HOSPITAL Ampang, Selangor akan sentiasa mewujudkan kolaborasi terbaik dengan pusat jagaan dalam memastikan warga emas tersisih dan tiada waris yang discaj dari hospital mempunyai tempat yang selamat untuk berteduh bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Jabatan Kerja Sosial Hospital akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan terlebih dahulu cuba mengesan saudara mara warga emas terbabit sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk menghantarkan mereka ke pusat jagaan selepas usaha itu gagal.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usaha dan kerja amal

Dr Rahimah Sahudi menyerahkan sumbangan Kelab Sukan & Kebajikan dan Puspanita Cawangan Hospital Ampang kepada Azman Rasman sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa kelab. Dari kanan Emelda, Noor Hazirah dan Wan Zalinda.


Timbalan Pengarah Perubatan 3, Hospital Ampang, Selangor, Dr Rahimah Sahudi, berkata langkah itu bagi memastikan warga emas berkenaan mendapat pembelaan serta penjagaan dengan sempurna terutama memastikan kesejahteraan kesihatan mereka.

Menurutnya, tidak dinafikan peranan yang dimainkan pusat jagaan atau rumah kebajikan banyak membantu pihak hospital kerana mereka discaj itu biasanya sudah kembali sihat dan kekosongan di wad akan digunakan oleh mereka yang memerlukan rawatan.

Jelasnya, apabila berada di pusat jagaan pihak hospital akan terus memantau kerana warga emas terbabit masih memerlukan rawatan susulan yang biasa dilakukan oleh pengurusan pusat berkenaan dengan merujuk pusat kesihatan terdekat berdasarkan  jadual janji temu yang dibuat.


Dr Rahimah bertanya khabar beberapa warga emas di PJMM pada Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang.


“Saya difahamkan walaupun selesa berada di pusat jagaan ini pihak pengurusannya tetap berusaha mengesan waris atau saudara mara warga emas terbabitkan untuk memaklumkan kepada yang akan terpisah kerana pelbagai faktor.

“Tetapi apabila kekurangan maklumat mengenai warga emas seperti mana dihadapi Jabatan Kerja Sosial Hospital, selalunya usaha yang baik ini menemui kegagalan,” ujar beliau ketika ditemui pada Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih pada 4 Mac 2023.

Program itu anjuran Kelab Sukan & Kebajikan dan Kelab Kejururawatan Hospital Ampang serta Puspanita cawangan hospital berkenaan. Turut hadir Pengerusi  PJMM, Azman Rasman, Penasihat 2 PJMM, Mohiadin Bahado, Pengurus, Setiausaha PJMM, Sazali Mohiden dan Mohammad Syafiq Mohiadin.  

Pada program berkenaan selain melawat bilik yang menempatkan warga emas dan kemudahan disediakan PJMM, mereka turut beramah mesra dengan penghuni manakala Kelab Sukan & Kebajikan dan Puspanita menghulurkan sumbangan RM2,000 manaka Kelab Kejururawatan mengagihkan 60 pack makanan ringan. 


Warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) merakamkan kenangan bersama-sama Dr Rahimah, Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan & Kebajikan, Kelab Kejururawatan dan Puspanita Cawangan Hospital Ampang, Selangor serta pihak pengurusan PJMM selepas Program Lawatan Amal Sinar Kasih Ramadan Hospital Ampang, pada 4 Mac 2023.


Dr Rahimah turut menyarankan Kelab Sukan & Kebajikan dan Kelab Kejururawatan serta Puspanita untuk lebih kerap mengadakan aktiviti di pusat jagaan berkenaan dalam usaha memberi kegembiraan di samping keceriaan kepada warga emas di situ.

Menurutnya, mereka juga boleh mengadakan aktiviti gotong-royong di pusat itu dalam membantu meningkatkan taraf kesihatan dan kebersihannya serta mengambil warga emas sebagai ibu atau bapa angkat bagi membantu meringankan bebanan pihak pengurusan.

“Saya kagumi PJMM ini walaupun wujud sebagai pusat jagaan tidak berbayar tetapi masih mampu menyantuni warga emas dengan sempurna dan amat wajar bagi semua pihak membantu mereka daripada pelbagai segi,” katanya.


Azman menerangkan sejarah penubuhan PJMM kepada Ahli Kumpulan Bekas Pelajar (Perempuan) 82 – 86 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Terengganu.


Sementara itu, Kumpulan Bekas Pelajar (Perempuan) 82 – 86 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Terengganu menyantuni warga emas di PJMM dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) pada 18 Februari 2023.

Wakil kumpulan itu, Aniza Abd Ghani, berkata kunjungan itu untuk melihat lebih dekat PJMM dan PJNH dalam menguruskan warga emas di situ yang mungkin tidak termampu dilakukan kebanyakan orang termasuk anak sendiri.

Jelasnya, ahli kumpulan itu sudah lama mengadakan kutipan setiap bulan untuk disalurkan kepada pusat berkenaan yang sekurang-kurangnya meringankan kos pembiayaan dan paling penting merapatkan lagi ukhuwah antara mereka yang kini berjaya dalam pelbagai bidang serta kerjaya.

“Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh selepas menyantuni pusat ini akan kami kongsi  dan sebarkan kepada pihak lain untuk memberi kesedaran kepada mereka supaya dapat  turut membantu pusat jagaan berkenaan terutama dari segi kewangan,” ujar beliau. - KitaReporters


Aniza Abd Ghani (dua dari kiri) bersama rakan kumpulan menyantuni seorang warga emas makan tengah hari.

36
15
0
14
0

Copy Link: