Keindahan poligami! Seronok adik beradik ramai! Ambil alih amanah jaga 4 ibu bila bapa sudah tiada!
Published bySebahagian daripada anak-anak keluarga Bani Nizam. Mereka adalah cucu Ashaari Mohamad daripada anak ketiga pengasas GISB itu.
MASIH ingat kisah dari filem Madu Tiga, sewaktu Allahyarham P Ramle menyanyikan lagu kalau isteri pertama merajuk, lari ke rumah isteri kedua, kalu kedua-duanya merajuk, aku kahwin tiga.
Tetapi versi lagu itu boleh disamakan dengan kisah anak-anak keluarga poligami GISB Holdings apabila merajuk dengan ibu sendiri, mereka masih ada tiga lagi ibu untuk minta dipujuk.
Malah dalam kalangan warga GISB, tiada istilah ibu tiri, ibu pertama, kedua, ketiga dan keempat kerana suami poligami itu mendidik anak-anak menyayangi semua ibu mereka sama taraf. Kerana memiliki lebih daripada seorang ibu dalam keluarga itu bukan untuk berebut kasih sayang tetapi matlamat sebenar mencari keredaan, takutkan Allah SWT dan cintakan Nabi Muhammad SAW.
Lagi ceria-cerita menarik berkaitan kehidupan berpoligami
Bani Nizam.... Ketika kecil anak-anak sempat menghabiskan masa dengan datuk mereka, Ashaari. Kanan Allahyarham Nizamuddin Ashaari. Gambar keluarga adalah sebagai syarat utama untuk pemarkahan.
Mohamad Amru Al-Fatih Mohd Nizamuddin, berkata sebagai keluarga besar ayah mereka menanam kasih sayang dan keharmonian dalam kalangan adik beradiknya yang ramai itu, sejak kecil. Mereka berkongsi segala-gala sama adil, sama rata dengan kasih sayang.
Mereka berkongsi makanan, minuman, tugasan menjaga adik beradik malah lebih daripada itu, mereka solat berjamaah, amalkan sifat bertolak ansur dan malah ada yang memberitahu dari sekecil hati ayam, dikongsi agar semua dapat menikmati walaupun sedikit.
Beliau yang mewakili 24 adik beradiknya adalah cucu kepada pengasas GISB Holdings, Allahyarham Ashaari Muhammad.
Mohamad Amru Al-Fatih memberitahu, Allahyarham ayahnya adalah anak ketiga Ashaari dan mereka kini memiliki empat ibu iaitu Sakinah Hamzah, 59; Laila Ahmad, 57; Nur Sakinah Rahmanuddin, 57; dan Umaimah Abdul Majid, 54.
Dia bersama adik beradiknya dan 44 cucu memegang amanah menjaga empat ibu mereka selepas ayahnya meninggal dunia akibat serangan jantung dan strok.
Keluarga beliau dikenali sebagai Bani Nizam adalah antara 13 keluarga poligami yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Memasak Anak-Anak Keluarga Poligami yang berlangsung di Pusat Perniagaan Ikhwan, Bandar Country Homes di Rawang, Selangor pada Ahad, 30 Oktober 2022.
Ia bertemakan Poligami Indah Daripada Tuhan.
Meriah.... Sebahagian peserta Pertandingan Memasak Anak-Anak Keluarga Poligami.
Pelbagai kegiatan diadakan termasuk pameran, gerai jualan, meraikan asnaf, ceramah, cabutan tiket bertuah, makan tengah hari percuma kepada pengunjung dan pelbagai pertandingan termasuk acara memanah.
Tahun ini banyak acara tertumpu kepada remaja dari Generasi Harapan GISB dan bersempena agenda Keluarga Malaysia. Ia turut meraikan ulang tahun ke-22 Pusat Perniagaan Ikhwan Fasa 9 di Bandar Country Homes, Rawang yang berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 Oktober, 2022.
"Kami sungguh seronok dan terhibur kerana memiliki keluarga besar. Masa kecil agak nakal dan selisih faham tu memang ada. Kami tidak nafikan.
"Bagimanapun kerana arwah ayah rapat dengan datuk Ashaari, maka segala perbuatan baik datuk diwarisi ayah untuk mendidik kami," kata Mohamad Amru Al-Fatih.
Saling bantu membantu kalangan anak-anak keluarga poligami.
Sementara itu ibu keempat mereka, Umaimah berkata anak-anaklah yang sangat beruntung kerana apabila merajuk mereka akan mencari ibu-ibu yang lain untuk meminta pujukan.
Malah ketika salah seorang ibu bersalin, adik kakak madu akan mengambil bahagian untuk mengurus dan merawat bayi menjadikan 'air tangan' mereka itu rahsia mengeratkan kasih sayang anak-anak.
"Bukan itu saja. Jika salah seorang kena ikut arwah suami bercuti atau keluar berjalan-jalan serta ada urusan rasmi ke luar negara. Kami akan mengambil giliran menjaga anak-anak. Anak-anak pula sangat seronok kerana kasih sayang daripada empat ibu yang memberi layanan yang berbeza cara dan memanjakan mereka," kata isteri pertama, Sakinah sambil memberitahu mereka sudah ke Jordan, Turki dan Tashkent.
Selain empat wanita itu berkongsi kasih, kini empat anak mereka juga meneruskan warisan berpoligami dan ada berkhidmat di luar negara.
Dah siap... Satu keluarga dengan menu pilihan penganjur, cabutan undi menu dan menu pilihan keluarga.
Mengenai hidup berpoligami yang kini kebanyakan menimbulkan pergaduhan, dua wanita itu memberitahu ia berpunca daripada mereka yang tidak 'bertuhan'.
"Kami tidak bergaduh kerana merebut suami sebab dasar perkahwinan itu diikat dengan takutkan Allah dan cintakan Nabi. Malah masing-masing sudah tahu kedudukan dalam menjayakan rumahtangga penuh kasih sayang dengan bertolak ansur.
"Ini menyebabkan kami jarang ada konflik yang selalu dilalui oleh orang-orang biasa, bergaduh selepas berpoligami. Malah kita tahu ada pasangan itu bukan saja bergaduh, berebut suami malah harta dan anak-anak pula ditanam sifat negatif terhadap madu lain menyebabkan keluarga berselisih sepanjang masa," kata Umaimah yang tidak menolak untuk berkahwin lain jika bertemu jodoh lagi kerana reda dan semua ketetapan itu sudah takdir Allah. - KitaReporters
Ketua Pegawai Eksekutif GISB, Datuk Lokman Hakim Pfordten melawat dan berbual dengan peserta.