Terima kasih! Program PRE Ihsan Johor 3.0! 316 penduduk Labis terima sumbangan RM500 seorang!
Published byDewan Sebaguna Kampung Paya Merah, Labis lokasi majlis penyerahan bantuan wang tunai Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 secara one-off (sekali beri) bagi Mukim Labis, Johor sebanyak RM500 kepada mereka yang tersenarai dalam senarai e-kasih.
KEGEMBIRAAN jelas terbayang pada wajah penerima bantuan wang tunai one off (sekali beri) sebanyak RM500 di bawah Program Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 bagi Mukim Labis di Dewan Sebaguna Kampung Paya Merah, Labis, Johor pada 15 Ogos 2021 lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bantuan one-off
Penerima bantuan perlu melalui saringan suhu badan dan mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk menerima wang tunai bantuan.
Seorang penerima, Tijah Ismail, 71, seorang ibu tunggal dari Kampung Contoh Tenang Stesen berkata, dia tidak mempunyai pendapatan dan hanya berharap pemberian anak-anak untuk menyara hidup.
"Sebenarnya saya selama ini tidak menghadapi masalah kewangan walaupun tidak mempunyai pendapatan kerana setiap bulan anak-anak saya ada menghulur wang untuk perbelanjaan saya, tetapi sejak perlaksanaan PKP anak-anak saya tidak dapat balik menziarahi saya disebabkan mereka menetap sama ada di luar daerah atau di luar negeri Johor," katanya yang tinggal bersendirian sejak 12 tahun lalu.
Tijah Ismail
Katanya, oleh kerana anak-anaknya tidak dapat pulang menziarahnya, mereka hanya mengirim wang belanja melalui akaun bank dan sebagai warga emas dia tidak pandai untuk mengeluarkan wang tersebut selain tidak mampu untuk pergi ke bank kerana masalah pengangkutan.
Selain itu, dia juga memilih untuk tidak banyak keluar rumah dan berada di kawasan yang dikunjungi orang ramai berikutan peningkatan kes positif Covid-19 ketika ini termasuk sekitar kawasan Tenang Stesen.
Namun, pada masa sama dia turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor yang menghulurkan bantuan tersebut kerana dia berpendapat ramai yang memerlukan bantuan seumpama itu disebabkan hilang punca pencarian berikutan penutupan banyak sektor ekonomi ketika ini.
Petugas menyemak senarai nama penerima bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 di Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Labis, Johor.
Seorang lagi penerima, Bibi Alavi, 65, turut menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat apabila mewujudkan pelbagai bantuan di bawah PRE Ihsan Johor 3.0 yang ternyata mampu membantu meringankan beban golongan yang terkesan sejak negara dilanda pendamik Covid-19 ketika ini.
Menurutnya yang juga merupakan seorang ibu tunggal, selain faktor usia dan kesihatan, dia terpaksa menjaga seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU) adalah antara faktor yang menghalangnya untuk keluar bekerja mencari nafkah.
Bibi Alavi.
Sementara itu, Penghulu Mukim Labis, Sabri Nozari berkata, sejumlah RM158,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Johor kepada 316 penerima bantuan tersebut bagi mukim Labis pada kali ini.
Sabri Nozari.