Video| Berarak sempena Maulidur Rasul! Warga emas 2 pusat jagaan berselawat! 3 terima hadiah tokoh!
Published byWALAUPUN sama-sama keuzuran namun sikap ringan tulang dan suka membantu rakan senasib tanpa jemu menjadi pilihan tepat tiga warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor apabila terpilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul 2023 bagi kategori penghuni.
Pemilihan Elias Othman berasal dari Johor, Faridah Isa dari Kelantan iaitu penghuni di PJMM dan Muhammad Adam Wong Abdullah dari PJNH diumumkan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M PJMM, pada 28 September 2023 dan PJNH pula 2 Oktober 2023.
Ustaz Alias Ahmad (kiri) mengetuai perarakan berselawat warga emas dan penduduk kampung sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M, Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pada 2 Oktober 2023.
Elias othman (kiri) menerima cenderamata Tokoh Maulidur Rasul bagi kategori penghuni daripada Pengerusi PJMM, Azman Rasman.
Elias, 67, yang
ditemui, berkata kerajinan dia membantu rakan senasib di pusat jagaan itu
bukanlah berniat untuk memenangi mana-mana anugerah atau disanjung sebaliknya
melakukan dengan ikhlas membantu rakan yang sebahagian besar berada dalam
keadaan keuzuran.
Menurutnya, dia
mengenali semua rakan sepenghuni di PJMM dan apabila selalu duduk berborak bertanya
khabar, hubungan antara mereka semakin rapat dan saling membantu dalam melakukan pelbagai
perkara sudah menjadi rutin hariannya yang masih mampu berjalan walaupun
menghadapi masalah sakit dalaman.
Tambahnya, daripada membantu menyorong kerusi roda rakan yang lumpuh atau terkesan dengan penyakit tiga serangkai khususnya kencing manis, dia turut memberikan tunjuk ajar melakukan senaman ringan kepada rakan-rakan.
“Selepas lima tahun menjadi penghuni di PJMM saya bersyukur kerana berjaya khatan al-Quran sebanyak lima kali malah tidak pernah berasa jemu mengikuti kelas mengaji serta fardu ain yang dipimpin ustaz dan ustazah bertauliah di samping menunaikan solat tahajjud berjemaah,” katanya yang melahirkan rasa gembira menerima anugerah itu.
Faridah isa (depan tengah) bersama-sama rakan yang menerima anugerah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul PJMM.
Faridah, 67, pula berkata, selepas kematian suaminya dan terlantar di hospital tanpa ditemani anak, dia berasa bertuah apabila dihantar ke PJMM untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila tiada tempat untuk berteduh sejak hampir dua tahun lalu.
Dia yang mendakwa
mempunyai dua anak perempuan tidak lagi bergantung harapan kepada mereka
selepas disisihkan kerana keuzuran namun kini kembali sihat dan dapat membantu
rakan-rakan perempuan yang uzur dan terlantar di atas katil.
Menurutnya, di samping membantu petugas mengagihkan makanan, dia turut membantu membersihkan meja makan serta mengemaskan barangan atau menyusun kitab serta al-Quran di dalam surau.
“Saya berasa tidak selesa hanya duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa kerja memandangkan keadaan kesihatan semakin pulih bagi membantu rakan-rakan yang uzur atau lemah untuk bergerak atau membersihkan diri,” ujarnya yang sudah dua kali khatan al-Quran dan tidak pernah lupa menunaikan solat tahajjud setiap hari.
Muhammad Adam Wong Abdullah menerima cenderamata Tokoh Maulidur Rasul bagi kategori penghuni PJNH daripada Pengerusi PJMM, Azman Rasman.
Manakala Muhammad Adam, berkata rakan senasib dengannya di PJNH diibarat sebagai ahli keluarga kerana itu dia sentiasa membantu petugas menyediakan hidangan makanan dan minuman untuk warga emas setiap hari.
Menurutnya, bagi rakan yang berkerusi roda dia akan membantu menyorong mereka untuk ke meja makan atau ke surau bagi menunaikan solat berjemaah di samping memapah untuk baring di atas katil apabila tiba masa untuk tidur atau sebagainya.
Jelas beliau yang berusia 69 tahun, tiada yang menyuruh atau memaksa dia melakukan pelbagai kerja membantu rakan penghuni di PJNH sebaliknya dilakukan secara sukarela malah salah satu cara bagi menghilangkan rasa bosan apabila hanya duduk sahaja.
“Kesempatan ini juga saya gunakan untuk bersenda gurau dengan rakan warga emas yang masing-masing mempunyai pelbagai kisah suka duka masa silam sama ada dibuang oleh ahli keluarga atau hidup sebatang kara tanpa waris.
“Alhamdulillah saya gembira menerima anugerah ini selepas empat tahun memeluk agama Islam dan sudah tujuh tahun menjadi penghuni PJNH selepas dihantar pihak hospital kerana tiada tempat untuk berteduh apabila discaj dari wad,” ujarnya.
Norfathiah Izyan Norman (kanan) menerima cenderamata Tokoh Maulidur Rasul bagi kategori kakitangan PJNH.
Sementara itu, dua petugas menerima anugerah Maulidur Rasul bagi kategori kakitangan iaitu Suhaimi Kamarul Ghani (PJMM) dan Norfathiah Izyan Norman (PJNH) di samping beberapa sukarelawan menerima bagi kategori berkenaan termasuklah Muhd Azizan Abdullah dan Zamila Majlis. - KitaReporters
Bendahari PJNH, Suraiyah Harun menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari Pusat Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin, Pokok Sena, Kedah yang turut hadir memeriahkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul PJNH.