Kelab SKJP berusaha memberi perlindungan, merawat dan memberi makan kepada kucing jalanan.
Walaupun hidup gelandangan dan tiada tempat berteduh yang selesa, haiwan kesayangan ramai ini tidak sepatutnya dibiarkan kelaparan tambah-tambah lagi pada musim wabak pandemik COVID-19 ini. Kucing terbiar ini juga berhak untuk dilindungi dan diberi makan.
Jom bantu kelab kucing prihatin ini yang tidak rela melihat kucing jalanan ini terus terbiar dan kelaparan.
Bantulah selagi boleh!
Jurina Abd Rani selaku Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP), berkata kelabnya memerlukan bantuan orang ramai bagi memastikan sebanyak 400 ekor kucing jalanan yang dijaga mereka tidak terabai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) atau total lockdown ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kucing
Katanya, bantuan itu diperlukan bagi membantu kucing jalanan yang ditempatkan di pusat jagaan milik kelab berkenaan di beberapa daerah di Pahang itu tidak kelaparan dan mendapat rawatan perubatan sekiranya sakit.
Menurutnya, pihaknya memerlukan lebih RM3,000 sebulan bagi menampung kos menjaga haiwan yang ditinggalkan orang ramai di beberapa kawasan di negeri ini.
Banyak si bulus tu...memang wajar dibantu.
"Sumbangan amat diperlukan bagi membeli makanan dan pasir serta perbelanjaan rawatan kucing. Bukan setakat kucing, haiwan lain seperti anjing juga kita bantu.
"Bila ada haiwan yang sakit, kita akan hantar ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan serta menjaganya sehingga pulih," katanya ketika ditemui di Kuantan.
Jurina berkata, ketika ini terdapat lebih 100 kucing jalanan yang terpaksa diberi perlindungan di pusat jagaan sementara SKJP kerana mengalami masalah kesihatan termasuk kecederaan serius akibat kemalangan.
Kucing terbiar di beberapa lokasi sekitar Kuantan diberi makan oleh ahli Kelab SKJP
Sementara itu, katanya, sejak Ramadan lalu, ditambah dengan pelaksanaan PKP 3.0, jumlah kucing dan anjing jalanan bertambah dua ke tiga kali ganda.
Menurutnya, pihaknya percaya haiwan berkenaan dibuang oleh orang ramai.
Sehubungan itu, pihaknya merayu kepada pihak yang prihatin supaya dapat memberikan sumbangan kepada kelab berkenaan.
"Sumbangan ini diperlukan dalam usaha menyelamatkan nyawa haiwan ini. Kita juga ada menerima sumbangan makanan haiwan. Namun pada setiap minggu kita akan agihkan makanan itu kepada individu tertentu untuk diberikan kepada kucing dan anjing jalanan, " ujarnya.
Bantulah serba sedikit selagi boleh!
Tambah Jurina, pihaknya tidak sanggup melihat haiwan berkenaan kurus seterusnya mati kelaparan, selain mengalami kecederaan serius tanpa mendapat sebarang rawatan sepatutnya.
Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank 5560-9326-1496 atas nama kelab berkenaan (Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang). - KitaReporters
Wabak pandemik COVID-19 secara tidak langsung mengurangkan nilai kasih sayang manusia terhadap haiwan apabila sanggup membuang haiwan itu tanpa mengira kesan perbuatan zalim mereka.