KETIBAAN bulan Rabiulawal setiap tahun sentiasa dinanti-nantikan umat Islam seluruh dunia kerana lebih 1400 tahun lalu lahir manusia paling mulia di muka bumi iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Majlis memperingati atau disebut Maulidur Rasul adalah bagi  menzahirkan kecintaan kepada baginda. Memang  fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang adalah tanda kita mengasihi kehidupannya.

Bagi mezahirkan kecintaan itu, AJK Muslimat Surau Al-Ukhuwah Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan Majlis Maulidurasul, “Semurni Cinta Rasulullah, baru-baru ini. Tausiyah disampaikan pendakwah terkenal, Ustazah Dr Robiah K Hamzah.


Berselawat bagi memuji Rasulullah SAW dan kecintaan kita menjadi umat baginda.


Menurut Dr Robiah, kehebatan Nabi Muhammad SAW memang diakui bukan saja umat Islam tapi masyarakat bukan Islam.

“Tidak hairanlah seorang ahli falsafah dan penulis tersohor Barat, Michael H Hart menulis sebuah buku 100 manusia paling berpengaruh dalam sejarah dan dia meletakkan Rasulullah SAW di tempat pertama. 

”Allah mencipta Rasulullah SAW sebagai makhluk paling mulia yang memiliki kelebihan tersendiri.

“Allah memuliakan Rasulullah SAW dengan menjadikan baginda zuriat yang  mulia. Ini supaya tidak akan ada manusia bermulut jahat yang dapat merendahkan baginda dari sudut keturunan,” katanya.


Kumpulan Qasidah Syifaun Nolish membuat persembahan sebelum Dr Robiah memberi ceramah Maulidur Rasul.


Jemaah bergambar kenangan bersama Dr Robiah selepas selepas majlis Maulidur Rasul.


Sesuai dengan tajuk Semurni Cinta Rasulullah, katanya umat  Islam patut menyemak setakat mana kecintaan kita kepada junjungan besar itu.

“Dalam hidup, letakkan kecintaan kita kepada dua perkara ini, Allah dan Rasul kerana ia tiket kita untuk masuk syurga.

“Mulianya hati Rasulullah SAW kerana baginda sentiasa ingatkan umatnya malah pada akhir hayat, baginda masih mengingati umat manusia,” katanya.

Dr Robiah berkata, jika mahu sentiasa mengingati Nabi Muhammad SAW, umat Islam perlu banyak membaca mengenai sejarah Rasullullah. 


AJK Muslimat Surau Al-Ukhuwah menikmati makanan bersama Dr Robiah.


Sementara itu, Ketua Muslimat Surau Al-Ukhuwah, Narol Azilah Abd Rahman, berkata selain menjemput penceramah terkenal, pihaknya mengadakan beberapa aktiviti sampingan, antaranya persembahan daripada kumpulan Qasidah Syifaun Nolish.

“Selain itu, jemaah juga berselawat beramai-ramai tanda mengingati dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Insya-Allah, program Maulidur Rasul seperti ini akan diadakan setiap tahun,” katanya. - KitaReporters

16
13
0
12
0

Copy Link: