SEMUA pihak perlu bekerjasama membersih dan memulihkan kembali persekitaran kawasan terjejas akibat banjir di beberapa tempat di Daerah Seremban dan Rembau di Negeri Sembilan yang berlaku pada Rabu 4 November 2020 sebagai usaha membantu meringankan beban terpaksa ditanggung penduduk terlibat. : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Sudahlah truma dengan kejadian yang tidak diduga, bagi individu atau keluarga terlibat terpaksa menghabiskan masa dan tenaga untuk membersihkan segala kekotoran terutamanya lumpur di sekitar bahagian dalaman rumah juga perlu mengasingkan barangan yang musnah dan tidak lagi boleh diguna pakai untuk dibuang.

Memandangkan keadaan ini usaha dijalankan oleh sebuah badan sukarela Sahabat Amal Care di bawah naungan pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun untuk mencari bakal sukarelawan bagi membantu pertubuhan itu menjalankan kerja-kerja membersih dan memulih kemas rumah-rumah penduduk di beberapa kawasan di sekitar Seremban dan Rembau yang terjejas akibat banjir tersebut.

Tiga orang petugas syarikat SWM Environment Sdn Bhd membersih dan memasukkan barangan rosak akibat banjir di Seremban untuk dihantar ke tempat pelupusan sampah. - Kredit foto: FB MB Negeri Sembilan, Negeri Sembilan Update, Asma Harun dan Perbadanan  Baitulmal Negeri Sembilan.


Menurut Asma, disebabkan pergerakan yang agak terbatas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sekarang di Daerah Seremban, pihaknya terpaksa mengutamakan warga Negeri Sembilan bagi pengambilan tersebut.

Mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan Sahabat Amal Care ini tidak mengira peringkat umur sekalipun masih belajar di sekolah menengah tetapi boleh bekerja adalah digalakkan.
"Kami mengalami kekurangan tenaga sukarelawan untuk melakukan kerja-kerja membantu mangsa terjejas banjir membersihkan rumah dan mengeluarkan barangan yang rosak dan tidak lagi boleh dipakai. Kerana banyak rumah yang perlu dibantu bagi kerja-kerja pembersihan," katanya.

Salah sebuah kediaman lama yang musnah dalam kejadian banjir di Seremban.
Kepada warga Negeri Sembilan terutama yang tinggal berhampiran kawasan terjejas banjir sama ada di Daerah Seremban maupun Rembau dan berminat untuk menjadi sukarelawan Sahabat Amal Care boleh menghubungi talian 011-58802995 segera bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara tersebut. Pihak pertubuhan memerlukan segera tenaga sukarelawan seramai mungkin.
Buat masa ini NGO Sahabat Amal Care dengan tenaga yang terbatas hanya mampu menyelesaikan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir dengan pemilik dan keluarga mereka antara lima ke enam buah sehari bergantung kepada keluasan dan banyaknya barangan yang ada.

Barangan keperluan asas siap untuk diagihkan kepada penduduk yang terlibat banjir di sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

Banjir kilat yang disifatkan antara terburuk dalam tempoh 20 tahun melibatkan sekurang-kurangnya sembilan kawasan berikutan hujan lebat kira-kira tiga jam secara berterusan lewat tengah malam pada Rabu, 4 November 2020 dipercayai kesan lempahan air Sungai Temiang dan Sungai Linggi.

Antara kawasan terjejas Taman Happy, Taman Blossom, Kampung Dato' Mansur di Rasah, Kampung Baru Blok C Ampangan, Kampung Batu 3 Mambau, Taman Bukit Chedang dan Taman Angsamas di Seremban. Manakala kawasan Rantau di Rembau melibatkan Kampung Silliau, Linsum dan Kuala Sawah.
Turut meenjalankan kerja-kerja pembersihan membantu penduduk terjejas banjir bagi tujuan pembersihan dalaman dan luaran rumah serta mengumpul barangan yang rosak untuk dilonggok kemudian diangkut sama ada bahagian pembersihan Majlis Perbandaran Seremban atau agensi swasta lainnya termasuklah Pertubuhan Khidmat Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Sekretariat Prihatian Malaysia, berbagai-bagai NGO lainnya serta jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri dan persekutuan.
Dianggarkan kira-kira 1,000 keluarga terlibat dengan banjir yang memusnahkan jutaan ringgit nilai harta benda, kenderaan, peralatan rumah, pakaian, pelbagai barangan keperluan termasuk peralatan dapur.
Aminuddin Harun (dua dari kanan) menyantuni penduduk terlibat banjir di salah sebuah Pusat Pemindahan Sementara sambil mendengar masalah yang mereka kemukakan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan dan Perbadanan Menteri Besar memperuntukkan RM500,000 sebagai sumbangan meringankan beban yang dihadapi kepada 1,000 keluarga terlibat. Setiap keluarga menerima RM500 disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan yang terlibat.
Melalui paparan terbaharu dalam laman sosialnya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri bersimpati dengan apa yang berlaku dan mendoakan semua terlibat sabar dan tabah menghadapi ujian terjadi.
Dalam perkembangan lain, beliau bersama wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat persekutuan serta negeri termasuk badan-badan NGO meninjau dan menyantuni penduduk di beberapa kawasan yang terlibat banjir di samping menghulurkan bantuan termasuk makanan, pakaian dan barangan keperluan asas.

Barangan keperluan asas antaranya makanan, pakaian dan selimut disumbangkan oleh pihak syarikat dan orang perseorangan bagi keperluan penduduk terjejas banjir diturunkan dari sebuah kontena
Malahan pihak-pihak terlibat khususnya dari kalangan NGO bukan setakat menghulurkan bantuan makanan atau peralatan keperluan asas tetapi sama-sama berganding bahu bersama penduduk membersih rumah dan mengasingkan barangan yang rosak dan tidak lagi boleh dipakai.
Kejadian banjir kali ini sejumlah 45,067 penduduk di sekitar Seremban dan Port Dickson terputus bekalan air bersih berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi kerana pembahagi aliran sungai di kawasan itu pecah. 

Syarikat Bekalan Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dapat dipulihkan kembali pada Jumaat 6 November 2020 setelah kerja-kerja pembaikan selesai.

Bagi penduduk di Seremban sudahlah ditimpa musibah banjir pada Rabu 4 November 2020, esoknya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan selama dua minggu dari 5 hingga 18 November 2020. 

Keadaan ini menambahkan keperitan mereka bagi melakukan usaha pemulihan kesan yang terjejas akibat banjir semasa pergerakan terbatas.

Bagi semua penduduk di Seremban dan Rembau serta sekitarnya kejadian banjir yang berlaku suatu fenomena alam yang terpaksa kita tempoh dan hadapi, sekalipun dalam apa juga keadaan. Bersabar dan tabahlah menghadapinnya. - KitaReporters

Barangan keperluan dan makanan sedia diagihkan kepada penduduk terjejas banjir di sebuah pusat agihan di Seremban.


Beginilah keadaan banjir yang berlaku di sekitar Seremban di mana jalan-jalan utama dinaiki air mencecah 0.5 meter dan ada tempat-tempat tertentu tidak dapat dilalui kenderaan.
Jalan-jalan yang dinaiki air akibat banjir sama ada di Seremban atau di Rembau seperti sungai.

Pakaian antara barangan diedarkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.

Sumbangan barangan keperluan diberikan kepada yang terjejas kerana banjir.

Salah seorang penduduk yang menghadapi masalah kesihatan terpaksa dibantu untuk dibawa ke tempat lebih selamat.

2
1
0
0
0

Copy Link: