Bertemu selepas 3 tahun pandemik! 172 keturunan Buang Ahmad, Maimunah Hadi bertemu pada Hari Keluarga!

Published by
KitaReporters

Ahli keluarga dan waris mengaminkan doa pada program hari keluarga itu.


SELEPAS lebih tiga tahun tidak dapat bertemu bertentang mata untuk mengeratkan hubungan silaturahim akhirnya generasi ketiga ahli keluarga serta waris Allahyarham Buang Ahmad dan Allahyarhamah Maimunah Abdul Hadi dapat mengadakan hari keluarga pada 17 Disember 2022.

Daripada jumlah 172 ahli keluarga dan waris yang hadir itu, ia membabitkan anak dan menantu 20 orang, cucu (59) serta cicit (93) berkumpul sehari di kediaman anak sulung waris berkenaan, Rosimah Buang di Kampung Tambak Bugis, Melaka.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis-majlis Hari Keluarga

Seramai 172 termasuk anak, menantu, cucu dan cicit keturunan allahyarham  Buang Ahmad dan allahyarhamah Maimunah Abdul Hadi berkumpul dalam program hari keluarga di Kampung Tambak Bugis, Melaka pada 17 Disember 2022.


Saadullah Mas’od


Penyelaras program, Saadullah Mas’od, berkata program hari keluarga ini sudah lama dirancangkan tetapi terpaksa ditangguh berikutan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilancarkan kerajaan bagi membendung wabak itu.

Menurutnya, selepas masalah pandemik dapat diatasi, beliau bersama-sama beberapa ahli keluarga dapat berhubung dan mengadakan perbincangan untuk meneruskan program berkenaan selepas mereka yang berada luar Melaka dapat merentas sempadan. 

Jelas beliau, objektif mengadakan program itu adalah bagi mengumpulkan semua ahli keluarga serta waris sehingga ke peringkat cicit untuk berukhuwah silaturahim, dengan kata lain, yang  jauh didekatkan manakala yang dekat dirapatkan lagi.

Tambahnya, bagi memanfaatkan pertemuan dalam program berkenaan aktiviti yang dilaksanakan termasuklah mengadakan sesi “Taaruf” sesama keluarga selepas sekian lama tidak dapat bersua muka dan pada program itu masing-masing berpeluang bertanya khabar. 

“Dirasakan tidak sempurna untuk mengeratkan silaturahim ini, adalah wajar diadakan acara sukaneka membabitkan semua ahli keluarga supaya dapat memberi kesan serta menjiwai erti kekeluargaan.

“Sehubungan itu ahli jawatankuasa yang ditubuhkan mengadakan pelbagai acara sukaneka di halaman rumah Rosimah seperti pertandingan tarik tali dan sebagainya yang menambahkan lagi kemeriahan program ini,” katanya.


Acara tarik tali mengamatkan suasana program hari keluarga berkenaan.


Pengerusi program itu, Mahmud Buang, melahirkan rasa bersyukur akhirnya keluarga dan semua waris Allahyarham Buang dan Allahyarhamah Maimunah dapat berkumpul dan bertentang mata selepas sekian lama tidak dapat bermesra. 

Menurutnya, dia berasa amat terharu apabila ahli keluarga serta waris luar dari Melaka seperti  Perak, Johor, Selangor dan beberapa negeri lain dapat hadir untuk bersama-sama bagi mengenal pasti keturunan supaya tidak terputus silaturahim.

Bagi Rosimah pula, hanya air mata mengiringi pertemuan itu apabila dapat bertemu dan bermesra dengan anak saudara, cucu serta cicit terutama yang tinggal jauh dari Melaka kerana walaupun zaman penuh teknologi terkini dalam perhubungan namun pertemuan sebegini lebih bermakna serta memberi kesan.

“Saya sayang mereka semua seperti arwah bapa dan emak yang sentiasa memberi ingatan untuk kami adik-beradik supaya tidak putus hubungan silaturahim serta sering berhubungan untuk memastikan mereka semua ambil sikap peduli,” katanya.


Rosimah Buang


Antara acara sukaneka yang mencuit hati ahli keluarga dan waris yang hadir.

40
17
0
14
1

Copy Link: