Video| Elly Kasim, ratu lagu minang, penyanyi asal 'Ayam Den Lapeh' meninggal! Rakam 100 album!

Published by
KitaReporters
...

Wajah terbaharu Elly Kasim. - Kredit foto: Kompas.com



ANDA mungkin sudah sinonim dengan lagu bahasa Minang ‘Ayam Den Lapeh’ (Ayamku Lepas) sejak tahun 1960-an lagi. Lagu ini sudah dirakam oleh ramai penyanyi termasuk Anita Sarawak dan popular di sejumlah negara ASEAN. 

Penyanyi asal lagu ‘Ayam Den Lapeh’ itu kini sudah mengadap Ilahi. Elly Kasim Ali Umar, 76, meninggal dunia pada kira-kira jam 3.48 pagi waktu tempatan pada Rabu, 25 Ogos 2021 di Hospital MMC Kuningan, Jakarta.

Dia dimasukkan ke hospital itu setelah mengalami sakit bahagian usus yang menjadi komplikasi.  


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Minang

Elly Kasim sentiasa menjaga penampilan walaupun sudah berusia. - Kredit foto: Tribun.com



Elly Kasim mempunyai pencapaian cemerlang sebagai insan seni. Dia dianggap sebagai ratu lagu-lagu Minangkabau dengan berjaya mempopularkan lagu Minang ke sejumlah negara terutama di negara ASEAN termasuk Malaysia. 

Elly Kasim muncul sebagai penyanyi pada tahun 1961. Dia sudah merakam kira-kira 100 album lagu bercorak Minang dan Pop-Minang dengan lagu ‘Ayam Den Lapeh’ begitu sinonim dengannya.




Selain menyanyi Elly Kasim juga terlibat dalam peniagaan dan mempunyai syarikat perancang perkahwinan (wedding planner) khusus mengikut adat Minang.

Sebagai perancang perkahwinan khusus adat Minang, Elly Kasim banyak menguruskan perkahwinan golongan ternama dan selebriti. Antara selebriti yang mendapatkan khidmatnya ialah Nikita Willy, Attar Halilintar dan Aurel Hermansyah.

Tugas terakhir Elly Kasim sebagai perancang perkahwinan ialah menguruskan sesi adat perkahwinan Minangkabau penyanyi dangdut dan pelakon, Lesti Kejora dan Rizky Billar pada minggu lalu.

Kegiatannya sebagai penyanyi dan perancang perkahwinan menyebabkan Elly Kasim turut mempunyai kediaman di Jakarta iaitu di Kayu Putih, Pulogadung, Jakarta Timur.


...

Elly Kasim bersama penyanti legenda Titiek Puspa. - Kredit foto: Liputan6.com


Pada tahun 2017, Elly Kasim mengadakan konsert solo dikenali sebagai Konsert Menjulang Bintang  sempena 57 tahun sebagai insan seni. 

Dalam persembahan yang turut disiar di TV itu, Elly Kasim turut mengundang penyanyi legenda Titiek Puspa dan penyanyi terkenal Judika.

Elly Kasim bakal menyambung ulang tahunnya yang ke-77 pada 27 September 2021. Kepergian Elly merupakan kehilangan besar kepada industri seni Indonesia.

Walaupun dalam pandemik Covid-19, kediaman Elly Kasim dikunjungi ramai orang kenamaan dan selebriti. Antara yang hadir ialah Gabenor Jakarta, Anies Baswedan. 

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Awam Al Azhar, Karawang pinggir Jakarta. - KitaReporters


...

Gabenor Jakarta, Anies Baswadan antara golongan VIP yang menziarah jenazah Elly Kasim. Kredit foto: Suara.com

0
0
2
0
0

Copy Link: