Video| Kongsi ilmu masalah kenderaan! Altimate Auto Garage dihujani ribuan soalan! Elak kena tipu!
Published byAndai pandai menggunakan media sosial sebaiknya, pasti ramai yang suka apatah lagi lagi kalau ia mengandungi content (kandungan) bermanfaat untuk masyarakat seperti tip dan ilmu.
Berlumba-lumba orang akan mengikutinya. Bukan sahaja ia memberi manfaat untuk orang ramai, malah perniagaan sendiri.
Nampak seperti kecil tetapi tip dan ilmu itu, jasanya seluas alam. Justeru, tidak hairanlah kalau content sebegini sering mendapat sambutan daripada orang ramai.
Selain makanan atau haiwan peliharaan, content mengenai masalah kenderaan juga menjadi dambaan orang ramai. Dikatakan jumlah kenderaan seperti kereta melebihi jumlah penduduk Malaysia.
Menurut laporan daripada Persatuan Automobil Malaysia (MAA), jualan kenderaan meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun dalam tujuh bulan pertama 2023 untuk mencapai 429,807 unit berbanding 381,680 unit dalam tempoh yang sama pada 2022.
Dahulu memiliki kereta persendirian adalah kehendak namun pada zaman kini ia sudah menjadi satu keperluan walaupun kenderaan awam dari semasa ke semasa bertambah baik dan semakin moden.
Pelbagai tip dan ilmu dikongsikan.
Sedia maklum kenderaan seperti kereta paling lama bertahan pun, sembilan hingga ke-10 tahun sahaja. Kemudian mulalah rosak di sana sini. Maka berkepuk-kepuklah duit terpaksa dikeluarkan untuk membaikinya. Bagi yang mampu, bolehlah beli kereta baharu. Bagi yang tidak mampu, nak tak nak terpaksalah hantar ke bengkel.
Sampai ke bengkel, kena tipu pula dengan tauke bengkel. Harga baik pulih hanya sekian dan sekian, tetapi ‘diketuknya’ menjadi sampai ribuan ringgit. Pakai tak sampai setahun, barang yang diganti rosak. Tak ke pening kepala dibuatnya.
Justeru, tidak mahu orang ramai terus ditipu, pusat servis dan pembaikan aircond dan enjin kenderaan, Altimate Auto Garage menggunakan aplikasi TikTok untuk berkongsi tip dan ilmu kepada orang ramai mengenai masalah kenderaan agar tidak mudah ditipu.
Mempunyai seramai 77 ribu lebih pengikut dalam TikTok, tip dan ilmu yang diberikan sangat berguna dan bermanfaat kepada orang ramai apatah lagi yang langsung tidak tahu mengenai kenderaan.
Sebenarnya ramai yang hanya tahu bawa kereta tetapi tidak tahu mengenai ‘dalaman’ kereta terutamanya golongan wanita.
Secara asasnya, setiap pemandu mesti tahu untuk menukar tayar kenderaan kerana ia diajar ketika mengambil lesen dahulu. Tetapi nampak gayanya, ilmu tersebut seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
Orang ramai mengucapkan terima kasih atas tip dan ilmu yang dikongsi.
Bagi yang hanya tahu bawa kereta sahaja, anda boleh mengikuti tip dan ilmu yang diberikan oleh pemilik TikTok ini. Pelbagai tip dan ilmu diberikan seperti masalah penghawa dingin, kotak gear, cara mudah tukar minyak hitam, timing belt dan banyak lagi.
Perkongsian tip dan ilmu yang diberikan ini, memberi peluang orang ramai bertanyakan pelbagai lagi masalah sehinggakan beribu-ribu soalan diajukan. Tak menang tanganlah nak menjawabnya.
Video paling banyak mendapat tontonan ialah masalah panghawa dingin kenderaan rosak. Mungkin masalah ini paling banyak berlaku ke atas kenderaan yang dimiliki. - KitaReporters