Keluarga Malaysia: Dengarlah cerita geladangan di KL! Antara cinta, rindu, malu, derita, harapan!
Published bySaiful Bohari dan Seluak Abdullah... demi cinta, susah hidup diharungi bersama selama 22 tahun.
BERTEMU dan bercinta ketika melalui detik pahit manis sebagai geladangan di Kuala Lumpur menjadikan Saiful Bohari dengan Seluak Abdullah sebagai pasangan suami isteri yang banyak memberi teladan kepada masyarakat dalam apa juga kesulitan hanya cinta dan kasih sayang menjadi kekuatan meneruskan hidup.
Selama 22 tahun berkahwin, Saiful, 42, dan Seluak, 62 ibaratkan belangkas dalam kalangan geladangan itu kerana setianya mereka berumah tangga terutama kini keadaan isterinya sudah mula sakit lutut, mereka kelihatan berpimpin tangan dengan penuh mesra dan terbayang kasih seorang suami yang tidak pernah lekang,
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gelandangan
Surat jemputan untuk mendapatkan bantuan ihsan.
Saiful berkata dia bertemu isterinya semasa masing-masing terdampar di bandar raya selepas tidak mempunyai kerja, duit dan kawan. Sejak itu mereka jatuh cinta dan selepas lima bulan, terus mengambil keputusan berkahwin dan menyewa sebuah bilik di kawasan Chow Kit.
Saiful sebelum itu melakukan pelbagai pekerjaan dari menjual air buah kelapa sehinggalah menjual tisu bagi mencari rezeki menyara dia dan isterinya. Mereka pernah dikurniakan anak tetapi meninggal dunia.
Isterinya turut bekerja melongkar tong sampah untuk mencari tin dan botol minuman untuk dijual dan mereka terkenal sebagai pasangan suami isteri geladangan yang sangat penyayang dan peramah.
"Isteri saya dah lama sakit lutut. Dulu dia sihat dan kini kesihatan terjejas dan kami akan kekal bersama kerana sudah lama melalui pelbagai cabaran dan duka bersama. Hanya dia yang saya ada dan selagi sihat akan terus menjaganya," katanya.
Saiful dan isterinya adalah antara ratusan geladangan yang ditemui pada Program Kasih 21 Hari Mesra Geladangan yang disertai 115 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 22 Mac 2022 lalu.
Sementera itu seorang lagi geladangan yang mahu dikenali sebagai Yuliati, 49, (gambar atas) sudah empat tahun menjadi "pelarian" di bandar raya selepas melarikan diri dari dua majikannya yang mendera dan tidak memberinya makanan serta tidak bayar gajinya sebagai pembantu rumah.
Dia yang diperdaya dengan gaji yang dikatakan lebih mahal dari tempat kerja asalnya di Batam, Indonesia mengambil keputusan mengikut ejen bekerja sebagai pembantu rumah dengan dua majikan di Kuala Lumpur.
Selepas 'bertukar tangan' majikan dan didera secara emosi dan tidak diberi makan minun, dikurung akhirnya dia kini terdampar sebagai geladangan kerana tidak ada wang.
Lebih menyedihkan, dia tidak mampu mengumpul wang untuk pulang ke kampung selain malu kena tipu kerana meninggalkan kerja pembantu rumah terdahulu dengan pendapatan dan layanan yang selesa.
Bekas majikannya pula turut merampas dokumen perjalanannya dan dia bertemu geladangan lain yang membantunya dengan menumpangkan dia tidur di bawah jambatan dan mendapat makanan dan minuman dengan bantuan ihsan badan sukarela.
Ibu kepada empat anak, Yuliati kini tinggal di sebuah jambatan berhampiran Pasar Seni dan takut untuk mencari pekerjaan kerana tidak ada dokumen.
"Saya sudah malu mahu pulang. bukan saja saya hidup di sini, kais pagi makan pagi tetapi juga tidak ada dokumen perjalanan untuk pulang," katanya berasa sangat sayu bila setiap kali puasa dan menjelang hari raya kerana terpaksa berjauhan dengan keluargnya.
Muhd Fadzil Kamaruzaman, 51, (gambar atas) pula seorang pembantu tukang masak di sebuah restoran berharap kerajaan dapat menyediakan rumah persinggahan bukan saja penduduk tempatan tetapi juga kepada pendatang asing yang menjadi 'pelarian' di negara ini kerana mereka melarikan diri daripada majikan yang mendera pekerja asing.
"Saya melihat geladangan ini macam tikus yang menghuni di Kuala Lumpur. Sampai bila mereka akan tinggal di longkang, kawasan jambatan dan hari itu bila banjir melanda semua barangan mereka termasuk makanan dan kain baju dihanyutkan oleh air," katanya.
Fadzil yang menyewa sebuah bilik berdekatan sudah lama bergaul dengan geladangan itu, kadangkala kasihan melihat geladangan yang tidak mendapat bantuan kesihatan atau tempat tinggal sementara mereka mencari kehidupan untuk berdikari.
Dia yang berasal dari Negeri Sembilan, bujang telajak berharap pihak sukarela membantu anak-anak geladangan terutama untuk mendapat susu dan makanan yang berkhasiat.
Suraya 35, (gambar atas) dari Perak sudah setahun menjadi geladangan, 'dihalau' dari rumah selepas ayahnya meninggal dunia. Dia memilih tinggal bersama-sama rakan senasib kerana tiada pendidikan dan sudah berkerat rotan dengan adik-beradiknya.
Anak kedua, dia menghidapi penyakit lelah dan tidak boleh bekerja kerana itu menumpang kawan-kawan yang sudah dianggap sebagai keluarga dan 'jiran' untuk menemaninya ketika tidur malam. Setakat ini keselamatan tidak pernah terancam sama ada daripada orang yang cuba merogolnya atau haiwan liar.
Suraya ditemani 9 hingga 10 rakannya dan akan menghampar kotak sebagai alas tidur dan ada beberapa pakaian yang digunakan dibawa bersamanya kerana bimbang setiap kali air melimpah, barangan akan dihanyutkan banjir kilat.
Suraya pernah kehilangan beras 10 kilogram yang dibelinya selepas dihanyutkan air dan barangan yang dibeli termasuk gunting dan pisau dirampas oleh pihak berkuasa yang membuat serbuan di tempat tinggalnya.
"Saya keluar rumah kerana tidak diterima sebab tidak bekerja dan jadi jalan terbaik adalah duduk di bawah jambatan. Jadi tak payah bayar sewa dan makan minum bergantung kepada sumbangan orang ramai." katanya yang sebelum ini tinggal di rumah arwah ayahnya di Bangsar.
Ratnam (kanan) hidup dengan menyara diri sebagai tukang cuci di restoran.
Dalam pada itu, Ratnam, 52, dari Sabah juga tidak menyesal menjadi geladangan kerana dia bebas hidup berdikari sebagai tukang cuci di sebuah restoran berhampiran dan menyewa bilik dengan RM150 sebulan. Dia mempunyai kawan-kawan yang sedia membantunya ketika susah dan menjadi 'keluarga besarnya'. - KitaReporters