Masyarakat kita masih kurang kesedaran dan usaha untuk meningkatkan tentang sakit mental. Kes-kes pembunuhan, kerosakan, kecederaan yang dilakukan oleh pesakit mental boleh dielakkan jika keluarga dan masyarakat lebih cakna terhadap perlakuan aneh dan ketidakwarasan ahli keluarga dalam kehidupan seharian. 

Ramai yang masih tidak mahu menghantar pesakit mental mendapat rawatan. Minda keluarga masih dibelenggu dengan "sakit buatan orang", sakit misteri dan sebagainya. 

Kekurangan ilmu tentang sakit mental dalam kalangan keluarga dan masyarakat membuatkan pesakit semakin parah dan mereka menjadi ancaman kepada masyarakat.

Mantan Pengerusi sebuah NGO sokongan kesihatan mental, Rosiah Jantan memberitahu, ramai dalam masyarakat kita masih tidak faham tentang penyakit mental ini.

" Stigma masih kuat. Amat penting keluarga dan masyarakat peka pada keadaan pesakit. Kalau nmpak perangai mereka pelik, beri pertolongan dan nasihat pada keluarga agar bawa pesakit mendapat rawatan dan rujukan pakar.

"Ini kerana tingkat masalah mental ini tak sama ada yang kurang serius sehingga terlalu series seperti kemurungan, bipolar, dan skizofrenia dan lain-lain lagi. Hanya pakar yang boleh mengenal pasti masalah mental berkenaan dan merawatnya," katanya.


Rosiah Jantan (kanan) bersama sukarelawan MaRMA Sally Sarena A Samad, seorang kaunselor (kiri) dan Nur Ain Mustapa seorang peguam.

Rosiah juga memberitahu sudah banyak kesedaran dan informasi yang kerajaan dan NGO berikan kepada umum dalam beberapa tahun ini sejak melonjaknya kes sakit mental selepas PKP dan COVID-19. 

Namun masih ramai yang tidak faham kepentingan mendapat rawatan dan rujukan pakar bagi pesakit mental. 

Beliau berpendapat kerajaan harus mempertingkat lagi kesedaran sakit mental dalam kalangan masyarakat. Antaranya lebih proaktif dalam menyuntik kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan masyarakat. 

Sebagai contoh,  kaunselor dan doktor boleh turun padang pergi tempat-tempat yang dikenal pasti ada kes. Datang ke rumah pesakit untuk memberi nasihat. 

Ini kerana bukan mudah hendak membawa pesakit ke hospital mendapatkan rawatan, khususnya yang berada di kawasan pedalaman. 

"Mindset" (gaya fikir) keluarga juga mesti ditukar dan mereka perlu beralih mendapat rawatan pakar berbanding rawatan bomoh dan rawatan alternatif yang lain. Bagaimanapun kekangan mungkin bagi pihak hospital yang kekurangan kakitangan dan kenderaan untuk bergerak juga masalah lain pada pihak hospital.

"Penjaga pesakit mental yang berpengalaman tahu, bila pesakit sudah serious, kita perlu bantuan polis untuk bawa pesakit ke hospital. Tapi ada juga kes yang pihak polis tidak mahu bekerjasama atas sebab tertentu.  

"Penjaga mesti tahu banyak perkara. Umpamaya apa nak buat bila pesakit semakin serius. Mereka  tidak boleh diamkan pesakit dalam keadaan yang teruk. 

"Menjadi penjaga kepada pesakit mental perlu ambil tahu perkembangan pesakit, tugas ini memang sangat meletihkan dan membuat emosi penjaga juga terganggu.

"Sebab itu NGO kami, Malaysian Relief Mind Association (MaRMA) atau dalam bahasa Melayunya Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia sedang memperjuang untuk menyediakan sebuah rumah rehab bagi pesakit mental. 

"Ini untuk memberi peluang penjaga yang perlu hilangkan stres sementara anak atau ahli keluarga mereka yang sakit mental tinggal buat beberapa ketika di rumah rehab itu. 

"Kerajaan juga boleh tubuhkan rumah rehab itu untuk membantu pesakit daripada keluarga yang susah dan tidak mampu menghantar ahli keluarga yang sakit mental ke pusat rehab swasta yang mahal," katanya lagi.



Dalam kajian MarMa di Lembah Klang, terdapat ramai pesakit mental namun tiada satu pun rumah rehab (rehabilitasi atau pemulihan) yang di bawah seliaan kerajaan. 

Banyak yang ada adalah daripada rumah rehab pihak swasta yang sangat mahal harganya antara RM3 ribu hingga RM10 ribu sebulan. Pesakit mental pula ramai dalam kalangan yang kurang mampu dan daripada golongan B40. 

Mungkin jika kerajaan menyediakan satu pusat rehab yang boleh memberi latihan mengembalikan kefungsian pesakit mental, mereka boleh kembali kepada masyarakat suatu hari nanti.

Kesimpulannya memang sukar menjaga pesakit mental, kalau hanya ahli keluarga yang menjaga mereka tanpa bantuan pihak-pihak lain.  

Bayangkan jika penjaga itu meninggal dunia dan tidak ada siapa nak jaga pesakit tu, pasti dia jadi gelandangan yang akan merosakkan keharmonian masyarakat setempat. 

Semasa penjaga hidup pun, saudara-mara, adik beradik ramai yang tak sanggup menjaga kerana mereka akan berhadapan dengan berbagai-bagai masalah. 

Sebab itulah rumah rehab sangat penting agar boleh memberi peluang kepada pesakit mendapat latihan mengawal sakit mereka dan tinggal di asrama yang disediakan, dengan pantauan jururawat dan doktor serta pakar-pakar sakit mental. 

Pesakit boleh diberi latihan soft skill (kemahiran insaniah) dan jika mereka sudah boleh kembali ke masyarakat mereka perlu terus dibantu untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. 

Apa pun semua ini bukan mudah tetapi boleh dilakukan. Seperti kata pepatah, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. 

Hanya orang yang ada ahli keluarga sakit mental sahaja yang akan mengambil peduli masalah ini kerana mereka telah melalui kepahitan dan penderitaan menjaga pesakit sepanjang hayat mereka. 

Semoga ada kesedaran yang tinggi pada pihak kerajaan dan masyarakat untuk sama sama membantu pesakit mental. - KitaReporters


15
11
0
10
0

Copy Link: