KESUSAHAN hidup lantaran tidak bekerja dan pendapatan suami kecil, seorang ibu muda merayu orang ramai agar membantu kebajikan dan kos rawatan anaknya yang sakit. Ibu mana yang tidak bersedih dan menghadapi tekanan apabila melihat dan mendengar penderitaan serta tangisan anaknya menahan kesakitan mahupun meminta dibantu bagi meredakan penyakit yang dihadapi. : KitaReporters

Muhammad Aisy Dayyan menggunakan tiub disalur ikut mulut ketika minum susu


Begitulah perasaan yang dihadapi seorang suri rumah tangga di Simpang Kampung Paya Garok, Jerantut, Siti Nor Farhanis Mohamad Faudzi, 23, melihat anak ketiganya, Muhammad Aisy Dayyan Sapuan, yang berusia tiga bulan mengalami komplikasi penyakit, iaitu jantung berlubang, tulang belakang bengkok, masalah paru-paru dan tulang kaki.

"Selepas dilahirkan, doktor memberitahu anak saya ini mengalami penyakit jantung berlubang dan masalah bahagian anggota berkenaan. 

"Mulai saat itu, saya rasa sedih serta tertekan apabila melihat keadaan kesihatannya.

"Apapun saya reda dengan ketentuan Allah dan kuatkan semangat serta sentiasa berdoa supaya penyakit anak ini dapat disembuhkan dan membesar sihat semula seperti kanak-kanak lain," katanya.

Menurut ibu muda itu, sehingga ini, dia dan suaminya, Sapuan Zali, 32, membawa Muhammad Aisy Dayyan mendapatkan rawatan susulan dan pemantauan pegawai perubatan dua atau tiga kali sebulan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Temerloh.  

Katanya, melihat keadaan bayi itu yang perlu dijaga sepenuh masa, dia terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang berdekatan selepas habis berpantang menyebabkan terus kehilangan pendapatan dan semakin susah untuk berbelanja susu, lampin pakai buang, kos tambang berulang alik ke hospital dan menguruskan kebajikan lain.       

   


"Saya amat sedih melihat keadaan anak ini terpaksa menggunakan tiub yang dipasang menerusi hidung ketika diberi minum susu khas pada setiap masa untuk meningkatkan berat badannya. 

"Anak saya perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital bagi memulihkan penyakitnya malahan kami sedang menunggu keputusan doktor pakar untuk  membolehkan Muhammad Aisy Dayyan menjalani pembedahan," katanya. 

Siti Nor Farhanis yang mempunyai dua orang lagi, iaitu perempuan berusia dua dan empat tahun menambah, kesulitan berdepan penyakit yang amat berat dialami anak bongsunya itu kini bertambah pula dengan bebanan kesusahan belanja (kewangan). 

"Suami saya sebagai buruh kilang hanya menerima upah bulanan sebanyak RM1,200 dan tidak mencukupi menampung belanja keperluan asas dan rawatan Muhammad Aisy Dayyan kerana wang itu juga akan digunakan untuk belanja keperluan dapur dan dua orang lagi anak mereka. 

"Malah dalam tempoh tiga bulan ini dan seterusnya, kami terpaksa mengeluarkan belanja tambang pengangkutan dan urusan tertentu sebanyak RM300 setiap kali membawa Muhammad Aisy Dayyan ke hospital. 

"Ini ditambah pula keperluan belanja membeli susu khas anak saya bernilai RM63 sekotak dan perlu menyediakan sebanyak tiga kotak sebulan, di samping peralatan kebersihan lampin pakai buang," katanya. 

Siti Nor Farhanis berkata, dia berharap ada dermawan dan pihak tertentu dapat membantu mereka untuk meringankan beban yang ditanggung khususnya membiayai kebajikan dan rawatan Muhammad Aisy Dayyan. 

"Saya juga berterima kasih kepada kepada dermawan serta mereka yang telah menyumbangkan bantuan kepada anak saya sebelum ini. 

"Semoga Allah membalas keikhlasan mereka dengan ganjaran yang besar," katanya.  

Sementara itu, penderitaan bayi, Muhammad Aisy Dayyan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) Jerantut, Nik Ahmad Tarmizi Nik Lam.

Mohd Zakhwan menyampaikan sumbangan peralatan kereta sorong dan 'baby-bouncer' bagi memudahkan pergerakan dan tidur termasuk keperluan dapur, lampin pakai buang dan wang tunai.

Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kanan) menyampaikan bantuan lampin pakai buang, kereta sorong, 'baby-bouncer' dan wang tunai kepada ibu Muhammad Aisy Dayyan,  Siti Nor Farhanis Mohamad Faudzi

"Saya sudah memaklumkan kepada pihak MUIP di sini bagi membantu menyalurkan bantuan perubatan untuk bayi ini. 

"Diharap kedua-dua ibu bapa bayi ini tabah menghadapi ujian ini," katanya.


Kepada sesiapa yang ingin beramal jariah membantu Muhammad Aisy Dayyan bolehlah berhubung terus dengan Siti Nor Farhanis Mohamad Faudzi (ibu) menerusi talian 019 7855870 atau sumbangan boleh disalurkan terus ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (Siti Nor Farhanis) yang bernombor 06995-29-00032344-3. - KitaReporters

1
0
2
0
0

Copy Link: