anak-anak yatim piatu itu. Proses urusan pencen kepada penerima baharu, iaitu anak sulung Allahyarham, Sufiyah Raihany akan mengambil masa untuk diproses.
SELAIN bantuan kewangan, Irwan turut menerima bantuan berupa barangan keperluan daripada LZS.
Irwan melahirkan rasa syukur kerana bantuan LZS datang tepat pada waktunya ketika beliau sangat memerlukan sokongan kewangan untuk memastikan kehidupan anak-anak saudaranya itu terus terbela.
“Saya menganggap tanggungjawab membesarkan serta memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak Allahyarham adalah satu amanah walaupun menyedari ia bukan mudah.
“Jadi, apabila LZS tampil menghulurkan bantuan, saya berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada LZS. Saya menganggap ini adalah rezeki bulan Ramadan untuk anak-anak itu. InsyaAllah, saya akan memanfaatkan bantuan LZS itu sebaik mungkin untuk anak-anak Allahyarham,” ujar Irwan.
ANITA Ismail menerima barang keperluan, bantuan perubatan dan bantuan sewa rumah secara bulanan, mulai Mac 2023.
Sementara itu, Anita, 56, yang dikategorikan sebagai asnaf miskin menerima bantuan perubatan serta bantuan sewa rumah mulai Mac, 2023. LZS turut memberi bantuan kecemasan tunai sebanyak RM500.
Anita yang merupakan bekas kaki tangan bahagian grafik Berita Harian menghidap masalah sakit sendi sementara suaminya, Wan Kamazeri Wan Nordin, 62, mengalami masalah asma yang kronik dan kerap keluar masuk hospital untuk rawatan.
Kedua-duanya tidak mempunyai pencen dan hanya bergantung pada duit simpanan KWSP yang semakin berkurangan sementara anak perempuan tunggal mereka yang sudah berkahwin tinggal di Pulau Pinang.
Anita yang sangat terharu dengan bantuan dihulurkan oleh LZS dan KARIB mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua entiti itu yang baginya telah memberi sinar baharu kepada kehidupan keluarganya.
“Bantuan sewa rumah dan kewangan bulanan sudah pasti meringankan beban kami memandangkan suami sudah tidak mampu bekerja kerana penyakit asmanya makin kronik. Saya sangat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada LZS dan KARIB,” kata Anita.
NOOR AZMI Mat Nor yang menerima bantuan perubatan bulanan terharu dengan keprihatinan LZS.
Bagi Noor Azmi pula, walaupun tidak layak menerima bantuan sebagai asnaf kerana masih mempunyai sumber pendapatan daripada sewaan rumah namun keprihatinan LZS yang memberi bantuan perubatan bulanan sangat dihargai.
“Bantuan ini dapat meringankan bebanan kos rawatan bulanan saya. Terima kasih LZS kerana prihatin. Ini membuktikan LZS sentiasa cakna serta menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka dengan telus,” kata Nor Azmi yang sedang menjalani rawatan pemulihan strok.
Kerjasama yang terjalin
bersama LZS adalah antara langkah proaktif yang digerakkan oleh KARIB dalam usaha
membantu ahli-ahli mereka yang sedang berdepan pelbagai cabaran hidup sama ada
masalah kesihatan mahupun kewangan.
Menurut pengerusinya, Datuk Abdul Karim Mustafa, selain LZS, KARIB juga turut menjalinkan kerjasama bersama beberapa agensi, antaranya Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam memastikan anak-anak ahli turut dibantu terutama membabitkan soal pendidikan mereka.
“Selama ini, bekas-bekas pekerja Berita Harian dan Harian Metro tidak mempunyai tempat untuk mereka bersandar dan mengadu.
"Kini, dengan wujudnya KARIB, ia akan menjadi jambatan yang bukan sahaja menghubungkan silaturahim dalam kalangan kami malah pengantara untuk ahli mendapatkan bantuan sebagaimana yang kami lakukan bersama LZS dan YPM,” ujar Abdul Karim. - KitaReporters
ABDUL KARIM menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Allahyarham Kamaruzaman Pid.