Video| Selamat ulang tahun ICRC! Pantang berundur! Terus lindungi orang awam daripada konflik perang!
Published by
Palang Merah ketika berkhidmat masa gempa bumi di Lattakia, Syria.
TAHUN 2023 ini genaplah Persatuan Palang Merah atau panggilan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di negara Islam mencapai usia 160 tahun berkhidmat melindungi keselamatan manusia dan di sebalik konflik dunia yang berterusan, ternyata tidak sekalipun menggugat misi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) daripada matlamat asalnya, membantu berjuta-juta warga dunia yang terjejas akibat konflik peperangan.
Pada 17 Februari setiap tahun yang diraikan sebagai detik diasaskan dan menghargai jasa beratus-ratus sukarelawan yang mengabdikan diri mereka membantu mangsa konfik. Dan kisah mereka dari dahulu hingga kini mempunyai cerita yang hampir sama - kehancuran negara, kehilangan anggota keluarga, kediaman, ibu bapa dan kecacatan yang ditanggung oleh mangsa itu berpanjangan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah
Presiden ICRC Mirjana Spoljaric.
“Rumah-rumah penuh dengan lubang, hancur dan berkecai dan penduduknya, yang bersembunyi, membongkok di bilik bawah tanah tanpa cahaya atau makanan selama hampir 20 jam, mula merangkak keluar, kelihatan masih terkejut dengan kengerian yang telah mereka alami.
"Teks ini seolah-olah boleh ditulis hari ini tentang orang yang mengalami konflik di Ukraine, Yaman, atau Syria. Orang awam yang menderita akibat pertempuran yang dilihat di Afghanistan atau Somalia dalam beberapa tahun kebelakangan ini terkejut dengan keganasan konflik di sana," kata Presiden ICRC Mirjana Spoljaric.
“Selepas 160 tahun bekerja, ICRC boleh mengatakan dunia telah mencapai kemajuan sebenar untuk mengurangkan bahaya orang awam di medan perang. Namun kami masih melihat penderitaan yang besar dalam konflik hari ini, bermakna masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mengurangkan kesakitan dan kesedihan.
"Kemajuan teknologi telah mengubah peperangan secara drastik sejak tahun 1863. Satu perkara yang tetap menyedihkan melihat tahap penderitaan orang awam yang terperangkap dalam konflik terpaksa ditanggung seperti yang dicatatkan oleh Pengasas bersama ICRC, Henri Dunant pada 160 tahun lalu. Selepas dia sendiri menyaksikan kengerian dalam pertempuran," katany lagi.
Henry Dunant dalam buku mercu tandanya, "A Memory of Solferino," mencadangkan untuk mewujudkan persatuan-persatuan kebangsaan yang dikenal pasti dengan lambang bersama dan triti antarabangsa untuk melindungi mereka yang cedera di medan perang.
Pada 17 Februari 1863, visi ini menjadi kenyataan apabila sekumpulan rakyat dari Geneva mengasaskan Jawatankuasa Antarabangsa bagi Bantuan Kepada Yang Cedera, yang kemudiannya dikenali sebagai Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Lebih sedikit daripada setahun kemudian pada 22 Ogos 1864, dua belas negara telah menandatangani satu triti yang mengabadikan kewajipan untuk menyelamatkan dan melindungi askar yang cedera dan orang serta peralatan yang terlibat dalam penjagaan mereka yang akhirnya melahirkan Konvensyen Geneva.
Sehubungan itu, Mirjana Spoljaric menegaskan, penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa telah dan akan terus menjadi, satu-satunya cara untuk memelihara sekurang-kurangnya kemanusiaan semasa konflik. Undang-undang perang mesti dijadikan satu keutamaan politik.
Sebahagian bantuan oleh Palang Merah kepada penduduk menjadi mangsa konflik. - Kredit gambar: ICRC
"ICRC bekerja di 100 negara dengan tenaga kerja lebih 21,000 orang. Sepanjang tahun-tahun akan datang, ICRC, bersama rakan-rakannya dalam Pergerakan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, akan meneruskan kerjanya untuk memastikan bahawa sifat neutral, saksama dan bebas aktiviti kemanusiaan kami difahami oleh semua.
"Walaupun terus termunculnya senjata dan teknologi baharu. Kami akan sentiasa memihak kepada kemanusiaan, ICRC juga akan terus menyokong dan menegaskan untuk menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang melarang keganasan yang ditujukan kepada orang yang tidak terlibat dalam konflik bersenjata." katanya. - KitaReporters