Keluarga Malaysia: Tolong kami! Bantu bekas tentera siapkan rumahnya! Terbengkalai lebih 2 tahun!
Published byPENDERITAAN kehidupan seorang bekas anggota tentera yang tidak berpencen di Baling, Kedah amat menyedihkan kerana terpaksa tinggal dalam sebuah rumah yang masih terbengkalai bersama isteri dan tiga anaknya.
Razali Zainol, 63, tinggal dalam rumah di Kampung Becah Tok Bulan, Dalam Wang di Baling yang dibuatnya beberapa tahun lalu tetapi masih terbengkalai sehingga hari ini.
Keadaan rumahnya yang amat menyedihkan kerana tiada bertingkap dan lantai tiada bersimen.
Lagi cerita-cerita rayuan berkaitan kisah bekas tentera
Razali Zainol di hadapan rumahnya di Kampung Becah Tok Bulan, Dalam Wang di Baling, Kedah.
Menurut Razali, hampir dua tahun lalu ada pihak dari pasukan 6 Brigade Sungai Petani datang ke rumahnya berjanji untuk menyiapkan rumahnya dalam mada terdekat.
Namun sehingga hari ini "kedatangan seorang pegawai ke rumah saya itu terus tidak menampakkan apa-apa hasil yang dijanjikan," jelasnya. Beliau juga berkata, dia telah merayu kepada berbagai-bagai pihak untuk mendapatkan bantuan menyiapkan rumahnya namun tiada berjaya.
Razali mempunyai tiga anak dua lelaki berusia 4 dan 8 tahun dan seorang anak perempuan berusia 2 tahun. Isterinya, Delkeyes @ Jamilah, 27, berasal dari Rohingya membantu Razali mencari ulam kampung untuk dijual dari rumah ke rumah dan di pasar minggu.
Menurut Razali dia dan isterinya mengutip pucuk paku, pucuk ubi kayu, buah beka dan pucuk pegaga untuk dijual bagi menampung kehidupannya.
Razali di bahagian dalam rumahnya yang tiada bersimen dan sebahagian dindingnya juga masih tidak bersimen.
Beliau juga berterima kasih pada Ahli Parlimen Baling, Dato Seri Abd Azeez Rahim yang membantunya mendapatkan bekalan eletrik dan air ke rumahnya.
Beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai risikan berpangkat leftenan sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama ATM berharap, pihak yang menjanjikan dapat menunaikan janji mereka untuk menyiapkan rumahnya yang masih terbengkalai.
Tegas Razali, dia dan keluarganya hidup dengan bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling sejak setahun lalu. - KitaReporters
Razali Zainol dan seorang anaknya berdiri di bahagian tingkap rumahnya yang masih terbengkalai.