Sanjay Dutt sakit! Dilaporkan alami penyakit barah paru-paru
Published bySELEPAS aktor Bobby Rishi Kapoor meninggal dunia akibat kanser darah April 2020 lalu, seorang lagi aktor popular Bollywood, Sanjay Dutt, 61, kini dikatakan menderita sakit barah paru-paru tahap tiga. Malah ada juga laporan mengatakan barahnya sudah berada pada tahap empat. : KitaReporters
SANJAY DUTT dan isteri, Maanayata berharap para peminat mendoakan kesejahteraan keluarga mereka. - Kredit foto: IndiaTVNews
Lagi cerita-cerita berkaitan Bollywood:
https://kitareporters.com/search?search=bollywood
Sanjay dan keluarganya tidak mengesahkan khabar tersebut secara rasmi tetapi berita ini sudah tersebar dalam kalangan penggiat dunia industri perfileman Bollywood dan peminat.
Ini dikuatkan dengan kenyataan isteri aktor tersebut, Maanayata Dutt, yang memberitahu Sanjay akan bercuti daripada aktiviti perfileman dan akan berlepas ke Amerika Syarikat untuk berehat.
Maanayata menghargai ingatan dan perasaan ambil berat peminat dan rakan-rakan terhadap Sanjay dan meminta mereka mendoakan agar Sanjay sentiasa dalam keadaan baik.
SANJAY DUTT membintangi banyak filem aksyen dan lasak. - Kredit foto: Times of India.
Memetik laporan Times of India, Maanayata juga meminta para peminat supaya tidak mudah percaya dengan khabar-khabar angin mengenai kesihatan suaminya. Namun dipercayai tujuan sebenar Sanjay ke Amerika adalah untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Sanjay sebelum ini dimasukkan ke Hospital Lilavati di Mumbai setelah mengadu sakit dada dan susah bernafas. Dia menjalani ujian Covid-19 tetapi negatif dan dibenarkan keluar sehari kemudian.
Selepas keluar hospital pelakon filem Vaastav itu menulis dalam Instagram memaklumkan kepada peminat dia akan berehat daripada kegiatan filem. Sekalipun tidak memberitahu kenapa, dipercayai dia dikesan menghidap barah paru-baru peringkat tiga.
Anak kepada pelakon legenda Sunil Dutt dan Nargis ini memaklumkan dia perlu berehat untuk sementara waktu bagi mendapatkan rawatan. Secara tidak langsung ini mengesahkan sakit yang dihidapinya.
Katanya, keluarga dan rakan-rakan sentiasa ada bersamanya. Dia berharap orang ramai dan peminat tidak bimbang dengan keadaannya atau membuat sebarang spekulasi mengenai dirinya. Isterinya juga mengeluarkan kenyataan mengucapkan terima kasih di atas perhatian dan ingatan peminat serta luahan harapan agar Sanjay segera sembuh.
Menurut Sanjay, keluarganya memerlukan kekuatan dan doa untuk melalui waktu yang mencabar ini. Pelbagai dugaan telah dilalui oleh keluarga itu dalam beberapa tahun lalu dan dia yakin ujian kali ini juga akan dapat dilalui dengan jaya.
BAAGHI antara filem aksyen lakonan Sanjay Dutt. - Kredit foto: Wikipedia
Menurut laporan, Sanjay dijadual berlepas ke Amerika tidak lama lagi untuk proses rawatan. Bagaimanapun Maanyata meminta peminat tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin, sebaliknya memberi sokongan dan semangat di waktu mencabar ini.
Maanayata yakin suaminya akan segera sembuh dan menyifatkan suaminya sebagai seorang ‘pejuang’, begitu juga dengan anggota keluarga yang lain.
Katanya, Tuhan telah mendatangkan dugaan kepada mereka dan akan melaluinya dengan penuh semangat dan kekuatan. Apa yang mereka perlukan hanyalah doa. Dia percaya mereka akan berjaya melalui ujian ini seperti yang telah mereka lalui ketika menghadapi ujian-ujian sebelum ini.
ROCKY filem pertama Sanjay Dutt yang memperkanalkan dia ke layar perak. - Kredit foto: IndianExpress.com
Sanjay Dutt yang dilahirkan pada Julai 1959 berkahwin dengan Maanayata pada Februari 2008. Sebenarnya ini adalah perkahwinan kali ketiga Sanjay. Sebelum itu dia berkahwin dengan Rhea Pillai (Februari 1998) dan Richa Sharma (1987). Dia mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinannya.
Sanjay Dutt adalah antara aktor terkenal dan menerima bayaran tinggi Bollywood. Dia juga telah membintangi beberapa filem box-office serta pernah dua kali memenangi anugerah Filmfare iaitu antara anugerah berprestij dalam industri perfileman Bollywood. Dia juga memenangi tiga Anugerah Skrin.
Dia terjun ke layar perak dengan filem pertamanya Rocky arahan bapanya. Selepas itu dia tidak menoleh ke belakang dan menempa kejayaan dalam filem-filem yang dibintangi selepas itu. Kebanyakan filem lakonannya adalah berbentuk aksyen dan lasak.
Antara filem-filem lakonan Sanjay Dutt ialah Naam, Sanju, Khal Nayak, Amanat, Mahaanta, Panipat, Prassthanam, Kalank, Saheb Biwi Aur Gangster, Bhoom, Ungli dan lain-lain. - KitaReporters
SANJAY Dutt bersama isteri, Maanayata serta anak, Shahraan dan Iqra. - Kredit foto: IndiaTVNews