Ibu bapa stres! Anak-anak pun stres! Bacalah kisah teladan dalam al-Quran! Jadi iktibar dan motivasi!
Published by"JIKA mahu menjadi manusia hebat, kutip dan baca cerita orang-orang dahulu seperti kisah-kisah nabi dan sahabat kerana apabila bercerita perihal insan-insan yang hebat, ia boleh menguatkan hati, bahkan satu pertiga daripada al-Quran adalah cerita mengenai teladan.
"Andai jiwa mengalami kemurungan atau semangat kian luntur, bacalah kisah-kisah dalam al-Quran kerana Allah mempersembah lembaran kisah ini kepada Rasulullah SAW bagi mengukuhkan jiwanya dalam menghadapi ujian kaumnya. Kisah-kisah itu memberikan ketenangan jiwa sehingga baginda dapat menghadapi tekanan yang amat dahsyat daripada kaumnya. .
"Begitu juga apabila anak-anak stres kerana diejek, bacalah kepada mereka kisah-kisah Nabi Nuh yang diejek kaumnya, bahkan digelar orang gila.
"Saat kita disakiti, bacalah kisah Nabi Yusuf yang cuba dibunuh adik-beradik sendiri. Begitu juga tatkala kecewa, bacalah kesukaran Rasulullah dicerca bapa saudara sendiri, Abu Lahab," kata Imam Muda Asyraf pada forum Parenting X-tra: Tangani Cabaran, Temui Solusi di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Forum itu diadakan sempena Program Minda Sihat Keluarga Bahagia yang dianjurkan oleh Masjid Al-Hasanah dengan kerjasama Yayasan Ikhlas dan Anjung Kaunseling Keluarga.
Imam Muda Asyraf (kanan) menjadi panel forum Parenting X-tra: Tangani Cabaran, Temui Solusi bersama Dr Ku Suhaila Ku Johari (kiri) dan dipengerusikan oleh kaunselor, Zuhdi Zakaria.
Beliau berkata, sebagai manusia biasa, Nabi SAW pun pernah stres, contoh ketika baginda di baling batu apabila berdakwah di Taif sehingga baginda mengadu kepada Penciptanya, "Ya Allah aku mengadu kepada-Mu akan lemahnya diriku dengan sedikit umat mengikut ku, hinanya aku".
Begitu juga baginda pernah stres apabila wahyu tidak turun beberapa bulan, sehingga orang Quraish menempelak baginda dengan kata-kata Allah tidak sayangkan Nabi SAW lagi. Tetapi, apabila nabi bersendirian, turunlah surah Al-Dhuha. ia surah motivasi yang membuatkan hati baginda tenang.
"Pesuruh Allah yang lain pun stres seperti kisah Nabi Yaakub yang kehilangan anaknya dan kisah Nabi Yusuf seperti diceritakan dalam al-Quran. "Sesungguhnya aku hanya mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) daripada Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya"." Surah Yusuf ayat 86
"Nabi Musa AS ketika dalam keadaan penat dan keseorangan selepas diburu oleh kaumnya, melafazkan kata-kata ini yang maksudnya: "…kemudian baginda pergi ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan"." Surah al-Qasas ayat 24
"Apabila tertekan atau stres, selain melakukan aktiviti yang boleh menghilangkan perasaan itu, berdoa dan berbicara dengan Allah dalam sujud ketika bersolat atau beriktikaf iaitu duduk dalam masjid dengan niat bermunajat kepada Allah," kata Asyraf lagi.
Imam Muda Asyraf
Menurut Asyraf, dalam agama apabila seseorang itu marah, cepat-cepat mengambil wuduk atau berdiri, duduk dan berbaring. Stres atau tekanan juga boleh ditangani dengan air malah Nabi SAW pada setiap Sabtu akan ke telaga di Madinah dan meletak kaki baginda sambil bermain-main dalam air
"Ketika PKP, lebih 80 peratus tajuk ceramah saya mengenai stres, bayangkan jika berlaku di pejabat, ada bilik atau pantri untuk melepaskan tekanan, berbual dengan kawan-kawan atau minum teh tetapi dalam tempoh Covid-19, semua dilakukan di rumah, tiada tempat melepaskan tekanan dan mangsanya adalah keluarga sendiri.
"Justeru, Islam mengajar kita berjalan-jalan melihat alam semula jadi ciptaan Allah bagi mendapatkan ketenangan selain membaca al-Quran dan berzikir setiap hari.
"Membaca al-Qur’ān mampu membuatkan seseorang itu tenang bahkan mendengar bacaan ayat-ayat suci sahaja, hati manusia terasa damai. Kalimah-kalimah kitab suci mempunyai keajaibannya tersendiri, ia meredupkan hati dan memberikan kelapangan jiwa yang sempit.
"Al-Quran itu mukjizat, walaupun kita tak faham ketika membaca tapi pembacanya boleh menangis. Bayangkan Saidina Umar Al-Khattab yang ketika itu belum memeluk Islam, lembut hatinya dan hilang perasaan marah apabila mendengar bacaan kitab suci yang dibaca oleh adiknya sendiri," katanya lagi.
Proses pendidikan terhadap anak-anak perlu dilakukan setiap hari, secara berterusan.
Sementara itu, Pensyarah Bimbingan & Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Ku Suhaila Ku Johari, berkata jika seseorang mempunyai simptom seperti kemurungan, sedih berpanjangan, mengasingkan diri lebih kerap, sukar memberikan tumpuan kepada pelajaran, hilang minat, cepat marah atau mencederakan diri, ia memerlukan perhatian serius ibu bapa.
"Begitu juga ketika kanak-kanak, mereka suka berbual dengan kita tapi apabila memasuki alam remaja dia lebih pendiam, kita perlu dekatinya dan cuba berbual-bual secara santai untuk mengetahui mengapa dia kurang bercakap dengan kita.
"Baran secara tiba-tiba juga adalah "reflect" dan perubahan itu perlu diperbetul ketika kanak-kanak atau remaja supaya mereka tidak melakukan perubahan ketika berkahwin sehingga berlaku kes memukul isteri.
"Proses pendidikan perlu dilakukan setiap hari dan berterusan, tiada noktah. Tapi, waktu yang sesuai mendekati anak-anak ialah ketika bersolat jemaah, kerana masa itu spiritualnya dalam keadaan tenang.
"Saya mengakui, kadang kala kita perlu berdrama seperti menangis atau bersedih supaya dapat melihat reaksi anak-anak," katanya sambil tersenyum.
Mutakhir ini, katanya ramai kanak-kanak menjadi matang sebelum usianya disebabkan faktor pemakanan, pendedahan dan terlalu awal mendapat pendidikan prapersekolahan.
Bayangkan usia dua tahun sudah belajar di tadika. Ini menyebabkan mereka membesar dalam acuan orang dewasa tapi sosial dan emosinya lemah.
Prof Madya Dr Ku Suhaila Ku Johari
"Sebab itu, saya selalu beritahu, biar anak-anak membesar mengikut proses semula jadi kerana fenomena melompat atau ekspres ini tidak baik untuk emosi dan tingkah laku mereka disebabkan mereka tidak melalui zaman yang sepatutnya sehingga menjadi kerugian besar apabila menginjak dewasa.
"Dulu, kebanyakan pelanggan yang datang berjumpa kaunselor berusia 35 tahun ke atas, tapi sekarang ada kes berusia lapan atau 10 tahun. Banyak kes anak-anak sekarang mereka ketagihan gajet, pronografi dan ramai hamil di luar nikah.
"Sebagai kaunselor, saya bimbang gelombang seterusnya, mungkin keadaannya lebih teruk jika tiada usaha untuk menangani hal-hal begini," katanya.
Bagi menangani perkembangan terkini mengenai anak-anak, katanya ibu bapa perlu menganggap "parenting (keibubapaan) is serius business" dan perlu mengguna pakai pelbagai formula berbeza setiap hari kerana ragam dan corak pemikiran anak-anak sentiasa mengalami perubahan.
"Bayangkan, saya dalam bidang psikologi pun berhempas pulas memikirkan strategi dan formula untuk membesarkan anak-anak, bagaimana pula mereka yang tiada asas kaunseling atau tinggal di kampung.
"Ibu bapa sekarang mempunyai cabaran besar untuk membesarkan anak-anak terutama generasi alfa dan beta yang terdedah dengan pelbagai teknologi moden sejak dilahirkan," katanya. - KitaReporters