'Frontliners' sumber makanan! YADIM bantu nelayan Terengganu
Published byNASIB kira-kira 120 nelayan di Terengganu yang terjejas pendapatan harian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 lalu mendapat perhatian Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang menyumbangkan 'foodbasket' (bantuan barangan keperluan) dari agensi berkenaan. : KitaReporters
Nasib nelayan Terengganu mendapat perhatian YADIM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Kesemua mereka turut menerima bantuan berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Sumbangan telah disampaikan pada Program YADIM Peduli: Pasca Musa'adah Covid-19 Warga Nelayan Terengganu di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering pada Ahad, 19 Julai 2020.
Turut disumbangkan pada program tersebut ialah sumbangan berjumlah RM10,000 kepada seorang warga nelayan yang menghadapi musibah kebakaran rumah baru-baru ini.
Dr Zulkifli memuji usaha YADIM yang menyantuni
para nelayan sebagaimana tema YADIM Peduli dan mengharapkan agar bantuan
tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka, sekurang-kurangnya untuk
meneruskan kehidupan dengan sebaiknya.
Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyampaikan sumbangan kepada salah seorang nelayan pada program YADIM Peduli.
Hadir sama dalam program tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun; Yang Dipertua (YDP) YADIM, Nasruddin Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh; dan Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang.
Hasil tangkapan laut menjadi sumber rezeki nelayan Terengganu
Sementara itu, menurut Nasruddin Hassan, YADIM bertindak sebagai agensi prihatin dan bertanggungjawab menggerakkan aktiviti dakwah bahkan kebajikan.
"Itulah hasrat kita untuk meringankan beban mereka.
"Malah nelayan juga adalah 'frontliner' yang membawa pulang sumber bekalan hasil laut ke tanah besar bagi keperluan 'food security' kepada kita umumnya," ujarnya yang dilantik sebagai YDP yang baharu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz, baru-baru ini.
Untuk rekod, sebanyak RM80,000 diperuntukkan YADIM bagi membantu 1,000 nelayan di 10 kawasan di Terengganu. - KitaReporters