Video! Syabas Sukarelawan Bangi! Program baju raya percuma sempena Aidiladha dapat sambutan hebat!
Published by"APABILA melihat mereka mendapat pakaian yang diinginkan, hati saya tersenyum puas. Satu perasaan yang tidak dapat diluahkan dan digambarkan dengan kata-kata, sesiapa yang buat kerja-kerja begini tahu perasan itu macam mana. Saya seronok melihat mereka tersenyum gembira.
"Jika boleh saya hendak buat kerja ini selagi ada kudrat, bukan mengharap pujian atau sanjungan, cukup jika ada yang berterima kasih.
"Saya sekadar membantu apabila ada orang menyumbang pakaian terpakai, kami sampaikan kepada mereka yang memerlukan. Jadi, sedekah itu berterusan dan berpanjangan, Insya-Allah," kata Pengarah Program Kongsi dan Ambil Pakaian Terpakai sempena Hari Raya Aidiladha, Rashdan Rohani.
Program Kongsi dan Ambil Pakaian Terpakai Sempena Hari Raya Haji di Parkir OUM, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi mendapat sambutan memberangsangkan daripada komuniti setempat.
Program Kongsi dan Ambil Pakaian Terpakai atau "Free Market" itu anjuran Sukarelawan Bangi, Life Line Clothing Malaysia (LLCM) Sdn Bhd, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16 Bangi dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan diadakan pada Ahad, 9 Jun 2024, bermula jam 8 pagi hingga 10.30 pagi.
"Kami buat kerja ni pun bukan dibayar gaji atau mendapat keuntungan tapi kami tidak pernah berhenti menyumbang tenaga dan masa asalkan ramai mendapat manfaat dengan usaha dilakukan ini.
"Jika boleh semua orang mahu baju raya baharu, kadang kala mereka tiada pilihan dan kena ikut kemampuan. Dapat baju raya terpakai pun mereka bersyukur. Apabila dapat baju ini seolah-olah bonus bagi mereka dan seronok sebab baju ini cantik, masih elok dipakai.
"Mereka cakap, boleh berjimat dan lebih baik guna duit untuk membeli keperluan asas rumah seperti makanan dan membayar bil berbanding pakaian baharu yang kini kebanyakan harga di luar kemampuan mereka," kata Rashdan.
Rashdan Rohani (kanan) bergambar kenangan bersama tim Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16 Bangi dan LLCM Sdn Bhd.
Apabila pihaknya menerima pakaian terpakai, memang tiada banyak masa memeriksa satu persatu tapi mereka akan memastikan pakaian itu elok, tidak koyak atau kotor. Ada juga komuniti menyumbang pakaian baharu namun pakaian koyak pun ada, jadi ia akan diasingkan.
Katanya, selagi ada yang ingin pihak menyumbang, beliau akan terus membantu menjadi pemudah cara agar sedekah jariah itu berterusan.
Letaklah apa sahaja pakaian yang boleh digunakan, pasti ada komuniti yang akan mengambil untuk kegunaan sendiri dan keluarga sempena Aidiladha.
Kerja-kerja kebajikan itu tercetus apabila Rashdan menerima banyak pertanyaan dalam media sosial mengenai pakaian terpakai yang mahu diberi kepada komuniti lalu hatinya tergerak membantu bersama beberapa rakan. Projek pertama diadakan April 2024 untuk sumbangan baju terpakai sempena Hari Raya Aidilfitri.
"Tapi, masa itu sambutan tidak begitu menggalakkan kerana tempoh promosi terlalu singkat dan ramai warga Bangi sudah pulang ke kampung, cuma ada lima atau enam pemilik yang membuka bonet utuk memberi pakaian secara percuma.
"Tapi program kedua sempena Aidiladha lebih meriah, sambutan baik terutama dalam kalangan warga Bangi yang membuka bonet untuk memberi pakaian dan keperluan lain seperti kasut kepada mereka yang memerlukan.
"Sesiapa boleh mengambil secara percuma kerana konsep "free market" ini tidak terhad kepada golongan B40, miskin atau asnaf tapi terbuka kepada sesiapa yang berhajat untuk mengambil pakaian yang disediakan. Ambil sahaja mana yang berkenan ikut keperluan," katanya.
Sambil bersantai pada hujung minggu bersama keluarga, komuniti memberikan pakaian terpakai untuk komuniti tempatan sempena Aidiladha.
Alhamdulillah, pihaknya menerima kira-kira tiga tan sumbangan pakaian terpakai daripada orang ramai dan ia diberi semula kepada orang ramai yang memerlukan, bermula jam 8 pagi hingga 10.30 pagi.
"Selepas tempoh ditetapkan, jika masih ada baki baju, kami akan menyerahkan kepada syarikat LLCM untuk menguruskan bagi kitar semula. Memang di luar dugaan kerana dalam tempoh dua jam setengah, lori lima tan yang ditempatkan di lokasi hampir penuh dengan pakaian terpakai.
"Memang puas hati dengan sambutan orang ramai yang memberi sumbangan dan datang untuk mengambil pakaian secara percuma. Tapi program kitar semula barang kaca agak perlahan dan mungkin sebab kekurangan info, insya-Allah akan diperbaiki pada masa depan.
"Saya juga gembira kerana dapat memberi pakaian terpakai terus kepada orang ramai, berbanding sumbangan ke tong khas yang disediakan pihak tertentu di tepi jalan yang agak mengecewakan. Kebanyakan baju tidak boleh digunakan malah ada merosakkan tong berkenaan atas sikap mementingkan diri sendiri," kata Rashdan.
Sebahagian komuniti Bandar Baru Bangi, Selangor yang memeriahkan Program Kongsi dan Ambil Pakaian Terpakai Sempena Aidiladha.
Seramai 15 pemilik kenderaan membuka bonet untuk memberi pakaian terpakai sempena Aidiladha dan kebanyakan baju masih elok malah ada masih baru.
"Insya-Allah pada program akan datang pada 19 Januari 2025, kami akan mengadakan program yang sama, cuma ia memberi tumpuan khusus kepada ibu bapa yang membuat persiapan untuk anak-anak balik ke sekolah.
"Jadi, sesiapa yang ada pakaian, seluar, kasut atau apa-apa sahaja berkaitan sekolah termasuk buku ulang kaji, buku tulis atau beg sekolah boleh membuka bonet untuk memberi sumbangan itu kepada komuniti malah kami amat mengalu-alukan jika ada syarikat korporat yang berminat untuk turut serta.
"Kami akan sediakan tempat untuk membuka bonet dan mereka boleh letak barang untuk diberi kepada komuniti," kata Rashdan lagi.
Bukan sahaja baju terpakai, ada juga warga Bandar Baru Bangi yang menyumbang kasut roda terpakai kepada sesiapa yang memerlukan.
Beliau berkata, keutamaan program itu kepada komuniti dulu, jika tidak ada yang mengambil, ia akan diserahkan kepada LLCM untuk dikitar semula.
"Saya meminta sokongan semua pihak bagi memberi idea untuk menambah baik program ini, tiada ada agenda apa-apa sebaliknya kami menyambut baik pandangan semua pihak tanpa mengira latar belakang, pendidikan, fahaman politik, bangsa atau agama. Kami buat untuk semua bukan syok sendiri, cari keuntungan atau dapat sanjungan.
"Saya jenis manusia yang akan buat apabila orang lain tak buat, sekurang-kurangnya ada sumbangan saya kepada masyarakat dan pahala apabila saya meninggal dunia nanti.
Kebanyakan baju terpakai yang disumbangkan daripada komuniti untuk komuniti masih baharu dan sesuai untuk digunakan.
"Masa program pertama dulu, ada tanya dan beritahu mereka ada barang tapi tak tahu macamana nak sumbang kepada komuntii malah ada yang mahu datang ke rumah saya tapi saya rasa lebih baik jika dapat dikumpulkan, sekurang-kurangnya ada "one stop center" untuk mengambil keperluan ini.
"Program ini bukan atas tiket mana-mana pertubuhan bukan kerajaan tapi hasil perbincangan dan kata sepakat. Kami namakan Sukarelawan Bangi untuk memberi semangat kepada orang lain untuk turut serta, cuma masalahnya apabila meminta sokongan dari MPKj atau Ahli Majlis, mereka tanya kami dari NGO mana.
"Kami bukan meminta sumbangan tapi sekadar meminta sokongan atau bantuan bagi memudahkan program ini dijalankan terutama lokasi untuk program ini selain mengawal lalu lintas dan beberapa perkara lain berkaitan perundangan majlis tempatan," katanya. - KitaReporters
Konsep free market yang dijalankan sangat mudah, warga Bandar Baru Bangi hanya perlu membuka bonet untuk menyumbang baju terpakai dan sesiapa pun boleh mengambil barangan itu secara percuma.