Airmata berguguran! Kasih terpisah kembali bertaut! Lebih 300 bekas pelajar SMART gamit kenangan lama!
Published byMeja pendaftaran mula dibuka pada jam 7.45 malam di pintu masuk Kimstone Ballroom, Kompleks Teruntum
Airmata hampir berguguran diiringi pelukan mesra antara satu lama tanda rindu yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Biarpun bukan semua berbuat demikian itulah antara momen yang sukar dilupakan begitu sahaja.
Itu yang terjadi dalam pertemuan semula bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan pada Majlis Makan Makan: Jalinan Kasih anjuran Pertubuhan Alumni SMART yang berlangsung di Kimstone Ballroom, Kompleks Teruntum, Kuantan pada 8 Julai 2023.
Sebelum meja pendaftaran dibuka pada jam 7.45 malam, ramai bekas pelajar sudah mula bertegur sapa antara satu sama lain biarpun masih belum mengenali siapa senior dan siapa junior.
Sesekali kedengaran ketawa berdekah dan ada juga mengukir senyuman selain melambai tangan apabila terpandang gerangan sahabat lama yang dicari.
Buat seketika pengumuman pengacara majlis yang meminta hadirin mengambil tempat masing-masing tidak dipedulikan walaupun tetamu khas sudah berada di meja utama. Pada mereka, bertemu rakan yang lama tidak ditemui mengatasi pentingnya aturcara majlis.
Jelas kelihatan keterujaan kira-kira 300 bekas pelajar SMART bermula dari tahun 1964 (tingkatan satu) apabila dapat bertemu dan menyantuni antara satu sama lain pada majlis yang berlangsung selama dua jam itu.
Alias Abdullah (kanan) menyerahkan sumbangan bantuan untuk pelajar asnaf kepada Mohamad Che Ibrahim pada majlis berkenaan.
Acara dimulakan tepat jam 8.30 malam dengan bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Sovri Ismail diikuti ucapan aluan oleh Pengerusi Pertubuhan Alumni SMART, Alias Abdullah dan ucapan perasmian oleh Pengetua SMART, Mohamad Che Ibrahim.
Dalam ucapan ringkasnyanya, Alias berkata majlis itu diadakan bagi tujuan menjalinkan ukhwah dan meraih dana bagi melaksanakan aktiviti menambah keahlian, kebajikan ahli, kemasyarakatan dan membalas jasa budi SMART.
Selain itu, katanya Pertubuhan Alumni SMART turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf manakala pelajar asnaf Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima sumbangan daripada Kesatuan Pelajar Tingkatan Enam Sains/Sastera (KEPTES) 1972.Majlis turut diserikan dengan persembahan buskers dan nyanyian ahli KEPTES.
Beberapa bekas pelajar yang ditemui menyatakan keterujaan masing-masing apabila berkesempatan hadir di majlis berkenaan yang menggamit pelbagai memori lama di zaman persekolahan. Pelbagai cerita diputar kembali walaupun ada yang hampir terlupa kerana faktor usia.
Bekas pelajar SMART 1970, Mohd Shaimy Hashim, 70, berterima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya menjejak dan mengumpul bekas pelajar sekolah itu. Memiliki kerjaya sebagai pelukis, Mohd Shaimy teruja dapat bertemu sahabat lama, senior dan junior.
Mohd Shaimy Hashim, 70
Presiden Alumni SMART SPM 1980, Kamaruzaman Kamaludin, 60, pula berkata majlis itu benar-benar menggamit kenangan lama sewaktu duduk di asrama dan saling mengenali semua pelajar sekolah waktu itu.
Menurutnya, Alumni SMART 1980 berjaya mencuri tumpuan hadirin apabila pada akhir majlis tersebut mereka menyarung baju-T yang melambangkan tahun kelahiran mereka (1963) sehingga ada yang menghampiri bertanya apa yang uniknya mengenai baju tersebut.
"Majlis ini istimewa di hati kami malah ikatan persahabatan kami tidak akan berakhir sampai bila-bila. Baju ini lambang keakraban kami," katanya.
Alumni 1990-an bergambar kenangan sebelum majlis berakhir
Bekas pelajar Tingkatan 5 Sastera 1, Saifful Bahri Abd.Rahman, 56, pula berkata majlis yang diadakan amat memberi makna kepadanya kerana ia mengamit kenangan zaman persekolahan apabila dapat berjumpa dengan senior.
Norfaizah Abd Karim, 50, berkata dia bersyukur kerana dapat hadir pada majlis itu kerana sejak tahun 1990 selepas tamat SPM hubungannya dengan pelajar senior dan sebahagian rakan sebayanya sudah terputus.
"Saya usahakan juga untuk hadir malam ini tetapi agak sedih kerana ramai rakan tidak munculkan diri tetapi saya tetap bersyukur dapat bertemu bekas guru saya ketika di Tingkatan 4 dan 5, Lailatun Zalaliah Hussain dan ibu saudara sepupu saya, Ainal Marhaton Abd Ghani yang juga bekas pelajar batch 1980.
"Kebanyakan super senior beza antara 10 hingga 30 tahun. Tetapi yang menariknya mereka menyokong program Alumni ini walaupun ada yang nampak uzur dan berpapah ketika berjalan. Saya terharu dengan semangat mereka," katanya yang menetap di Pekan.
Norfaizah Abd Karim, 50 bersama ibu saudara sepupunya, Ainal Marhaton Abd Ghani yang juga bekas pelajar SMART 1980.
"Kita bertemu sekejap cuma
Semoga ada lagi pertemuan selepas ini. Semoga dipanjangkan umur dan sihat-sihat selalu para Alumni SMART semua. - KitaReporters