Video| Terbaiklah YB Steven! Luang masa ke rumah gurunya! Selepas pulang umrah hasil tajaannya!
Published byMESKIPUN berbeza agama namun tidak menghalang kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong merendah diri untuk mengunjungi dan menyantuni bekas guru sekolah rendah, Cikgu Zaniyah dan keluarga.
Kehadiran Steven ke kediaman gurunya yang pernah mengajar ketika di sekolah rendah dahulu sebagai kunjungan selepas pasangan berkenaan yang baharu pulang mengerjakan Umrah hujung tahun lalu.
Mungkin terlalu sibuk dengan tugas hakiki sebagai wakil rakyat membuat beliau tiada masa untuk bertanya khabar guru kesayangan berkenaan.
Steven Sim Chee Keong dijamu hidangan ketika bertemu mata cikgu Zaniyah dan keluarga yang baharu pulang daripada mengerjakan Umrah. - Kredit foto: Instagram scheekeong
Bagaimanapun dengan kesempatan yang ada pada hari minggu membuat bekas Timbalan Menteri Kewangan II ini mengambil keputusan untuk meluangkan masa untuk bertemu mata dengan gurunya.
Kunjungan berkenaan disambut meriah oleh suami cikgu Zaniyah iaitu Pak Johari di kediaman mereka pada Ahad, 14 Januari 2024 lalu.
Malah dalam kunjungan berkenaan, Steven tidak bersahaja apabila dia turut membawa buah tangan kepada individu yang bertanggungjawab menabur ilmu kepada ketika berada di sekolah Kebangsaan Stowell, Bukit Mertajam, Pulau Pinang puluhan tahun lalu.
Suami Cikgu Zaniyah, Pak Johari menyambut kedatangan Menteri Sumber Manusia, Steven yang sudi mengunjungi ke kediamannya pada Ahad, 14 Januari 2024.
Dalam kunjungan berkenaan, Steven juga kelihatan ralik mendengar pengalaman manis gurunya lebih 10 hari sepanjang di Tanah Suci hasil tajaan anak muridnya sendiri pada Oktober 2023 lalu.
Bahkan sebelum pulang, Steven turut menerima buah tangan dari Tanah Suci daripada wanita hebat yang pernah mengajar ABC kepadanya.
Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam sebelum ini mengambil keputusan menaja guru berkenaan mengerjakan ibadah Umrah sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanannya sebelum ini.
Malah, Steven juga membuat pendedahan tajaan umrah kepada guru dan Pak Johari adalah menggunakan wang peribadi dan bukannya peruntukan kerajaan sebagai menghargai jasa wanita hebat itu yang pernah mengajar dirinya ketika berada di sekolah rendah dulu.
Steven membuat kejutan untuk menghantar cikgu Zaniyah dan keluarga di Lapangan Terbang Kuala Lumpur untuk mengerjakan ibadah umrah pada Oktober 2023 lalu. - Kredit foto: Sinar Harian.
Lebih indah, Steven juga sempat membuat kejutan kepada gurunya apabila turut menghantar pasangan itu ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur ketika pasangan itu berangkat ke Tanah Suci Mekah.
Ketika persaraan gurunya Februari 2023 lalu, Steven juga turut menghadiahkan senaskhah al-Quran kepada wanita berkenaan.
Ole-ole istimewa dari Tanah Suci daripada Cikgu Zaniyah kepada bekas pelajarnya, Steven yang sudi menaja perjalananan ibadahnya ke Mekah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya bangga dengan keluhuran dan keikhlasan wakil rakyat muda ini yang sangat menyanjungi dan menghormati gurunya sehingga sudi menaja ke Tanah Suci biarpun berlainan agama.
"Terbaik YB, sungguh menyentuh hati saya tentang apa yang dilakukan YB ini untuk gurunya," kata seorang pengikutnya dalam ruangan komen dalam Instagram miliknya.
Ternyata, Steven memiliki adab yang tinggi dan tetap meletakkan gurunya yang pernah berbakti pada kedudukan yang mulia. Ssemoga menjadi contoh anak-anak muda lain supaya terus menghargai jasa guru yang menabur baktinya semasa alam persekolahan. Tahniah YB! - KitaReporters
Steven bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diamanahkan menjadi Menteri Sumber Manusia. - Kredit foto: FB Steven Sim Chee Keong