Inilah antara barangan termasuk sekeping nota kiriman Siti Salehah kepada arwah ayahnya, Allahyarham Imam Abdul Hamid Dak yang menyatakan bahawa dia sekeluarga tidak dapat balik beraya bersama kerana sekatan rentas negeri. Kredit foto-foto: FB Puan Eha.


KEBIASAANNYA setiap kali lewat tengah malam menjelang raya bermacam-macam juadah persiapan menyambut Syawal semua selesai. Namun Aidilfitri 1442 kali ini belum ada satu menu yang siap selengkapnya.

Waktu jam 12.46 tengah malam baru siap balut ketupat palas yang lain masih dalam bentuk bahan mentah tetapi bagi Siti Solehah Abdul Hamid cuba mengagahkan dirinya untuk menyiapkan rendang ayam untuk raya.

Bagaimanapun ketika proses memasak rendang tersebut jiwanya jauh melayang teringatkan 35 tahun ayahnya menjadi Imam di Masjid Ar-Rahmah Felda Jengka 25, Jengka, Pahang.


Lagi cerita-cerita menyayat hati mengenai kemalangan


Pada Aidilfitri 1442 Hijrah/2021 Masihi buat pertama kalinya selama tempoh itu tiada lagi laungan takbir raya daripada suara ayahnya, Abdul Hamid Dak, 70, yang dijemput menemui pencipta-Nya sehari sebelum fajar Syawal dalam satu kemalangan tragis melibatkan sebuah pacuan empat roda dan motosikal yang ditunggangnya di Jengka, Pahang.

Imam Abdul Hamid pada kemalangan itu diheret kira-kira 50 meter dan meninggal di tempat kejadian. Semasa dimandikan jenazahnya, darah masih keluar tanpa henti. Dia yang mewakili keluarganya terkilan dengan sikap pemandu kereta yang melanggar ayahnya tidak datang memohon maaf.

"Sakit perit pedih yang ditanggung berikutan insiden itu, kami sekeluarga bertakbir di rumah. Ramai cucu arwah ayah mereka semua tahfiz," katanya yang menyifatkan ketiadaan ayahnya suatu kehilangan sangat dirasakan lebih-lebih lagi pada 1 Syawal.


Gambar kenangan Siti Solehah, suami dan anak bersama arwah ayahnya Allahyarham Imam Abdul Hamid Dak semasa hayatnya.



Coretan sedih ini beliau muatkan melalui laman sosial FBnya atas nama Puan Eha pada 13 Mei 2021 bersamaan 1 Syawal 1442H kerana begitu terkesan dengan pemergian arwah ayahnya selamanya yang jarang bertemu dan kali terakhir berjumpa pada awal Ramadan 2021 lalu kerana ibu beliau menjalani pembedahan mata. Siti Solehah bersama suami dan anak menetap di Bidor, Perak.

Katanya, ketika hendak berbuka pada hari terakhir Ramadan, ibunya, Zainab Ariffin, 66, menyuruh salah seorang cucunya yang masih bersekolah di darjah 1 memanggil  Tok Wan (arwah ayahnya) berbuka puasa bersama. Si kecil yang mungkin lupa Tok Wannya  pergi buat selama-lamanya terus mencari serta memanggil hingga sampai ke tandas. 

Dalam pada itu, semasa bertakbir pada malam raya, suami beliau 'hilang' dan puas mencari rupanya dalam bilik arwah ayah dengan keadaan menangis mengenangkan bapa mertuanya. Dia juga memakai baju arwah ayah hingga membuatkan Siti Solehah sebak dan rasa nak menangis. Nak menjerit jiwanya tak kuat.

Katanya, masa berbuka pada hari terakhir Ramadan ibunya keluarkan baki air tebu yang disimpan dalam peti sejuk sehari sebelum arwah ayah meninggal. Dia tak tergamak nak meminumnya kerana terbayang wajah sayu ayahnya. Wajah Imam Abdul Hamid kelihatan garang tetapi dia tidak segarang wajahnya.

Beliau memberitahu, anggota polis yang pertama ada di sisi ayahnya semasa kejadian pun cakap wajah ayah sangat tenang, ramai yang doakan ayah, ramai orang sayangkan ayah.


Allahyarham Imam Abdul Hamid Dak bersama isteri dan salah seorang cucunya.



"1 Syawal tahun ini kami adik beradik tanpa ayah. Kuatkan jiwa kami kerana kami tahu ayah berbahagia di sana," ujarnya.

Sebelum itu, Siti Solehah ada mengirimkan dua helai kurta untuk dijadikan pakaian raya kepada arwah ayahnya bersama duit, kuih dan sekeping surat sebagai pengganti diri kerana tidak boleh balik beraya bersama kerana sekatan rentas negeri.

Arwah ayah, katanya, sering kali bertanya: "Mak anak-anak tak balik raya ke? Mak cakap tak boleh balik, tapi ayah seolah-olah tak faham sekatan rentas negeri. Paling dia rindui anaknya iaitu kakak kepada beliau yang tinggal di Johor." Ayah bercerita dengan kawan-kawan dia rindu anak dekat Johor kerana dua tahun dah tak balik. Yelah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni.

"Saya terkilan kerana ayah tak sempat terima semua kiriman yang dihantar melalui abang. Abang sampai lepas zohor, ayah ada di rumah tapi masa itu dia sibuk nak keluar tak sempat nak hulurkan kiriman berkenaan. Ayah keluar ke Kuala Krau dan pulang dalam keadaan jasadnya kaku," jelasnya dengan nada sebak.


Beginilah keadaan motosikal arwah Imam Abdul Hamid Dak yang diheret kira-kira 50 meter dalam kemalangan di Kuala Krau, Pahang pada 12 Mei 2021, sehari sebelum 1 Syawal 1442.


"Namun ayah tetap ada rezeki pakai kurta yang menantu dia belikan, abang guna untuk ikat dagu dan muka serta tutup muka ayah walaupun tak sempat memakainya pada Aidilfitri kali ini. Ayah juga tak sempat baca nota dan melihat sendiri semua kiriman itu. Semoga Allah ampuni dan cucuri rahmat ke atasmu ayah," tulis Siti Solehah.

Hajat Siti Solehah adik beradik nak berkumpul dan beraya bersama tahun ini tercapai tetapi semuanya sudah tidak bermakna lagi kerana ayah mereka sudah tiada lagi.

"Semalaman tak mampu nak lena kerana terbayang apa yang terjadi, baharu kelmarin kirimkan duit, kuih dan baju raya melalui abang untuk ayah. Belum sempat dia tengok dan terima barangan tersebut dia terlebih dahulu pergi meninggalkan kami," katanya.

Siti Solehah berharap semua dapat mendoakan dia supaya terus kuat semangat  dan menerima kenyataan  bahawa ayahnya  sudah tiada lagi di dunia. Beliau sedar Allah hanya pinjamkan ayahnya selama 70 tahun. 

"Al-Fatihah ayahku. Damailah di sana di negeri abadi. Kami iringi dengan doa." - KitaReporters


Arwah Imam Abdul Hamid Dak terbaring kaku setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah kereta pacuan empat roda dan motosikal yang ditunggangnya di Kuala Krau, Pahang.


Antara kandungan WhatsApp mengenai keadaan arwah Imam Abdul Hamid yang diseret kira-kira 50 meter di tempat kejadian (kanan)  dan perasaan sedihnya beliau lama tak jumpa anaknya di Johor sebelum meninggal.

1
1
1
0
2

Copy Link: