Dulu dikecam tapi kini diiktiraf MBOR! Zon Bebas Kenderaan di Melaka dikunjungi 30k pada hujung minggu!
Published bySuasana meriah di hadapan Bangunan Stadthuys menyaksikan ramai pengunjung di sewaktu Zon Bebas Kenderaan di sekitar Banda Hilir, Melaka
Dulu sewaktu kerajaan negeri Melaka ingin memperkenal Zon Bebas Kenderaan (CFZ) selama 55 jam dari Jumaat hingga Ahad banyak pihak membantah.
Bantahan datang daripada peniaga di Medan Samudera, peniaga UpTown Pahlawan Walk, pengayuh beca dan beberapa premis berdekatan.
Ditambah pula kehadiran wakil rakyat pembangkang yang mengambil kesempatan ingin membela nasib peniaga menjadikan suasana awal pelaksanaan CFZ menjadi kelam-kabut.
Begitupun Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tetap bertegas cadangan pelaksanaan CFZ akan memberi limpahan ekonomi kepada seluruh peniaga di sekitar kawasan pelancongan di Banda Hilir.
Sebagai langkah awal sebanyak 197 peniaga UpTown Pahlawan Walk berpindah ke Jalan Tun Khalil Yaakob bermula dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sehingga hadapan Menara Taming Sari.
Ia mendapat bantahan sebahagian daripada peniaga terbabit termasuk suara-suara sumbang dalam kalangan peniaga di Medan Samudera.
Ab. Rauf Yusoh (tegh) menunjukkan dua anugerah MBOR yang diterima pada Majlis Pelancaran Setahun Zon Bebas Kenderaan @ Banda Hilir, Melaka.
Namun setelah setahun pelaksanaan CFZ kini semua golongan peniaga mampu mengukir senyum apabila melihat ribuan pelancong domestik dan luar negara sangat tertarik dengan zon berkenaan.
Setiap hujung minggu hampir 30,000 pengunjung berada di CFZ menyaksikan pelbagai aktiviti kebudayaan dan persembahan hiburan yang diadakan di hadapan Bangunan Stadthuys.
Usaha dan ilham Ketua Menteri itu membawa pulangan yang menarik apabila Malaysia Book of Records (MBOR) mengiktiraf dua rekod iaitu Longest Duration For Car Free Zone (Tempoh Zon Bebas Kenderaan Paling Lama) dan First Aid Station In A Car Free Zone (Stesen Pertolongan Cemas di Zon Bebas Kenderaan).
Dua anugerah tersebut diterima oleh Ab. Rauf pada Majlis Pelancaran Setahun Zon Bebas Kenderaan @ Banda Hilir dan Majlis Perasmian Seminar Vibrant Melaka: Creating A People-Centric Living Spaces di Hotel Casa Del Rio, Kota Laksamana pada Ahad, 8 September 2024.
Ab. Rauf berkata, dua anugerah tersebut menunjukkan MBOR telah menilai keberkesanan terhadap dasar zon berkenaan yang berjaya meningkatkan sosioekonomi rakyat di negeri ini.
Menurutnya, berdasarkan kajian juga menunjukkan pelaksanaan zon tersebut telah memberi impak positif kepada alam sekitar sepanjang tempoh 55 jam jalan ditutup bermula dari Jumaat hingga Ahad setiap minggu.
Lebih menarik kata beliau, CFZ itu kini dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain untuk mewujudkan Kawasan Bebas Kenderaan seperti yang akan dilakukan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Katanya, warga maya dalam laman sosial telah membuat satu petisyen menyokong agar Jalan Bukit Bintang dijadikan Zon Bebas Kenderaan seperti yang dilakukan di Banda Hilir yang mampu meningkatkan sektor pelancongan.
Pengunjung duduk menikmati minuman sewaktu berada di hadapan Bangunan Stadthuys di sewaktu Zon Bebas Kenderaan di sekitar Banda Hilir, Melaka.
"Meskipun pada awal pelaksanaannya kita menerima rungutan dan kecaman daripada pelbagai pihak.
"Tetapi alhamdulillah, hari ini kita membuktikan impak positif dengan merekodkan seramai 1.7 juta orang di mana purata lebih 30,000 pengunjung dan pelancong pada setiap minggu.
"Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada MBMB atas pencapaian ini mendapat dua pengiktirafan daripada MBOR," ujarnya pada majlis yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Ab. Rauf berkata, dalam tempoh sebulan kehadiran 100,000 pelancong telah menunjukkan bahawa indikator kepada ekonomi peniaga di sekitar Banda Hilir telah memberikan pulangan yang baik kepada mereka.
Jelasnya, kira-kira 195 peniaga Uptown Pahlawan Walk kini berpuas hati apabila mereka dipindahkan ke penempatan semula di Jalan Tun Khalil Yaakob. - KitaReporters