Kredit foto: FB RXZ Members - Official 


Idea gerakan Geng Subuh Macam Jumaat yang dicetuskan oleh selebriti tanah air, Alif Satar sejak November tahun lepas (2023) kian tular serta mendapat sambutan masyarakat seluruh negara ketika ini.

Pelbagai pihak menyahut seruan menjadi pejuang subuh untuk sama-sama imarahkan masjid dan tidak terkecuali geng-geng motor RXZ.

Bertempat di Masjid Bandar Al-Wathiqubillah, Kuala Nerus, Terengganu, Kelab Permotoran RXZ Members berjaya menganjurkan Program 'RXZ Members Edisi Subuh Warrior' pada 19 Januari 2024.


Sebahagian jemaah yang imarahkan masjid sempena Program RXZ Members Edisi Subuh Warrior di Kuala Nerus, Terengganu bergambar kenangan selepas selesai berjemaah. - Kredit foto: FB RXZ Members - Official 


Melalui perkongsian dalam Facebook RXZ Members - Official, pengendalinya menitipkan ucapan rasa syukur kerana segala perjalanan program RXZ Members Edisi Subuh Warrior dipermudah oleh Allah SWT.

"Alhamdulillah akhirnya dengan izin Allah dipermudah dengan jayanya program RXZ Members Edisi Subuh Warrior.

"Syukur, seramai 2 ribu orang lebih yang hadir menang melawan selimut, tilam yang empuk dam tido yang lena. Dari jauh dan dekat hadir untuk sama-sama kita menjayakan program ini.

"Mudah-mudahan dengan asbab tercetusnya program ini, geng-geng motor di seluruh Malaysia juga boleh laksanakan program seumpama ini di tempat dan kawasan masing-masing juga.

"Terima kasih semua yang terlibat dan kepada semua penaja makanan untuk sesi jamuan subuh tadi, alhamdulillah, semoga anda semua dimurahkan dan dilimpahkan lagi rezeki oleh Allah SWT," katanya.




Sementara itu, memetik laporan media sebelum ini, Alif Satar atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar berkata idea gerakan solat subuh berjemaah beramai-ramai atau lebih dikenali sebagai Geng Subuh Macam Jumaat mula tercetus selepas dirinya hadir ke kelas agama.

Katanya, sewaktu sertai kelas agama ketika itu hangat mengenai isu di Palestin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan pula mengatakan, pihaknya percaya usaha dakwah Geng Subuh Macam Jumaat sangat signifikan, terutama menjelang Ramadan tidak lama lagi.

Bukan hanya mengimarahkan masjid sebagai rumah ibadah semata-mata, ia juga berfungsi sebagai pusat perbincangan intelektual dan kemanusiaan dengan prospek lebih meluas.

Beliau percaya, gerakan mengajak masyarakat ke arah kebaikan menerusi platform media sosial itu adalah kaedah paling berkesan, malah berupaya membentuk individu lebih positif. - KitaReporters



Kredit gambar: FB RXZ Members - Official 

12
12
0
15
0

Copy Link: