Kerana COVID-19! Tahan peluk Islam! Bertemu dan kahwini Ani!
Published bySEPERTI yang sudah diketahui umum bahawa rezeki, jodoh dan maut semua sudah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak kita masih berada di dalam kandungan lagi.
Dalam soal jodoh, semua lelaki mahupun wanita inginkan diketemukan jodoh yang sempurna mengikut jantina (pasangan) masing-masing. : KitaReporters
Sebuah perkampungan Orang Asli etnik Bateq di pesisir Sungai Tembeling berdekatan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: tourhq.com
Cuma hanya menyimpan keinginan di lubuk hati masing-masing sekiranya tidak diluahkan secara terang-terangan.
Jodoh juga boleh dikatakan sebuah perjalanan menuju destinasi. Seperti ajal, cuma cepat atau lambat.
Apabila bertemu jodoh, maka sudah tiba masanya untuk anda menamatkan zaman bujang. Diikuti keinginan berumah tangga, sekali gus melihat zuriat menerusi hasil perkahwinan yang sah tersemai dalam hati.
Perjodohan merupakan ketentuan Allah SWT. Kalau mencari bakal jodoh, bukan hanya disandarkan keinginan pada paras rupa sahaja tetapi haruslah sempurna juga imannya terhadap agama.
TAHAN BUYUNG
Berbicara soal jodoh ini, kisah pemuda Orang Asli etnik Bateq, Tahan a/l Buyung, 32, antara yang menarik bagaimana dia bertemu dengan pasangannya, Ani a/p Bolek.
Ibarat kata pepatah orang-orang tua dahulu, 'asam di gunung, ikan di tebat, dalam belanga bertemu jua'. Sekiranya jodoh, walaupun jauh, bertemu juga.
Tahan berasal dari Kampung Jeram Aur, Hulu Tembeling, Jerantut, manakala pasangannya, Ani yang juga etnik Bateq menetap di Kampung Machang, Pos Lebir di Pasir Linggi daerah Kuala Krai.
Gadis Orang Asli etnik Bateq di kediaman mereka di Kampung Jeram Aur berdekatan Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Bagaimana pasangan itu bertemu?. Ceritanya amat menarik.
Detik percintaan kedua-duanya bermula apabila penularan wabak COVID-19 pada bulan Februari lalu. Tahan dan penduduk Jeram Aur, Hulu Tembeling berpindah beramai-ramai jauh ke dalam hutan sehingga menetap sementara berhampiran dengan sempadan negeri Kelantan.
Untuk makluman, adat resam Orang Asli etnik Bateq sejak dahulu lagi akan berpindah tempat tinggal sementara sekiranya berlaku musibah seperti wabak penyakit.
Orang Asli etnik Bateq menyusuri anak sungai berpindah sementara ke dalam hutan untuk mengelakkan ancaman musibah COVID-19 baru-baru ini. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Kemungkinan untuk mengelakkan ancaman wabak COVID-19, penduduk minoriti tersebut memilih untuk berpindah ke dalam hutan banat.
Memang jodoh Tahan tersurat sewaktu perpindahan itu. Kebetulan keluarga Ani juga berpindah ke tempat yang sama. Mereka mula berkenalan dan bersemilah bibit percintaan dan kemudiannya memutuskan untuk berkahwin.
Tetapi, cabaran yang pertama, iaitu Tahan perlu memeluk agama Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pasangannya yang sudah beragama Islam.
Tahan Buyung (depan, kanan) sedang mempelajari lafaz kalimah syahadah yang sedang ditunjuk ajar oleh seorang sukarelawan di Pasir Linggi, Kuala Krai, Kelantan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Pengerusi Bird Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim, 56, berkata, sebelum ini, Tahan sudah mengenali agama Islam apabila pemuda itu sering bergaul dengan ahli Sahabat Jariah Malaysia, Petaling Jaya yang kerap melakukan aktiviti kemanusiaan membantu penduduk Orang Asli di penempatan pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Tahan.
Katanya, pemuda etnik Bateq itu diberi tanggungjawab menjadi pemandu pelancong kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut ketika menjalankan program ziarah dan bantuan misi kemanusiaan semasa tempoh
penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Negara Kuala Tahan.
"Bermula pertemuan dengan ahli Sahabat Jariah Malaysia, Tahan sering diberi motivasi menjana kehidupan yang bahagia dan dititip aspek kerohanian berasaskan pegangan Islam.
"Lagipun pemuda Bateq ini sudah sinonim adat budaya Melayu Kuala Tahan dan merupakan pemandu pelancong di bawah bimbingan BGTN sejak 10 tahun lalu," katanya.
Ujarnya, Tahan yang sangat mahir dengan selok belok kawasan sungai dan hutan tropika Taman Negara juga sering menjadi rujukan pemandu pelancong tempatan malah begitu mesra serta dikenali penduduk Kuala Tahan.
Gambar fail tahun 2019... Pemuda Orang Asli etnik Bateq (barisan kedua, kiri) juga bekerja sebagai 'porter' selain pemandu pelancong di Bumbun Kumbang, Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Afzal Abd Aziz
Katanya, tempoh PKP memberikan peluang Tahan mengenali Islam ditambah pula sering dititip aspek kerohanian oleh ahli Sahabat Jariah Malaysia serta dalam kalangan rakan pemandu pelancong BGTN.
"Alhamdulillah, Tahan melafazkan kalimah syahadah pada 9 Julai 2020, di Pasir Linggi, manakala majlis akad nikah dengan Ani yang merupakan anak kepada Tok Batin Bolek, Kampung Machang pada 15 Julai 2020 lalu," katanya.
Tahan Buyung sedang melafazkan akad nikah di hadapan jurunikah di Pasir Linggi, Kuala Krai, Kelantan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Tahan Buyung (depan) bersama pasangannya, Ani Bolek selepas selesai diijab kabul sebagai suami isteri pada 15 Julai 2020, di Pasir Linggi, Kuala Krai, Kelantan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Roslan menambah, belanja menguruskan majlis pernikahan Tahan dan Ani dibiayai Sahabat Jariah Malaysia.
"Kita doakan semoga Tahan terus istiqamah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Islam serta bahagia dengan pasangannya sehingga jannah," ujarnya. - KitaReporters
ROSLAN ABU KASSIM