Luah rasa kesal! Sehari lepas itu pesakit Covid-19 meninggal
Published byMENYESAL dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna’.... Inilah nasib yang menimpa Thomas Macias, 51, dari California, Amerika Syarikat, yang meninggal dunia akibat jangkitan virus Covid-19 disebabkan kelalaian sendiri. Beliau menulis, dia kesal kerana tidak mematuhi Operasi Prosedur Standard (SOP) mengelakkan jangkitan wabak Covid-19. : KitaReporters
THOMAS MACIAS meninggal akibat jangkitan Covid-19 pada 21 Jun 2020, sehari selepas memuat naik tulisan dalam Facebook yang menyatakan dia menyesal kerana mengabaikan SOP bagi mencegah penularan Covid-19. - Kredit foto: nbcnews.com
Pada 20 Jun 2020, Macias memuat naik tulisan dalam akaun Facebooknya dengan melahirkan kesal kerana tidak mematuhi SOP mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 seperti memakai penutup muka dan mengamalkan penjarakan sosial atau social distancing.
Ketika itu, dia sudah disahkan positif Covid-19.
Keesokannya pada 21 Jun 2020, sehari selepas memuat naik tulisan tersebut, Macias meninggal dunia dan kematiannya disahkan akibat Covid-19.
Memetik laporan nbcnews.com, Macias meluahkan rasa sangat menyesal kerana mengabaikan dan mengambil ringan SOP tersebut menyebabkan dia dijangkiti virus berkenaan selepas menghadiri majlis keraian serta bercampur dengan orang ramai tanpa mematuhi SOP.
Lebih menyedihkan pembawa virus Covid-19 itu ialah rakannya sendiri yang sudah disahkan positif penyakit tersebut tetapi tetap hadir pada majlis berkenaan kerana beranggapan dia tidak akan menyebarkan virus maut itu kepada orang lain.
Mereka yang hadir juga tidak tahu dia positif Covid-19.
KAWASAN Tasik Elsinore, bandar di mana Thomas Macias menghadiri majlis keraian dan dijangkiti Covid-19. - Kredit Google Maps.
Menurut laporan nbcnews.com, dalam tulisannya antara lain Macias memberitahu, dia telah menghadiri majlis keraian beberapa minggu sebelum 20 Jun 2020 dan di situlah dia dijangkiti virus maut itu.
Pemandu trak yang masih bujang itu juga sedih dan kesal teramat sangat kerana berkemungkinan mendedahkan virus tersebut kepada ahli keluarganya.
Dia berasa amat bersalah sambil menyifatkan perbuatan bodohnya telah meletakkan ibu dan kakak serta ahli keluarganya yang lain dalam situasi berbahaya terdedah kepada Covid-19.
Baginya ini adalah satu pengalaman yang sangat menghiris hati dan berharap dia akan sembuh daripada penyakit tersebut. Tetapi dia tewas.
Seorang pegawai daripada Pejabat Rekod daerah Riverside, California mengesahkan Macias meninggal akibat Covid-19.
Abang ipar mendiang, Gustavo Lopez memberitahu, dari lewat Mac hingga hingga awal Jun, Macias hanya keluar rumah jika benar-benar perlu.
Selainnya dia hanya mengkuarantin diri di rumah kerana dia juga menghidap kencing manis serta berat badan berlebihan.
Bagaimanapun pada awal Jun 2020 selepas Gabenor California, Gavin Newsom mengumumkan memberi kelonggaran peraturan penjarakan sosial, Macias menghadiri majlis keraian di Tasik Elsinore, sebuah bandar kira-kira 70 kilometer ke timur laut Los Angeles.
Tidak lama selepas majlis itu, rakan Macias yang juga hadir pada majlis keraian itu menghubunginya untuk memberitahu dia sebenarnya sudah disahkan positif Covid-19 ketika hadir pada majlis berkenaan.
Bagaimanapun kerana dia tidak menunjukkan sebarang tanda dijangkiti virus berkenaan, dia percaya dia tidak akan menularkan virus Covid-19 itu kepada mereka yang hadir.
Dia kemudian menasihati Macias dan kesemua mereka yang hadir pada majlis keraian berkenaan untuk menjalani saringan Covid-19.
GABENOR California, Gavin Newsom melonggarkan peraturan 'penjarakan sosial' di negeri itu dalam kemelut Covid-19. - Kredit foto: Wikipedia.
Menurut Lopez, Macias sangat kecewa dengan keadaan tersebut .
Tidak diketahui berapa ramai hadir ke majlis berkenaan tetapi Macias adalah seorang antara belasan mereka yang kemudian disahkan dijangkiti virus berkenaan.
Macias mengunjungi kakaknya, yang juga isteri Lopez, di
rumah mereka pada 11 Jun 2020 sebelum menjalani saringan. Ketika itu Lopez menyedari
adik iparnya dalam keadaan tidak sihat dan berpeluh.
Selepas kunjungan itu Macias mula jatuh sakit, pada mulanya
dipercayai akibat kencing manis yang dihidapinya. Namun selepas ujian saringan
pada 16 Jun 2020, Macias disahkan positif
Covid-19 setelah hasil saringan diketahui pada 18 Jun 2020.
Dua hari kemudian pada 20 Jun 2020, Macis memuat naik tulisan dalam Fecebook menasihati orang ramai mengambil serius gajala Covid-19.
Dia juga mengingatkan mereka untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial apabila keluar rumah.
Pada 21 Jun 2020, kesihatan Macias semakin merosot dan dikejarkan
ke hospital pada pukul 11 pagi. Dia diberikan bantuan alat pernafasan antara
pukul 6 hingga 7 petang dan disahkan meninggal pada pukul 9 malam.
Lopez berkata, dia percaya adik iparnya memuat naik tulisan
dalam Facebook untuk mengingatkan orang ramai bahawa Covid-19 bukan main-main
dan boleh membunuh.
Lopez menyifatkan Macias sebagai orang yang baik dan lembut serta mudah tersenyum. Dia juga sangat ringan tulang dan bersedia membantu sesiapa yang memerlukan bantuan ‘tanpa soal jawab’.
Keluarganya sangat merasai kehilangannya.
Kepada kita di Malaysia jadikanlah kisah ini sebagai iktibar.
Ikutilah peraturan memakai pelitup muka apabila keluar rumah dan amalkan penjarakan sosaial ketika berada dalam kelompok ramai. - KitaReporters
Kredit foto: https://www.coronatracker.com/country/us