PROJEK Agropolitan Kelantan Selatan (AKS), sebuah inisiatif pembasmian kemiskinan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan terus diperkukuhkan lagi bagi manfaat golongan berpendapatan rendah (B40). Malahan, program AKS juga telah merancakkan kegiatan industri pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). : KitaReporters


Lagi cerita-cerita dari Kelantan:

https://kitareporters.com/search?search=Kelantan


Menurut kenyataan ECERDC, di bawah program tersebut, golongan miskin tegar telah dapat meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka. 

Sejak dilaksanakan pada tahun 2009, program ini telah memberi manfaat kepada seramai 590 peserta

“Menerusi inisiatif-inisiatif AKS yang bersifat holistik ini, usaha ECERDC untuk mengurangkan kebarangkalian kemiskinan masa hadapan ataupun future poor telah membuahkan hasil. 

"Sejak pelaksanaannya pada tahun 2009, kita dapat lihat perubahan yang ketara dalam hidup para peserta hasil daripada komitmen dan usaha gigih mereka. 

"Anak-anak para peserta juga telah mendapat manfaat daripada persekitaran yang lebih selesa dan telah berjaya meningkatkan pencapaian akademik mereka. 

"Justeru itu, saya berharap agar dalam jangka masa panjang projek AKS ini akan mencapai kemampanan dan terus meningkatkan taraf hidup peserta,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed ketika lawatan kerja ke Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang pada 25 Julai 2020 lalu. 

"Peserta program AKS ditempatkan semula di rumah-rumah baharu yang dibina oleh ECERDC dan diberikan pekerjaan dalam aktiviti-aktiviti perniagaan tani untuk memperoleh pendapatan yang mampan. 

"Projek ini bukan sahaja bermatlamat untuk memberi manfaat kepada peserta, malah ahli keluarga mereka turut dapat menikmati kemudahan dan program yang ditawarkan menerusi projek ini. 

"Dengan cara ini, mereka dapat dipersiap dengan cara yang menyeluruh agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan,” tambah Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Zulkifli Ya’acob, dalam kenyataan kepada media. 


Menerusi penglibatan para peserta dalam aktiviti-aktiviti perniagaan tani, para peserta kini dapat menikmati pendapatan bulanan yang stabil secara purata sebanyak RM1,500 berbanding hanya kira-kira RM400 sebulan sebelum menyertai projek tersebut. 

Projek ini menekankan kepada pendekatan bersepadu yang melibatkan penempatan para peserta dalam aktiviti primer perladangan kelapa sawit serta aktiviti sekunder seperti penanaman koko dan cili, serta perlancongan agro

Projek ini juga turut menumpukan kepada pembangunan nilai komuniti dan peribadi. 

ECERDC telah melaksanakan program pembangunan modal insan yang inklusif bagi manfaat para peserta dan ahli keluarga mereka. 

Ahli Isi Rumah digalakkan untuk menyertai program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER sebagai satu cara untuk mempelbagaikan dan meningkatkan tahap pendapatan keluarga, di samping menjadi penyumbang kepada kewujudan peluang pekerjaan dalam komuniti mereka. 

Sehingga kini, seramai 40 Ahli Isi Rumah telah mengikuti program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER yang mana kini terdapat 36 usahawan menjalankan perniagaan.

Sementara itu, anak-anak peserta yang bersekolah turut diberi peluang untuk menghadiri kelas tuisyen dan motivasi menerusi program Latihan Akademik empower ECER bagi meningkatkan prestasi akademik mereka. 

Sejak tahun 2016 sehingga kini, seramai 214 anak peserta telah menyertai program Latihan Akademik empower ECER

Selain itu, ECERDC turut menyediakan subsidi tambang bas sekolah sebanyak RM20/anak diberikan setiap bulan untuk meringankan beban peserta.

Peningkatan pendapatan dan kualiti hidup keluarga telah memberi impak kepada pendidikan anak-anak peserta. 

Antara yang telah berjaya ialah adik Nurul Ain Fatihah Susu @ Susi yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang perubatan (Doktor Perubatan) dan adik Nurzarifah Zulkefli yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan di Institut Pendidikan Guru Batu Lintang. 


Di seluruh negeri Kelantan, program pembangunan modal insan ECERDC telah memberi manfaat kepada lebih daripada 24,458 rakyat setakat ini, di mana keseluruhan peserta di negeri ini adalah terdiri daripada golongan B40. 

ECERDC bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang bertindak sebagai agensi pelaksana utama untuk projek AKS. 

Agensi ini telah membantu meningkatkan kemahiran peserta tempatan melalui latihan berkala untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan teknikal mengenai tanaman kelapa sawit dan koko, serta program pembangunan kendiri. 

Untuk meningkatkan lagi tahap pendapatan para peserta, mereka juga turut terlibat dalam aktiviti sekunder seperti penanaman koko dan cili. 

Bagi jangka masa panjang, projek AKS akan diserahkan semula kepada pihak KESEDAR pada tahun 2021. 

“Walaupun pandemik COVID-19 telah membawa pelbagai cabaran, ECERDC kekal komited untuk membawa transformasi sosioekonomi kepada segenap lapisan masyarakat. 

"Justeru itu, ECERDC akan terus menyokong pembangunan serta inisiatif-inisiatif pertanian di AKS bagi memastikan projek ini kekal mampan dan terus memanfaatkan rakyat di Wilayah ini khususnya golongan B40 dan miskin tegar,” kata Zulkifli.

“Di samping itu, COVID-19 telah menyerlahkan keperluan untuk menumpukan kepada isu keselamatan makanan negara. 

"Peningkatan pengeluaran makanan tempatan dan aktiviti hiliran lain akan menjadi tumpuan penting dalam jangka masa sederhana dan panjang. 

"Melihat kepada keadaan sekarang, pelaburan ke dalam projek ini juga turut menyumbang kepada pengeluaran makanan dan aktiviti-aktiviti hiliran yang lain bagi membantu meningkatkan keselamatan makanan di negara kita. 

"Ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap hasil tani di AKS turut akan meningkat” tambah beliau. 


Secara keseluruhannya, ECERDC telah melaksanakan lima (5) projek agropolitan iaitu Projek Agropolitan Pekan (PAP) Tg Batu, Batu 8 Lepar dan RPS Runchang di Pahang, manakala Projek Agropolitan Besut-Setiu di Terengganu dan Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, Kelantan. 

Secara keseluruhan, projek Agropolitan telah mentransformasi kehidupan lebih daripada 1,041 keluarga di ECER setakat ini.

Bagi membantu mempercepatkan projek agropolitan di bawah ECERDC mencapai kemampanan, aktiviti sekunder telah dilaksanakan di setiap projek sedia ada. 

Di antara aktiviti sekunder yang telah dijalankan termasuklah penternakan ayam pedaging dengan sistem ‘Contract Farming’ bersama Ayamas, penternakan itik telur sebanyak 30,000 ekor, penanaman buluh madu, penjualan rumput segar, silaj dan hay. 

Aktiviti sekunder ini bukan sahaja menjana pendapatan tambahan kepada projek, malahan ia juga menyediakan peluang pekerjaan kepada ahli isi rumah peserta ke arah menambah hasil pendapatan keluarga seharian. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: