Alfatihah.... Gambar Allahyarham Datuk Jamali Shadat ketika di pembaringan beberapa hari lalu. Gambarnya dimuat naik oleh cucunya, Isyraq Ariff.


KALAU dunia lawak sekarang mungkin teringat kehebatan Nabil Ahmad yang bercakap `seorang diri` sebagai pelawak komediri (stand-up comedian) atau Harith Iskandar yang pernah menjuarai acara lawak dunia tapi perintis asalnya adalah Allahyarham Datuk Jamali Shadat, 78.

Dia berjaya mendidik masyarakat berbilang kaum menerusi karakter `Atan dan Atuk`.

Jamali yang boleh mempelbagaikan nada suara bermula seorang cucu, atuk, orang India, apek dan `Mat Salleh` serta meniru suara pelakon pada zaman arwah P Ramlee, hari ini membawa bersamanya `cucu` yang kita tidak pernah kenali kecuali suara manjanya `Atan`. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pelawak:

https://kitareporters.com/search?search=pelawak




Jamali seperti mana anggota kumpulan AlleyCats yang dijadikan `duta` tak rasmi untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum menggunakan bahasa Melayu dalam lagu-lagu dendangannya. 

Manakala `Atuk` dan `Atan` pula memikat hati dengan kemampuannya memukau masyarakat bukan Melayu bila dia menggunakan dialek orang Cina, India dan Inggeris mencuit hati dengan lawak spontannya.




Grafik info Bernama


Pada 3 Februari 2021, kita kehilangan Atan dan Atuk. Arwah Jamali meninggal dunia kerana sakit tua di rumahnya di Bukit Kapar Kapar, Pelabuhan Klang selepas seminggu tidak makan dan tahap kesihatannya yang semakin merosot. 

Dua tahun lalu, 2018 Jamali kehilangan isteri tercinta, Datin Lela Yaacob, selepas terlantar sebulan dirawat di hospital. 

Pasangan itu meninggalkan 8 anak dan 39 cucu, Jenazah Jamali disemadikan selepas zohor.



Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam entri dalam Facebooknya, meluahkan rasa sedihnya kerana negara kehilangan seorang seniman yang akan dirindui ramai.

"Siapa sini pernah tengok komedi arwah? Setiap satunya bukan saja mencuit hati tetapi membawa makna dan mesej tersendiri.

"Selalu disampaikan dengan baik dan menghiburkan. Takziah kepada keluarga arwah. Semoga roh ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. AlFatihah." katanya.




Bagi generasi tahun 80-an mempunyai memori indah dengan gelagat arwah. Hebatnya sampaikan syarikat rekod merakam dan menjual gelagat Atan dan Atuk serta mendapat sambutan sebagaimana penyanyi yang merakam piring hitam.

"Saya masih ingat, saya mainkan piring hitam lawak jenaka Atan setiap hari selepas balik sekolah. Itulah satu-satunya hiburan buat saya sambil buat kerja sekolah," kata Wan Faizah Wan Taib, usahawan dan peminat setia Atan, dalam Facebooknya.

"Ternyata Allah SWYT lebih menyayanginya. Semoga Allah pelihara dan tempatkan rohnya bersama orang-orang berimah. Aamin, Ya RabbalAlamin," kata Dato Nash.

"Kita sedih dengan perkhabaran ini, ternyata kehilangannya tiada ganti. Al-Fatihah," kata Datuk Dj Dave dalam satu nota takziah yang diedarkan oleh Yayasan Artis Tanahair. 

"Tak pernah lawaknya mencarut atau dua makna. Yang hairannya masih tetap lucu dan buat orang ketawa. Inilah keunikan Datuk Jamali Shadat. Innalillahiwainnailairojiun. Al-Fatihah, " kata Hafizan Rahman daripada grup peminat gambar-gambar lama dan klasik.



Tokoh wartawan, Datuk Roslan Bian dalam catatan Facebooknya menceritakan kenangan dia merawat resdung yang dihidapi oleh arwah di kliniknya di Sentul.

Katanya, arwah sangat menitik berat rawatan itu kerana masalah resdung berkaitan dengan telinga, hidung dan tekak yang boleh menyebabkan suara `Atan` dan watak-watak lain tidak sempurna.

"Walaupn ada pembantu di klinik, arwah akan menghubungi saya untuk membuat tempahan temu janji dan selepas beberapa kali menjalani rawatan, arwah memaklumkan sudah sembuh.

"Bagaimanapun dua tahun lepas, arwah ada menghubungi saya balik bertanyakan tentang rawatan itu, malangnya saya kata klinik dah tutup. Tak sangka dia masih menyimpan nombor telefon saya," katanya yang kemudian menutup operasi rawatan alternatif itu untuk memberi tumpuan ke bidang kewartawanan.

Selain arwah Jamali ada beberapa artis dan ahli politik turut mendapat rawatan di kliniknya.



Artis komedi, Shahrizan Ahmad pula menyifatkan arwah Jamali sebagai seorang sahabat yang selalu memberi nasihat... berjimat cermat, beringat sementara ada.

"Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang soleh. Al-Fatihah," katanya.

Wartawan hiburan terkenal, Huzz Aini pula mendoakan semoga roh almarhum seniman Jamali Shadat dicucuri rahmat Allah. Aamin. 

Manakala Datuk Hattan yang aktif mengemaskinikan Facebooknya berkata, "perginya seorang legenda. Moga Pak Jamali ditempatkan di dalam golongan orang-orang soleh," - KitaReporters

0
0
2
0
0

Copy Link: