KHAIRUL Zaki Razali mengalunkan bacaan al-Quran selepas diumumkan sebagai Johan Qari dan Peserta Terbaik Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1446H di Shah Alam. 


KHAIRUL Zaki Razali dan Nor Azlina Ibrahim dinobatkan  Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah/2025 Masihi di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Kejayaan tanggal 7 Februari 2025 ini turut melayakkan mereka mewakili Selangor ke Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 1446H/2025 Masihi di Perlis pada 24 April hingga 3 Mei 2025 nanti.

Selaku johan, Khairul dan Azlina yang masing-masing beroleh 89.50 dan 83.50 peratus markah berjaya memenangi hadiah wang tunai RM15,000 dan RM5,000 tajaan Tabung Infak Jariah Umat Islam (Tijari), piala iringan dan sijil penyertaan.

Khairul turut muncul Peserta Terbaik Keseluruhan majlis yang berlangsung dari 4 Februari 2025 itu bertemakan “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” dengan membawa pulang kepingan emas 99 20 gram tajaan Tijari.


KHAIRUL Zaki Razali  (dua dari kanan) menerima replika hadiah selaku Johan Qari daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Kiri dan tengah ialah Amirudin Shari dan Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. 


NOR Azlina Ibrahim (dua dari kanan) menayangkan replika hadiah selaku Johan Qariah yang disampaikan Tengku Norashikin Abdul Rahman.  


Naib johan Qari dan Qariah disandang oleh Faris Hadi Taufik (87.50%) dan Siti Nabiha Md. Marham (82.25%) sambil membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan RM500 tajaan Tijari, manakala tempat ketiga menjadi milik Abdun Najih Marwan (87%) dan Ratu Dangsari Basri (82%) meraih RM8,000 dan RM500 tajaan Tijari. 

Markah sebanyak 73.85% dan 83.70% pula membolehkan Izzul Affan Sazali dan Humairourrohmah Mastar dinobatkan Johan Hafazan Tahap 3 (1 hingga 30 Juzuk) Lelaki dan Perempuan dengan masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM10,000 dan RM5,000 tajaan Tijari, piala iringan dan sijil penyertaan.

Humairourrohmah juga muncul Peserta Terbaik kategori Hafazan tahap tersebut dengan mendapat kepingan emas 99 seberat 20 gram tajaan Tijari.

Hadiah-hadiah kepada para pemenang Qari dan Qariah majlis disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah manakala Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis dan Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS); serta Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad merangkap Pengerusi Jemaah Hakim majlis.

Kumpulan nasyid Ehsanee turut menghiburkan para hadirin majlis dengan persembahan nasyid pembuka dan selingan sebelum penyampaian hadiah berjudul Wawasan dan Kalamullah.


HUMAIROURROHMAH Mastar (dua dari kanan) menerima replika hadiah selaku Johan Hafazan Perempuan dan Peserta Terbaik Keseluruhan Hafazan daripada Tengku Norashikin Abdul Rahman. 


Kata Fadzli, “program tahunan anjuran JAIS ini menjadi lambang komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri dalam mengangkat dan memartabatkan al-Quran pada kalangan umat Islam di Selangor.

"Inilah platform yang signifikan dan peluang qari dan qariah mempersembah keindahan seni bacaan al-Quran dan menterjemahkannya dalam bentuk amalan bermasyarakat, hubungan merentasi kaum dan agama, berkeluarga dan akhlak yang mulia,” katanya.

Kerajaan negeri sentiasa fokus dan komited dalam inisiatif pembelajaran dan pengajaran al-Quran bagi memperkukuh penghayatan wahyu Ilahi kerana bacaan yang dilagukan dengan tartil mampu menenangkan hati dan mendamaikan fikiran malah mendorong individu untuk lebih mendekati Allah, sekali gus memperkukuh nilai-nilai murni dalam kehidupan harian, ujarnya.

“Tahun ini, sebanyak 83 orang menerima latihan intensif tilawah dan hafazan Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) selama lima bulan, manakala 17 bagi tilawah dan 35 bagi hafazan berjaya melepasi sesi saringan untuk bertanding pada majlis peringkat negeri Selangor,” katanya lagi.


MOHD. Shahzihan Ahmad berucap mengumumkan keputusan dan ulasan prestasi para peserta.


Sementara itu Shahzihan yang mewakili jemaah hakim mengenai keseluruhan prestasi para peserta majlis mengulas: “Majlis kali ini memperkenal sistem pemarkahan penghakiman baharu menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang secara tidak langsung mempengaruhi keputusan.  

"Kesemua peserta berjaya mempersembahkan alunan tilawah Al-Quran secara mujawwad yang menepati format penganjuran. Penguasaan ilmu tajwid, wakaf dan ibtida’yang baik serta mampu mengalunkan taranumbil Quran, menggunakan kepelbagaian lagu dan taranum wajib walaupun diundi dalam tempoh lima minit sebelum peserta mengalunkan bacaan masing-masing.

"Kualiti taranum hafazan meningkat berbanding tahun sebelumnya.  Bagi taranum khas, terdapat peserta walaupun pada tahap 1 mampu membawa dua variasi taranum dengan baik. Namun masih terdapat beberapa elemen yang perlu ditambah baik bagi tahun-tahun akan datang.

"Bagi tilawah, dalam bidang tajwid dan fasohah, masih terdapat beberapa peserta yang gagal menjaga ghunnah dengan sempurna terutama pada hukum ikhfak dan idgham, gagal menjaga kadar panjang mad serta tidak cermat dalam bacaan sehingga tertinggal atau menambah huruf. Kesilapan baris atau ayat menjejaskan alunan bacaan sebahagian mereka,” katanya. - KitaReporters


SENARAI PEMENANG LAIN:

Hafazan Tahap 1 (1-10 Juzuk) 

Lelaki: 1. Muhammad Abu Dzar Mohammad Don; 2. Mohammad Asyraaf Zakaaria; 3. Mohamad Rabbani Mohamad Rahim

Perempuan: 1. Shashahani Irdina Shamsul Rizal; 2. Puteri Khairunnisa Megat Amirul Rahim; 3. Siti Nur Najah Rosli

Hafazan Tahap 2 (1-20 Juzuk)

Lelaki: 1.  Muhammad Imran Hussin; 2. Muhammad Iman Hakim Hanipah; 3. Muhammad Aizat Firdaus Ismail

Perempuan: 1. Siti Khadijah Anuar; 2. Amna Syuhada' Mohammad Rizal; 3. Nur Farikhah Solikhah Mohd. Abd. Latif Hilmi 

Hafazan Tahap 3 (1-30 Juzuk)

Lelaki: 1. Izzun Affan Sazali; 2. Munzir Uzair Shamsul Bahar; 3. Hairuddin Hasamuddin 

Perempuan: 1. Hummairourrohmah Masta;r 2. Siti Masitah Mohamad Maarof; 3. Aina Balqis Mohd. Hanafi


EHSANEE menghiburkan para hadirin majlis dengan persembahan nasyid pembuka dan selingan sebelum penyampaian hadiah Qari dan Hafazan Lelaki berjudul Wawasan dan Kalamullah.

12
5
0
12
0

Copy Link: