Ebit Lew sewa 2 rumah! Rumah Kasih Umat! Jaga anak yatim, ibu tunggal di Gaza dengan selesa!
Published byMerai dan memberi sumbangan kepada kanak-kanak menjadi antara misi utama Ebit Lew
ALANG-ALANG berdakwat biar hitam; alang-alang berminyak biar licin; alang-alang mandi biar basah. Tiga peribahasa ini membayangkan pendirian Ustaz Ebit Lew dalam misi kemanusiaan antarabangsa ke Gaza, Palestin.
Kini beliau dan timnya berada di Gaza melaksanakan misi mereka, selepas tabah menunggu sebulan lebih, sebelum dapat peluang masuk ke destinasinya di Gaza dengan selamat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ustaz Ebit Lew
Mengangkat salah seorang kanak-kanak yang diraikan. Kredit - Facebook Ebit Lew.
Sekali gus hilang rasa cemas pengikut dan masyarakat Malaysia terhadap keselamatan pendakwah itu yang sebelum ini ditaburkan cerita yang membimbangkan, termasuk kononnya Ebit Lew hilang dan terpisah dengan tim dan barang yang hendak dihantar. Namun kemudian Ebit Lew muncul memberitahu beliau selamat dan ketika itu masih berada di Mesir.
Kini alhamdulillah, mereka sedang menyempurnakan program Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin dari Malaysia itu.
Memberi hadiah permainan kepada kanak-kanak. - Kredit foto: Facebook Ebit Lew
Selain memberi pelbagai barang dan sumbangan tunai kepada penduduk dewasa dan kanak-kanak, satu lagi kejayaan dalam misi itu adalah, beliau berjaya menyewa rumah untuk menempatkan kanak-kanak dan ibu tunggal yang memerlukan.
“Saya sewa dua biji rumah untuk dijadikan Rumah Kasih Umat, ada empat bilik luas dan selesa. Setakat ini akan jaga 10 anak yatim dan mereka yang susah untuk dijadikan tempat tinggal dan kelas-kelas aktiviti anak-anak.
"Menangis melihat anak-anak ini. Kecil lagi setiap hari hidup dengan peperangan. Saya tidur malam di sini, terfikir risau juga. Inikan pula anak-anak ini sepanjang hidup melalui hidup diuji begini," tulisnya selepas sesi ziarah dan menyampaikan bantuan.
Antaranya, beliau menemui satu keluarga, seorang ibu tunggal bersama tujuh anak kecil.
Ebit Lew menyewa dua rumah untuk 10 anak yatim dan ibu tunggal, dinamakan Rumah Kasih Umat.
"Ada seorang tu baby lagi. Ya Allah. Suami wanita itu syahid baru-baru ini, asbab serangan bom. Masa mula sampai semua sedih jer. Saya tengok anak kecil ini, hati jadi tak tahan nak menangis.
"Saya dah sebulan belum jumpa anak isteri dan keluarga dah terasa sayu. Inikan pula anak kecil ini kehilangan ayah mereka. Tapi masih boleh tersenyum.
"Seronok bila bawa hadiah. Terus semua senyum. Sempat bermain-main terbang dengan anak-anak ini. Saya bawa terus keluarga ini ke rumah Kasih Umat dan berikan sedikit sumbangan untuk mereka dan semua ibu tunggal lain.
Insya-Allah ada cikgu yang menjaga dan menguruskan tempat ini. Kami akan bayar gajinya," tulis beliau dalam laman Facebooknya sambil menambah,
"Ya Allah terasa bersyukur sangat dapat buka Kasih Umat di Gaza, Palestin. Beribu orang kehilangan rumah tempat tinggal, kelaparan, kehilangan orang tersayang. Allahuakbar."
`Memborong' barang permainan untuk hadiah kanak-kanak di Gaza. - Kredit Foto: Facebook Ebit Lew
Apabila lama tiada khabar berita daripada Ebit Lew selepas membeli barang-barang keperluan dan perubatan di Mesir untuk dibawa ke Gaza, ramai yang cemas.
Beliau yang berangkat dari tanah air ke Mesir pada 25 Mei 2021 lalu, memohon maaf kerana tidak membuat laporan ketika itu kerana sebab keselamatan.
Pengikut dan warga Malaysia yang prihatin terhadap keselamatan pendakwah dan dermawan lagi sukarelawan itu, kini lega dan mendoakan beliau dapat pulang ke tanah air dengan selamat.
Berkat kesabaran, doa dan bantuan pelbagai pihak, Ebit Lew telah memaklumkan dalam laman media sosialnya pada pagi 28 Jun 2021 bahawa mereka telah selamat memasuki Gaza melalui pintu Rafah untuk meneruskan misi kemanusian dan mengagihkan bantuan kepada rakyat negara itu.
Ebit Lew menjinjing hadiah yang dibeli di kedai, sambil diiringan kanak-kanak yang kegembiraan diraikan. Kredit foto: Facebook Ebit Lew
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Wisma Putra dan menjunjung kasih kepada Tunku Mahkot Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.
"Terima kasih tuan puan semua ye yang sentiasa menyokong dan terima kasih yang sentiasa mendoakan dan bersama misi ini," tulisnya lagi.
Difahamkan, Ebit Lew dan rakan-rakan adalah kumpulan misi kemanusiaan antarabangsa yang pertama dibenarkan masuk ke Gaza, Palestin selepas perang pada akhir Ramadan sehingga awal Syawal tahun 2021 ini.
Perkara itu disahkan oleh Kedutaan Malaysia dan Unit perisikan Tentera Mesir sendiri. - KitaReporters