Rumah musnah! Barangan pengantin RM10k anak bongsu hangus!
Published bySUASANA sedih serta pilu masih menyelubungi keluarga Kamariah Mahmud yang berusia 54 tahun sehingga kini kerana wanita itu bukan sahaja kehilangan kediamannya yang musnah akibat hangus dijilat api dalam kebakaran di Kampung Seri Bayas, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, tetapi juga persiapan perkahwinan anak bongsunya. : KitaReporters
KAMARIAH Mahmud sedang merenung dengan hati yang sayu melihat kayu rumahnya yang hangus kerana kebakaran di Kampung Seri Bayas, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu.
Lagi cerita-cerita berkaitan kebakaran:
https://kitareporters.com/search?search=kebakaran
Barangan hantaran serta peralatan lain yang dianggarkan bernilai RM10,000 untuk majlis perkahwinan anak bongsunya, Siti Nor Azuani Ariffin, 23, yang dijadualkan pada 14 November 2020 juga menjadi debu dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang, Sabtu, 17 Oktober 2020.
Akibat kebakaran itu, Kamariah yang mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan suami dahulu telah mengalami kerugian lebih RM100,000 kerana hampir 90 peratus rumahnya musnah.
WAN Kadir Wan Sulaiman menunjukan sebuah motorsikal daripada tiga buah motorsikalnya yang hangus dalam kebakaran tersebut.
Turut musnah peralatan perabut dan tiga buah motorsikal hangus dijilat api dalam kebakaran tersebut berlaku selama kira-kira 40 minit sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Setiu berjaya memadam api yang sedang marak membakar.
Yang memilukan wanita itu selepas kejadian yang tidak disangkakan itu, beliau tidak dapat mengadakan kenduri sempena majlis perkahwinan anak bongsunya yang kini sedang berkerja di Shah Alam, Selangor.
KAMARIAH MAHMUD
Beliau berkata, jika kejadian malang yang menimpa rumahnya tidak berlaku ke atas keluarganya sememangnya mereka bercadang untuk mengadakan majlis perkahwinan Siti Nor Azuani agak meriah sedikit kerana dia merupakan anak bongsu.
``Tapi apa kan daya kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya apabila kebakaran itu berlaku dengan sekelip mata sahaja dan mak cik tetap meneruskan perkahwin anak mak cik mengikut tarikh tersebut (14 November 2020) dengan hanya melakukan majlis angkat nikah sahaja di masjid kampung itu
``Sekarang rumah mak cik sudah tiada hendak buat kenduri kahwin macam mana, walaupun sebelum ini mak cik bercadang untuk membuat kenduri secara besaran sedikit kerana Siti Nor Azuani adalah anak bongsu dan selepas itu, mak cik tidak buat kenduri lagi,’’ katanya ketika ditemui di kawasan rumahnya terbakar di kampung itu hari ini, Isnin 19 Oktober 2020.
Kesedihan hati Kamariah yang sayu itu masih dilalui apabila beliau melihat serpihan kayu serta atap rumahnya yang hangus akibat dijilat api tetap tinggal dalam kenangan bersama keluarga mereka.
WAN KADIR WAN SULAIMAN
Semasa kejadian petang 17 Oktober 2020 itu, Kamariah serta suaminya, Wan Kadir Wan Sulaiman, 62, yang bekerja sebagai penoreh getah dan seorang anak lelakinya tiada di rumah berkenaan kerana mereka pergi ke rumah seorang lagi anaknya, Azura Ariffin, 33, di Kampung Bukit Putera, Setiu dan rumah yang hangus itu didiami tiga beranak terbabit.
Empat orang anaknya yang lain sudah berkahwin masing-masing tinggal berjauhan dengan Kamariah dan ia tidak termasuk dengan anak bongsunya.
Ketika ini mangsa rumah kebakaran tiga beranak itu menumpang di rumah arwah ibu Kamariah yang terletak tidak jauh dari rumahnya yang terbakar itu di kampung yang sama.
SITI NOR AZUANI ARIFFIN
Sementara itu, Siti Nor Azuani memberitahu dia sewaktu itu berada di tempat kerja di Shah Alam, Selangor mengetahui rumah ibunya hangus dari seorang kakaknya iaitu kira-kira sejam selepas kejadian kebakaran tersebut.
``Pada mulanya saya memang terkejut sambil berdoa semoga rumah ibu saya tidak terbakar sebegitu teruk sekali dan sebahagian barang-barang lain termasuk barang hantaran, baju pengantin, katil dan tilam di rumah itu yang dibeli lebih awal lagi kira-kira RM10,000 untuk perkahwinan saya hampir sebulan lagi dapat diselamatkan.
``Tetapi kira-kira sejam kemudian, kakak saya memberitahu lagi bahawa rumah ibu saya boleh dikatakan hangus semua dan semua barang yang ada dalam rumah semua musnah menyebabkan ibu, ayah serta abang saya tinggal sehelai sepinggang,’’ katanya ketika ditemui di Kampung Seri Bayas, Bandar Permaisuri, Setiu.
Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga penoreh getah itu bolehlah menyumbang terus ke akaun Kamariah Mahmud dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) – 11400 29 00000275 7 atau menghubungi Azura Ariffin (anak) melalui talian 017 – 9272338. - KitaReporters