Baby Halimatul Saadiah anak Anang dan Iqlimah


Tidak tergambar perasaan gembira sepasang suami isteri warga Indonesia apabila mereka dapat "menebus" bayi mereka yang "ditahan" di hospital kerana mereka tidak cukup wang untuk membayar bil hospital berkenaan. Bayi mereka yang lahir pramatang sejak dua bulan lalu juga mengalami komplikasi jantung. 

Pasangan itu Anang dan Iqlimah, menitiskan air mata apabila dapat membayar bil berkenaan hasil derma rakyat Malaysia khususnya dua kumpulan ini, iaitu Kelab Kesihatan Sumur Dingin Wellness dan Alumni Sekolah Sri Aman Batch 1979 serta individu persaorangan. 


Anang membayar bil rawatan di kaunter hospital


Kemelut masalah pasangan ini bermula apabila mereka kekurangan RM5 ribu lagi untuk membayar keseluruhan bil, sebelum ini mereka telah menjelaskan bil yang berjumlah hampir RM10 ribu, Kesempitan wang telah memaksa pasangan ini mencari dana dan memohon jasa baik penulis sebagai rakan yang mereka kenali untuk membantu  

Paling menyedihkan baki RM5 ribu itu tidak dapat disediakan pada hari Isnin, 25 Mac 2024 lalu apabila pihak hospital memberikan kebenaran untuk membawa pulang bayi mereka yang bernama Halimatul Saadiah.



 Sebagai warga asing mereka sedar bayaran perkhidmatan kesihatan di Malaysia bukan murah bagi mereka. Namun mereka sama sekali tidak menduga bahawa bayi mereka akan dilahirkan pramatang dan mengalami masalah jantung serta memerlukan  rawatan rapi. 

Disebabkan itu duit yang disimpan untuk melahirkan anak di Hospital Shah Alam tidak mencukupi. 

"Kami sudah simpan duit untuk menyambut anak baharu ini, namun tidak sangka dia akan lahir pramatang dan perlu duduk di hospital lebih sebulan" kata Iqlimah. 

Namun kedua-duanya tetap bersyukur atas rezeki Allah ini dan menganggap kelahiran Halimah ada hikmahnya.



Anang dan Iqlimah ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menderma untuk baby Halimah serta terhutang budi dengan semua staff, doktor dan jururawat di Hospital Shah Alam yang telah melayan mereka dan bayi mereka dengan baik. 

Ucapan terima kasih juga ditujukan Khas Buat Dr Suraya Ariffin, pemilik Kelab Kesihatan Sumur Dingin Wellness dan suaminya Mazlan Razak yang telah menjadi penyumbang terbanyak dalam Tabung Derma Kilat Halimatul Saadiah ini. 

Sementara itu, menurut Anang yang telah tinggal di Malaysia sejak 15 tahun lalu, rakyat Malaysia sentiasa prihatin dan baik hati.  Beliau mempunyai ramai kawan di Malaysia yang tidak mendiskriminasi beliau sebagai warga asing. Beliau dan isteri tidak mampu membalas segala kebaikan dan jasa masyarakat Malaysia di bumi yang tercinta ini. 




Bagi Iqlimah, beliau sangat terhutang budi dengan semua penderma yang sangat ikhlas menderma serta tidak melihat dirinya sebagai warga asing sebaliknya membantu atas dasar kemanusiaan dan sesama agama. 

Malah sebelum ini, beliau mengalami pengalaman pahit ingin meminjam duit dari saudara mara sendiri untuk membayar bil berkenaan. Ramai saudara mara dan sebangsa dengannya menghina dan memarahi beliau yang melahirkan anak di Malaysia. 

Menurut beliau, anak ini walaupun ada masalah jantung berlubang, dia akan pastikan menjaganya dengan penuh kasih sayang. 

"Anak ini anugerah Allah kepada saya dan siapa tahu anak ini bakal membawa tuah untuk keluarga kami," jelas Iqlimah lagi. 

Sehubungan itu, tabung yang dibuka untuk bantu bayi ini ditutup dengan serta merta kerana wang telah mencukupi dan bayi berkenaan sudah dapat dibawa pulang oleh ibu bapanya. 

Terima kasih pada semua yang menderma. Semoga rezerki anda semua sentiasa dimurahkan Allah. - KitaReporters


Iqlimah diajar oleh jururawat bagaimana menjaga anaknya yang masih menggunakan tiub untuk minum susu.

17
10
2
14
0

Copy Link: