Bakti Murni Kor SUKSIS UKM! Program khidmat masyarakat di Pusat Jagaan Mahmudah! Santuni warga emas!
Published byPelatih Kor SUKSIS melakukan aktiviti bagi menghiburkan hati warga emas yang disantuni.
PROGRAM khidmat masyarakat “Bakti Murni’ anjuran Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu memberi input positif kepada keseluruhan pelatihnya yang terbabit dalam aktiviti di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC), Mohd Padzil Mohd Zain, berkata bertepatan dengan slogan program berkenaan ‘Sentuhan Kasih Menjalin Ikatan’ merupakan inisiatif terbaik mengeratkan hubungan antara pelatih dengan warga emas yang disantuni.
Mohd Padzil Mohd Zain (meja depan, tiga dari kiri) bersama pegawai polis dan Kor SUKSIS berdiri hormat menyampaikan lagu Negaraku, Sang Saka Biru dan Varsiti Kita dengan penuh bersemangat.
Menurutnya, melalui aktiviti yang dilaksanakan secara bergotong-royong antara pelatih pula secara tidak langsung memupuk semangat kerjasama yang tinggi sekali gus membuktikan kerja berpasukan amat penting dalam melakukan tugas untuk kebaikan orang lain.
Tambahnya, sikap itu juga ibarat pepatah ‘tangan di atas
lebih baik daripada tangan di bawah’ iaitu memuliakan orang lain merupakan satu
tanggungjawab yang diharapkan menjadi amalan pelatih untuk sentiasa dikongsikan
demi membawa kebaikan dalam kehidupan.
“Prihatin terhadap orang lain dan memupuk amalan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat tanpa mengira umur, bangsa, kaum, agama serta latar belakang wajar dipelihara di mana sekalipun berada,” ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan di PJMM pada 8 Jun 2024.
Mohiadin Bahado (kanan) memberi taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan PJMM kepada Mohd Padzil dan pegawai polis.
Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Turus Koordinasi Sumber
Sokongan JPJKK, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintenden Polis, S
Suzana S Abdullah; Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UKM, Asisten Superintenden
Polis (ASP), Siti Zam Zarina Ali; Pegawai Latihan Akademik Kor SUKSIS UKM, ASP
Kor SUKSIS, Dr Frankie Marcus Ata; Pegawai Latihan Kor SUKSIS UKM, Inspektor
Abdul Hadi Zainudin; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan Pengurus PJMM, Sazali
Mohiden.
Selepas merasmikan program berkenaan, Mohiadin memberikan taklimat ringkas kepada Mohd Padzil serta pegawai polis yang hadir mengenai sejarah penubuhan PJMM sebelum mengagihkan cenderamata kepada warga emas termasuk menyantuni mereka yang terlantar di atas katil kerana keuzuran dan menghidap pelbagai penyakit.
Pelatih Kor SUKSIS menyiapkan penyediaan makan tengah hari untuk diagihkan kepada warga emas termasuk yang terlantar di atas katil.
Muhammad Firdaus Al Iman Abdullah Taib.
Sementara itu, Ketua Pengarah program berkenaan, Muhammad Firdaus Al Iman Abdullah Taib, berkata program itu merupakan aktiviti kali pertama Kor SUKSIS yang membabitkan pusat jagaan atau rumah kebajikan kerana sebelum ini mereka lebih kepada aktiviti beruniform seperti berkawad dan menembak ke arah membina jati diri.
Menurutnya, 58 ahli Skuad 18 yang terbabit dalam program itu
agak terkejut dan terkedu seketika apabila melihat keadaan warga emas yang
menghuni PJMM sebagai tempat berlindung ke akhir hayat selepas disisih oleh ahli
keluarga, hidup sebatang kara, mualaf dan orang kelainan upaya (OKU).
Tambahnya, mereka berpandangan antara satu sama lain dan
berasa sebak apabila dimaklumkan sebilangan besar warga emas yang berlindung di
PJMM dibuang oleh keluarga sendiri termasuk anak, dibiarkan di hospital tanpa
dituntut selepas selesai menerima rawatan serta tinggal sehelai sepinggan
selepas harta dirampas oleh ahli keluarga atau saudara mara.
Jelasnya, situasi itu memberi dorongan dan semangat kepada ahli Kor SUKSIS untuk bersungguh-sungguh penuh berdisiplin melakukan pelbagai aktiviti gotong-royong seperti membersih bilik warga emas dengan menyapu sampah, mengelap lantai, mencuci peralatan di dapur, surau, tandas serta persekitaran PJMM.
Mohd Padzil bersama pegawai polis menyantuni seorang warga emas yang terlantar dengan beramah mesra dan bertanya khabar.
“Ini amat memberi keinsafan kepada kami semua walaupun sibuk dengan aktiviti di universiti termasuk menelaah pelajaran seharusnya tidak melupai bagi menabur bakti atau membuat kebaikan untuk mereka yang berada di luar khususnya warga emas di pusat jagaan atau rumah kebajikan.
“Kami berasa bersyukur dengan menyertai Kor SUKSIS ini
rupanya memberi peluang untuk menyantuni mereka yang memerlukan sokongan atau
bantuan serta mendidik untuk menjadi seorang pelajar memiliki hati mulia.
“Program ini juga menjadi kami bijak untuk menguruskan diri malah menjadi lebih berdisiplin apabila diberikan tugas melayani warga emas yang amat merindui keramahan dan celoteh seorang anak selepas terasing di PJMM sekian lama,” ujarnya. - KitaReporters
Mohd Padzil menyampaikan sijil penghargaan dan terima kasih kepada Mohiadin sambil diperhatikan oleh Sazali Mohiden (kanan).
Mohd Padzil (duduk tengah) merakamkan kenangan bersama-sama warga emas dan Kor SUKSIS UKM selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat “Bakti Murni’ di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor pada 8 Jun 2024.