Sebagai seorang Ibu yang mempunyai anak yang sakit mental sejak 18 tahun lalu, penulis melihat kesedaran kesihatan mental di negara kita masih pada itahap rendah dan masyarakat masih tidak faham apa yang mereka mesti buat apabila ada ahli keluarga yang mengalami gejala sakit mental. 

Mereka juga cetek ilmu berkenaan  sakit mental. Walaupun hakikatnya terdapat banyak lambakan informasi dalam media sosial, tahap kesedaran untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesihatan mental kurang memberangsangkan. 

Disebabkan itu stigma kepada pesakit mental sangat tinggi dalam kalangan masyarakat dan ramai yang masih tidak menghantar ahli keluarga yang sakit mental berjumpa pakar, sebaliknya mengubat secara rawatan alternatif yang adakalanya menyebabkan pesakit bertambah teruk. 



Pihak hospital telah pun menjalankan tanggungjawab mereka dalam membantu menyedarkan masyarakat mengenai sakit mental dan cuba mengusahakan jalan terbaik bagi membantu keluarga pesakit mental memahami masalah sakit mental. 

Namun kekangan demi kekangan yang dihadapi pihak hospital seperti kekurangan pakar psikiatrik dan staff, masalah tempat, ruang aktiviti pesakit mental dan wad pesakit mental yang kurang menjadi antara batu penghalang untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pesakit mental di hospital kerajaan. 

Bagaimanapun mereka yang berkemampuan tidak risau kerana mereka sentiasa mudah mendapatkan rawatan perkhidmatan kesihatan mental berbayar atau swasta yang memang banyak didirikan di negara kita. 

Bayaran yang dikenakan juga sangat mahal antara RM3 ribu hingga RM10 ribu sebulan untuk menjaga pesakit mental. Bagi golongan miskin dan kurang berkemampuan bayaran sebanyak itu adalah sesuatu yang mustahil untuk mereka usahakan menghantar pesakit mental mendapat rawatan. 



Dalam kaitan yang sama, mungkin ada yang masih ingat pada NGO yang pernah saya dan beberapa rakan yang mempunyai ahli keluarga sakit mental, serta beberapa sukarelawan tubuhkan kira kira dua tahun lalu (2022). 

NGO yang kami namakan Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani berkenaan tidak begitu mendapat sokongan dari banyak pihak. 

Disebabkan itu, pihak NGO kami telah menukar nama dan memberi nafas baharu pada NGO ini untuk meneruskan perjuangan kami memberi kesedaran dan mendidik masyarakat tentang masalah kesihatan mental dan cara menanganinya. 

Malaysia Relief Mind Association (Persatuan Ketenangan Minda Malaysia) atau pun singkatan MaRMA, adalah nama baharu yang dipilih oleh persatuan kami untuk menukarkan nama NGO lama  Madani Mental Health Organization (MMHSO) atau Pertubuhan Sokongan Kesihatan Mental Madani.  

Pendaftaran pertubuhan diluluskan oleh Jabatan Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 10 Mac 2023 (PPM-019-10-10032023).



Tujuan asal pertubuhan ini adalah untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat tentang keadaan individu yang mengalami masalah mental dan cabaran yang dihadapi ahli keluarga mereka. 

Pertubuhan ini juga berperanan untuk memberi sokongan emosi kepada pesakit dan juga perawat selain menjalankan aktiviti sihat secara fizikal dan maya.

Selain itu, untuk jangka masa yang panjang, pertubuhan ini berhasrat untuk menyediakan pusat rehabilitasi dan fasiliti bersesuaian yang dapat membantu pesakit mental menuju ke arah pemulihan sehingga mereka dapat berdikari dengan bantuan serta sokongan yang mampan. 

Cadangan mengadakan pusat rehabilitasi berkonsepkan "Health Tourism" juga dibincangkan untuk jangka masa panjang. 

Selain itu pihak MaRMA bercadang mengadakan koloborasi atau gabungan daalm bentuk rehabilitasi bersama pusat kecemerlangan mental dan beberapa syarikat dan universiti bagi merealisasikan sebuah tempat khas membantu golongan tidak berkemampuan yang mengalami sakit mental untuk sembuh dan dapat kembali pada masyarakat.  

Dalam kajian rambang yang dijalankan oleh MaRMA, ramai dalam kalangan pesakit mental adalah golongan yang tidak berkemampuan, golongan B40 dan yang lebih rendah dan kebanyakkan berada di kawasan kampung dan pinggir bandar. 

Kesukaran untuk ke hospital mendapat rawatan kerana kemiskinan hidup juga antara faktor mengapa keluarga pesakit membiarkan pesakit mental tanpa kawalan.  

Pertubuhan ini merancang untuk membantu mereka yang miskin tegar yang mempunyai ahli keluarga yang sakit mental mendapat bantuan kewangan dan sokongan moral untuk mendapatkan rawatan pakar bagi membantu mereka kembali bersemangat meneruskan kehidupan.



Bersesuaian dengan moto pertubuhan kami "We support We Care" (Kami Sokong Kami Prihatin) pihak kami akan cuba membantu mereka yang memerlukan sokongan moral daripada NGO kami.

Buat masa in pertubuhan baharu ini sedang giat mengumpulkan ahli. Sesiapa yang berminat dipelawa untuk menjadi ahli persatuan ini. 

Buat masa ini pertubuhan ini cuba mengumpul dana untuk membantu pesakit mental yang agak serius bagi rawatan mereka. Beberapa aktiviti sedang dirangka dan dirancang untuk mendapat sokongan masyarakat. 

Pihak MaRMA meminta mereka yang berminat menjadi ahli MarMA boleh menghantar email untuk mendapatkan borang keahlian di email: marmamalaysia@gmailcom; [email protected][email protected][email protected]. - KitaReporters

22
11
0
8
0

Copy Link: