Dah tubuh! Kelab Alumni Riong Bangsar! Untuk bantu wartawan perlukan bantuan kewangan, sokongan!
Published byAhli Mukmin Buddies yang mengambil bahagian dalam acara khatam al-Quran.
DULU wartawan adalah penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat. Mereka kerap disamakan sebagai lilin yang membakar diri, menerangi orang ramai. Jika berlaku kesusahan wartawanlah antara pelapor utama menceritakan kejadian benar untuk tindakan susulan.
Dulu nama media juga menjadi sangat gah. Malah pernah suatu ketika wartawan dan media tertentu membuatkan pemimpin politik atau mana-mana pihak gerun kerana kredibiliti mereka menyiarkan laporan berita. Malah jika ada yang cuba sabotaj negara akan didedahkan dengan cukup meluas dan hasilnya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wartawan
Pengerusi Penaja Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) Datuk Karim Mustaffa berkata, kini sudah masanya nasib wartawan pula diberi pembelaan sewajarnya, terutama ketika mereka memerlukan bantuan kewangan serta sokongan saat susah termasuk memerlukan sumber kewangan untuk membiayai perubatan dan rawatan.
Bercakap ketika meraikan peserta khatam al-Quran dan tahlil serta majlis ramah mesra anjuran Kelab Mukmin Buddies Ex-BH di Surau Garden Residence, Cyberjaya pada 17 Julai 2022, Karim berkata, selepas mengambil kira semua aspek, beliau dan beberapa wartawan membuat keputusan menubuhkan kelab berkenaan yang sudah pun lulus pendaftarannya.
Majlis bacaan itu diketuai Bilal Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, Ustaz Faisal Ismail (gambar). Sebelum ini ahli-ahli Mukmin Buddies diberi juzuk untuk dibacakan.
Majlis berlangsung dalam suasana sederhana dan santai.
Karim berkata acara khatam al-Quran adalah acara terkini Mukmin Buddies selepas kelonggaran Covid-19. Perjumpaan hari itu bertujuan mengeratkan persahabatan yang sudah lama tersemai dan sedikit renggang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun kebelakangan ini.
Beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada tetamu yang hadir memberi sokongan, bantuan, idea dan sumbangan termasuk seekor kambing serta cenderamata.
"Nama wartawan sangat gah pada pandangan masyarakat. Namun ramai yang tidak tahu, ada kalangan wartawan yang memerlukan bantuan sama ada kewangan atau sokongan moral ketika mereka ditimpa kesusahan.
"Selain doakan mereka, apalah salahnya kalau kita derma kewangan bagi meringankan beban," katanya.
Karim berkata, kelab itu akan membuka keahlian terhad antara 20 hingga 25 orang saja untuk memastikan keanggotaan itu cukup korum apabila mengadakan mesyuarat agong. Namun semua wartawan dari seluruh negara dialu-alaukan menjadi ahli kelab tidak rasmi.
Santai.... Dari kanan, Karim dengan Datuk Muhammed Ibrahim (Tok Matt Metro) dan Mokhtar Alias.
"Kita tidak mahu menimbulkan masalah dari segi pengurusan kewangan, mengumpul dana dan kita akan mencari jalan mendapatkan sumber kewangan daripada kerajaan dan bekas wartawan yang berlebihan rezeki.
"Kita tahu ramai wartawan yang berdepan dengan pelbagai masalah terutama isu kesihatan dan rawatan," katanya sambil memaklumkan kes terbaru yang dialami seorang bekas kakitangan Berita Harian yang memerlukan sokongan rakan-rakan.
Karim (berdiri) ceria melayan kawan-kawan seperjuangan
Beliau memberitahu, kelab itu sudahpun mempunyai cukup keahliannya dan kini sedang mencari jalan untuk bekerjasama dengan kelab-kelab lain yang mewakili wartawan di pelbagai agensi media untuk menyatukan semua kakitangan yang bertugas di media cetak, elektronik dan portal berita.
"Dalam kalangan wartawan juga kita ada beberapa jurang (lapis) antara wartawan baharu dan mereka yang mempunyai nama dan pengaruh yang disegani.
"Oleh itu, kelab ini akan menjadi 'orang tengah' yang akan menghubungkan wartawan veteran dan baharu menerusi beberapa aktiviti yang akan dirangka dalam pertemuan tidak lama lagi." katanya. - KitaReporters
Cantik.... Peserta wanita bergambar kenangan.
Noraini Ismail wanita di sebalik kejayaan majlis khatam al-Quran Mukmin Buddies.
Datin Zaini Zainuddin
Zainoor Said
Bekas jurugambar, Ariff Azahari