Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kecemasan. 

Bagaimanapun apabila sampai di tempat kejadian di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang mereka mendapati sekumpulan kanak-kanak lelaki sedang berkumpul untuk dimandikan sebelum berkhatan.

Rupa-rupanya anggota bomba tersebut diminta hadir bagi memancutkan air daripada paip tangki jentera untuk disemburkan kepada kumpulan seramai 52 orang kanak-kanak sedang bersedia untuk dimandikan manakala 10 lagi kanak-kanak sedia menunggu di Pusat Kesihatan Simpang.



Begitulah senario apabila musim cuti persekolahan, sekumpulan kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun bakal dikhatankan seronok bermain air sehingga mereka basah kuyup sebab dimandikan oleh anggota bomba dan beberapa petugas di kawasan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Nor Ambia Mahmud berkata, kanak-kanak yang dipilih itu membabitkan 62 orang yang akan dikhatankan di Pusat Kesihatan Simpang.
Katanya, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memperuntuk RM10,000 bagi Program Berkhatan Perdana ini.
"Kesemua kanak-kanak itu dipilih dari beberapa kampung di kawasan Parlimen Bukit Gantang," katanya.
Nor Ambia berkata, program ini sering diadakan setiap musim cuti sekolah dalam usaha memberikan pengalaman menyeronokkan dan sukar dilupakan kepada kanak-kanak.
Katanya, kanak-kanak yang dipilih itu akan melalui proses melangkah ke fasa baharu kehidupan mereka. - KitaReporters

13
18
0
14
0

Copy Link: