Tolong kami! Bantu Samah Ali! Jaguh angkat berat tunggu bantuan! Dapatkan kaki palsu baharu!
Published bySamah Ali terpaksa mengorbankan kaki kirinya sehingga paras betis pada tahun 2011 akibat penyakit diabetes yang kronik. - Kredit foto: Harian Metro
PADA zaman kegemilangannya sebagai jaguh sukan angkat berat negara dahulu, Samah Ali, 66, mampu membuat angkatan seberat 100kg, tapi kini beliau perlu bergantung pada kerusi roda, kaki palsu dan tongkat untuk bergerak ke sana ke sini.
Semuanya angkara penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak awal 1990-an makin kronik sehingga memaksa kaki kirinya dipotong separas betis pada 2011.
Sejak itu Samah bukan sahaja terpaksa melupakan sukan angkat berat malah pergerakannya sangat terbatas yang menyebabkan dirinya lebih banyak berkurung di rumah bersama isteri, Normah Shariff.
Samah yang bersara daripada sukan selepas kali terakhir mewakili negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, berkata, pada peringkat awal mengalami penyakit kencing manis, keadaannya terkawal.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan
Samah dan isterinya, Normah hidup secara sederhana hasil wang pencen serta bantuan beberapa pihak termasuk YAKEB dan Baitulmal. - Kredit foto: Samah Ali
“Dulu, saya masih boleh bergerak ke sana ke sini serta menjalankan aktiviti sebagaimana biasa. Walaupun sudah bersara namun saya masih aktif membabitkan diri dengan sukan angkat berat seperti melatih atlet muda atau memenuhi jemputan sebagai juri pertandingan.
“Tapi, sejak potong kaki bagi mengelak jangkitan kuman, pergerakan saya memang terbatas yang mana saya perlu gunakan kerusi roda, kaki palsu dan tongkat.
“Apatah lagi dengan keadaan Covid-19 sekarang, saya langsung tidak keluar rumah kecuali jika ada perkara terlalu penting, contohnya untuk temu janji rawatan di hospital atau klinik.
“Malah, sejak awal negara dilanda Covid-19 dulu, kami ambil keputusan balik tinggal di kampung isteri saya di Muar. Mungkin bila Covid-19 dah reda baru kami balik ke KL,” kata Samah yang menetap di sebuah rumah pangsa di Alam Damai, Cheras.
Samah Ali dirakam bergambar bersama hasil lukisannya. - Kredit foto: Harian Metro
Mengenai kehidupannya kini, Samah berkata beliau hidup secara bersederhana hasil wang pencen sebagai pesara pustakawan Kementerian Pertahanan sebanyak RM1,000 serta bantuan Baitulmal sebanyak RM200 sebulan.
“Cukuplah untuk perbelanjaan saya dan isteri. Orang tua makannya tak sebanyak mana,” ujar jaguh angkat berat itu yang tidak mempunyai anak.
“Saya bersyukur, sebagai bekas kakitangan kerajaan, saya tidak perlu menanggung sebarang kos setiap kali mendapatkan rawatan di hospital, semuanya percuma. Saya perlu membuat pemeriksaan sekurang-kurang sekali sebulan.
“Pada masa sama, YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) sangat mengambil berat keadaan saya. Selain bertelefon bertanya khabar, mereka juga mengunjungi saya sambil menghulurkan sumbangan.
“Saya juga perlu berterima kasih kepada YAKEB kerana menderma kaki palsu serta kerusi roda yang bernilai tidak kurang RM10,000 sebaik sahaja kaki saya dipotong. Saya sangat bersyukur kerana tanpa bantuan mereka, saya tidak mampu untuk membelinya,” kata Samah kepada KitaReporters.
YAKEB banyak membantu meringankan beban Samah sejak beliau menghidap diabetes kronik pada 2011. - Kredit foto: YAKEB
Cuma, menurut Samah, beliau kini sangat berharap YAKEB dapat membantunya sekali lagi bagi mendapatkan kaki palsu baharu kerana kaki palsu yang dipakainya sekarang sudah tidak sesuai.
“Saya pakai kaki palsu ini sejak 2011, dah 10 tahun, jadi sudah tidak selesa ketika berjalan. Kalau boleh, saya mahu kaki palsu baharu.
“Saya sudah suarakan kepada YAKEB sejak dua tahun lalu. Malah, ketika mereka menziarah saya di sini (Muar) pada Disember lalu (2020), sekali lagi saya suarakan hasrat saya itu. Mereka berjanji akan mengusahakannya.
“Setakat ini belum ada apa-apa berita mengenai perkara itu. Namun, saya faham mungkin keadaan sekarang menyukarkan mereka untuk bertindak segera kerana fokus sekarang adalah kepada menangani Covid-19,” kata Samah.
Mengenai keadaan kesihatannya, Samah memberitahu, selepas kakinya dipotong, keadaan kencing manis beliau terkawal. Setiap hari beliau perlu mengambil suntikan insulin serta mengawal pemakanan.
"Alhamdulillah, saya rasa sihat, cuma pemakanan kena jaga. Saya seronok tinggal di kampung, tenang. Sejak balik ke sini, berat badan pun dah naik ke 80kg, maknanya senang hati la tu," ujar Samah ceria ketika dihubungi KitaReporters.
Sepanjang kariernya sebagai jaguh sukan angkat berat, Samah memenangi pingat pada peringkat Asia dan Asia Tenggara. - Kredit foto: Harian Metro.
Sepanjang kariernya sebagai jaguh angkat berat negara, Samah mencipta beberapa kejayaan, antaranya, memenangi pingat emas Kejohanan Angkat Berat Asia pada 1977 (Singapura) dan 1979 (Filipina), serta Sukan SEA 1979 di Jakarta, Indonesia.
Beliau mengakhiri kariernya dengan memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
“Dulu, sukan angkat berat tidak diberi perhatian serius, kemudahan untuk berlatih pun kurang. Kami juga tidak mempunyai jurulatih, hanya berlatih sendiri.
“Jadi, walaupun bilangan pingat yang saya menang hanya boleh dibilang dengan jari, namun ia tetap satu pencapaian yang membanggakan,” kata Samah. – KitaReporters
Samah terpaksa menggunakan kaki palsu dan tongkat untuk bergerak. - Kredit foto: YAKEB