Video| Untung kau dik! Haziq Asyraf terima kunjungan wakil istana! Dapat telefon canggih, tablet!
Published bySEBUT sahaja Wartawan Bukit Selambau pasti semua mengenalinya, terbayang kepetahan si kecil berusia 12 tahun berkata-kata ketika melaporkan secara langsung penemuan seekor ular sawa dalam longkang besar di pasar berhampiran rumahnya, menerusi Facebook Live, baru-baru ini.
Gaya penceritaan Muhammad Haziq Mohd Asyraf yang sarat dengan elemen dramatik serta laras bahasa mudah difahami menarik perhatian segenap lapisan media tempatan dalam klip video berdurasi dua minit 47 saat itu.
Selepas kisah laporan menjadi tular kini pemilik nama Mohad Haziq menerima pelbagai hadiah daripada peminat yang kagum dengan kebolehan dirinya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wartawan
Masa terluang yang ada digunakan membantu orang tuanya yang berniaga di pasar Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah. - Kredit Foto Astro Awani
Terbaharu, remaja dari Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau, Sungai Petani ini menerima kunjungan wakil Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah yang menyampaikan hadiah daripada pihak istana.
"Tadi kakitangan Sultan kedah mari bagi hadiah, kami dapat hadiah telefon Oppo satu, tablet Oppo satu, pastu hak dengar kat telinga tak dak macam apa tak tau...ooo iPod satu, pastu tak tau apa lagi," katanya menerusi video yang tular.
Ceritanya lagi, pemberian hadiah tersebut disampaikan oleh kakitangan Sultan Kedah yang hadir menemuinya sendiri bagi menyampaikan hadiah berkenaan.
"Kakitangan Sultan Kedah mai naik keta hitam, mai dalam tiga orang, amat-amat dahsyat," ujarnya.
Kongsi Haziq lagi, dia juga turut menerima pelbagai hadiah daripada peminatnya, termasuk wang tunai, kotak pensil dan pelbagai lagi.
Malah, tidak menyangka dirinya menjadi tular sehingga kini dikenali ramai.
"Ada orang bagi duit, orang bagi kotak pensil, macam-macalah orang bagi, Alhamdulillah rezeki, kami pun tak pasti macam mana boleh viral sampai macam ni sekali kan," ujar anak kepada pasangan Mohd Asyraf Ahmad dan Nur Shakila Zainol.
Anak sulung kepada dua beradik itu mula meraih perhatian apabila dia memuat naik video penemuan ular sawa dalam longkang di Pasar Bukit Selambau dengan turut membuat ulasan secara langsung sehingga tular dalam media sosial.
Video yang meraih lebih 1 juta tontonan itu dikatakan menarik kerana kepetahan Muhammad Haziq yang bertutur dengan lancar seolah-olah pengulas berita.
Menerusi 'liputannya' Haziq sangat yakin, bersungguh-sungguh dan penuh dengan informasi mencuri perhatian netizen.
Malah ramai yang meninggalkan komen berkata dia mempunyai bakat semula jadi untuk menjadi wartawan hebat pada masa depan.