Tolong kami! Bantu Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam! Jaga anak-anak syurga! Amanah Ustaz Rosli!
Published byBergambar di hadapan bas sumbangan orang ramai.
Pertemuan kadang kala membuka mata untuk kita sedar tentang kepayahan orang lain. Semua orang diuji. Uji tanda Allah sayang dan gugurkan dosa kita.
Namun ada orang diuji dengan kebesaran dan amanah kurniaan Allah SWT. Besar ujian tersebut. Hanya mereka yang mampu sahaja tahan melaluinya.
“Saya buat kerana Allah. Melihat kepada masa depan anak-anak syurga yang Allah kirim kepada saya untuk dijaga,“ kata Ustaz Mohamad Rosli Yahaya, Pengerusi Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam.
Terletak di Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil, Kedah, rumah kebajikan ini untuk anak-anak yang lembam, emosi terganggu dan hiperaktif ini dibuka pada 2006 dalam keadaan penuh cabaran.
Bertemu pada majlis baca yasin dan tahlil di Taman Mesra Ria 11 baru-baru ini, saya sempat menyelami kegigihan Ustad Radzi dalam menunaikan amanahnya kepada penghuni rumah kebajikan tersebut.
“Saya tidak mahu memandang ke belakang tentang permulaan rumah ini diasaskan kerana semuanya kini tinggal kenangan. Saya mahu fokus bagaimana hendak membahagiakan anak-anak ini dengan kudrat saya serta izin Allah,“ kata Ustadz Rosli.
Ustaz Mohamad Rosli Yahaya
Pengalaman bekerja di beberapa jabatan dan secara persendirian membuatkan beliau nekad untuk menjaga anak-anak syurga ini selagi terdaya walau sedar pelbagai masalah yang bakal dihadapi.
“Permulaannya saya mempunyai 12 anak kurang bernasib baik yang saya pelihara di rumah saya sendiri. Tapi keadaan tidak selesa buat mereka sebab terlalu ramai.
“Pada 2016, saya berusaha mendapatkan hak penjagaan mereka melalui proses sah dengan membuka Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam,“ cerita Ustaz Rosli.
Alhamdulillah dengan izin Allah semua berjalan lancar dan kini dua buah pusat telah terbina dengan usaha beliau. Semuanya Allah permudahkan.
Sebuah pondok juga ada dibuka menempatkan remaja berusia 20 ke atas. Sementara jumlah keseluruhan penghuni rumah adalah 18 orang. Rumah ini berdaftar dengan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta melalui kebenaran pemutihan seperti yang diperlukan oleh undang undang.
“Saya tidak mahu ada masalah yang akan membebankan masa depan anak anak yang tinggal di rumah ini. Kebanyakan mereka ada kisah sedih dan sejarah tersendiri yang jika tidak dijaga boleh menjejas emosi mereka,“ ujarnya lagi.
Cikgu Zakaria Awang menyerahkan sumbamgan kepada Ustaz Rosli.
Ustaz Rosli memberitahu pada masa ini, mereka bergantung kepada sumbangan orang ramai dan kariah Masjid Batu 5, Gurun yang banyak membantu sebagai penyumbang tetap.
Dengan jumlah 6 pelajar perempuan dan 12 lelaki, kehidupan penghuni rumah ini masih terjamin baik, namun bantuan dan sumbangan terus diperlukan.
Menurut Ustaz Rosli, rumah ini tidak ada pekerja khusus. Tetapi kerjasama daripada keluarga yang sangat membantu memudahkan urusan di rumah tersebut.
“Saya bersyukur kerana adik ipar membantu memasak dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam. Jika tak cukup masakan akan ditambah supaya penghuni mendapat makan secukupnya,” tambah Ustaz Rosli.
Jelas Ustaz Rosli, ibunya Umai Kalsom Abu Bakar, 74, menjadi tulang belakang di sebalik usahanya itu. “Doa mak saya jadikan azimat untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab terhadap anak-anak istimewa ini,“ katanya lagi.
Pada masa sama, sokongan arwah isteri, Zarina Wahab, turut meniup semangat kepada amanah yang dipikul,“ ujarnya.
Isteri Ustaz Rosli meninggal dunia tiga hari selepas pertemuan kami pada majlis tahlil di Taman Mesra Ria 11. “Allah sayangkan dia. Saya reda,“ kata ustad Rosli lagi.
Menjelang bulan Ramadan dan hari raya, Ustaz Radzi berharap ada rezeki untuk anak-anaknya melalui sumbangan dana orang ramai.
Rumah Jagaan Bakti ini memerlukan sumbangan untuk menampung kos makan minum, perubatan, pendidikan, pengangkutan, pentadbiran dan lain-lain yang relevan.
Ustaz Rosli juga berharap urusan prosedur dengan pihak kerajaan tempatan yang masih tertangguh dapat diselesaikan dengan segera.
“Saya sangat berharap ia dapat diselesaikan segera. Saya akan patuh pada undang-undang asalkan semua selesai dengan baik,“ pintanya.
Ustaz Rosli juga berterima kasih kepada orang ramai yang turut membantu meringankan beban mengurus anak-anak di rumah tersebut untuk ke sekolah dengan memberi sebuah bas sekolah.
“Sumbangan orang ramai dan beberapa group, termasuk grup Cikgu Noraini (Morad) muslimat Masjid Batu 5 menjadikan anak anak ini gembira untuk ke sekolah,“ tegas Ustaz Rosli.
Rumah Jagaan Bakti Darul Aitam menerima sebuah bas 20 tempat duduk pada 20 November 2024 lalu untuk kegunaan penghuninya ke sekolah dan ke majlis ilmu dan kenduri jika ada jemputan.
Bersama-sama menjamu selera.
“Selagi saya hidup mereka semua amanah dan tanggungjawab saya. Saya akan buat yang terbaik untuk mereka,” janji Ustaz Rosli yang dipanggil abah oleh anak-anak tersebut.
Para penghuninya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Samak, Sekolah Menengah (SM) Tanjong Puteri dan SM Pasir Panjang.
“Oleh kerana anak-anak ini ada yang lembam, emosi terganggu dan hiperaktif, mereka perlukan perhatian khas masa di sekolah. Alhamdulillah setakat ini sekolah sangat memberi kerjasama.
Ustaz Radzi merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada orang ramai yang banyak membantu dan menyumbang terutama kepada Kariah Masjid Batu 5 Gurun serta pesara Cikgu Noraini Morad dan suami Cikgu Zakaria Awang yang menjadikan rumah Jagaan Bakti sebagai keluarga angkat.
Apa lagi yang hendak dikata. Bukan mudah memikul amanah Allah. Mesti kuat iman, sabar, dan tawakal kepada Allah. Jika kita tidak mampu buat, apa kata kita membantu setakat mampu.
Semoga anak-anak syurga di Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam ini sentiasa dirahmati Allah. Kepada yang ingin menyumbang boleh hubungi Ustaz Rosli menerusi talian 019-5976297 atau datang sendiri ke Pusat Jagaan Bakti Darul Aitam di Kampung Kuala Samak, Kuala Ketil, Kedah. - KitaReporters