DIA bek kiri keras dan lincah. Pernah digelar ‘Trojan’ berdasarkan mitos perang kuda kayu gergasi Raja Sparta yang berjaya menceroboh kota Troy. Dia Allahyarham Mohd. Roslan Buang yang kembali ke rahmatullah pada Sabtu, 3 Oktober 2020 lalu pada usia 81 tahun. : KitaReporters

ROSLAN (empat dari kiri) melaungkan sorakan semangat pasukan Malaya dalam satu perlawanan antarabangsa. - Kredit foto FB Imran. 


MOHD. Roslan Buang ketika terlantar sakit di rumahnya diziarahi legenda Olimpik 1980, Khalid Ali (kanan). Sabariyah Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Rosniah. - Kredit foto Yakeb.   


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


Dilahirkan pada 26 Oktober 1939 di Ampang, Selangor, beliau juga merupakan antara perintis kejayaan pasukan Malaya mengecapi pingat gangsa bola sepak Sukan Asia pada 1962 di Jakarta, Indonesia (kemudian diulangi skuad lain pada temasya Tehran 1974). 

“Beliau sering bergandingan dengan Allahyarham Majid Ariff (juga tonggak Singapura). Larian kencang dan umpanan lintangnya dari sisi kerap meresahkan kubu lawan dan memudahkan tugas rakan barisan depan,” lapor sebuah akhbar harian berbahasa Melayu.  

“Allahyarham turut pernah memberitahu saya, dia mampu beraksi sebagai bek tengah yang kerap menyokong bahagian tengah pasukan,” kata anak bongsu Allahyarham, Imran Mohd. Roslan.

IMRAN Mohd. Roslan. - Kredit foto FB Imran. 



Roslan, bekas kakitangan sebuah bank komersial juga merupakan tonggak pasukan Selangor pada era akhir 50-an hingga awal 60-an malah pernah memenangi Piala Malaya. 

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang kira-kira pukul 10.32 pagi kerana mengalami pendarahan dalam otak akibat terjatuh di bilik air kediamannya di Ampang Jaya, Ampang, seminggu terdahulu. 

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sabariyah Zainal Abidin, 81, dan tiga anak (dua lelaki dan seorang wanita dengan yang sulung bernama Rosniah) serta 13 cucu.

ROSLAN (barisan atas, kanan), antara anggota skuad bola sepak pemenang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962. - Kredit foto Majlis Olimpik Malaysia.


ROSLAN (depan, empat dari kiri) meraikan kejayaan pasukan Selangor menjuarai Piala Malaya yang dipegang Ghani Minhat. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


Roslan yang juga legenda bola sepak Selangor, seangkatan dengan Raja Bola Malaya, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Allahyarham Abdullah Yeop Nordin, mendiang Edwin Dutton, mendiang M. Govindarajoo, mendiang Stanley Gabrielle, mendiang Arthur Koh dan Ibrahim Mydin. 

Skuad negara bimbingan mendiang Choo Seng Quee warga Singapura, menewaskan Vietnam Selatan 4-1 untuk merangkul pingat gangsa Sukan Asia Jakarta dalam perlawanan penentuan tempat ketiga tanggal 3 September 1962.

ROSLAN (barisan tengah, lima dari kanan) dengan skuad Malaya, juara Pestabola Merdeka 1960. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan. 


Namun warna pingat Malaya itu hampir dapat ditukar lebih baik dalam perlawanan akhir sekiranya tidak dihampakan Korea Selatan 2-1 dalam separuh akhir dua hari sebelumnya yang juga terpaksa ditentukan dalam masa tambahan. 

Malaya juga muncul naib juara Kumpulan A setelah membelasah Filipina 15-1 termasuk empat gol masing-masing oleh Stanley dan Arthur serta hatrik Ghani selain Indonesia 3-2 namun ditewaskan Vietnam Selatan 3-0. 

Turut menganggotai skuad ini ialah mendiang Sexton Lourdes, Tunku Ismail, Yee Sin Choy, Allahyarham Ahmad Nazari Min Zohari, Kamaruddin Ahmad, Boey Chong Liam, Inder J. Singh, Robert Choe, Mahat Ambu dan Richard Choe. 

Allahyarham juga membantu Malaya muncul juara bersama Korea Selatan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan perlawanan akhir Pestabola Merdeka Ketiga tanggal 14 Ogos 1960 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. - KitaReporters

0
0
3
0
0

Copy Link: