Dulu, kini, selamanya! Teratak Bonda Aishah tempat kasih bersemi! Jadi lambang keutuhan keluarga!

Published by
KitaReporters

 

RUMAH pusaka yang kini sudah dirobohkan.


RUMAH kayu berusia puluhan tahun yang sudah usang dan hanya menanti masa untuk rebah ke bumi, kini sudah dirobohkan dan diganti dengan rumah baharu berciri moden kontemporari.

Namun, semangat rumah pusaka yang diwarisi sekian lama tetap kekal dalam jiwa anak-anak Allahyarham Nayan Ahmad dan Allahyarham Aishah Mohd Desa.

Walaupun rumah yang menyimpan pelbagai kenangan itu sudah tiada di depan mata namun keutuhan ikatan persaudaraan keluarga itu tidak sedikitpun tergugat malah makin teguh. 

Sejak kecil, mereka dididik untuk saling sayang menyayangi sesama adik-beradik, senang sama senang, susah dikongsi bersama. Malah, pesanan kedua-dua ibu bapa mereka sentiasa menjadi pegangan walaupun sudah lebih 10 tahun ayah dan ibu berangkat ke alam abadi. 


ALLAHYARHAM Nayan Ahmad dan Allayarham Aishah Mohd Desa.


“Mereka selalu berpesan agar kami adik-beradik hidup dalam berkasih sayang, saling bantu membantu walaupun selepas mereka tiada. Alhamdulillah, walaupun sudah lebih 10 tahun mereka tiada, hubungan kami adik-beradik masih kekal utuh.

“Kalau ada masalah ia hanya ibarat carik-carik bulu ayam, akan kembali bercantum kerana kami sentiasa mengekalkan sikap bertolak ansur dan mencari jalan penyelesaian bersama bila timbul sebarang masalah,” kata Datuk Ramle Nayan yang merupakan abang sulung kepada enam adik-beradik itu.

Bagi Ramle, rumah pusaka itu selain menjadi tempat mereka dibesarkan serta menyimpan pelbagai kenangan, juga banyak mengajar mereka erti kasih sayang.


RUMAH baharu yang dinamakan Teratak Bonda Aishah.


“Kami enam beradik semuanya lelaki, jadi bukan mudah untuk mendidik kami. Tapi, satu nilai hidup yang sering ditekankan oleh ibu bapa kami adalah adik-beradik mesti berlebih kurang.

“Kami daripada keluarga susah, jadi sejak kecil kami dididik untuk berkongsi. Bila makan, selalunya kami kongsi makan bersama. Kalau ada yang tak dapat makan bersama, emak akan ingatkan agar jangan menghabiskan makanan itu sebaliknya simpan sedikit kepada adik-beradik yang belum makan.

“Asas didikan itulah yang menyebabkan hubungan kami kekal rapat sehingga sekarang walaupun masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri,” katanya.


RAMLE (No 3 dari kiri) bersama adik-beradiknya di depan Teratak Bonda Aishah.


Menurut Ramle, rumah pusaka itu memang menjadi lambang ikatan kasih sayang mereka tapi kerana tidak didiami, lama kelamaan anai-anai mengambil alih sebagai penghuni menyebabkan ia sedikit demi sedikit reput.

“Selepas bapa kami meninggal pada 2010 dan emak pula meninggal pada 2014, rumah ini terbiar kosong kerana kami semua sudah ada rumah sendiri. Rumah pusaka itu hanya menjadi tempat kami berkumpul bila balik ke kampung.

“Lama kelamaan ia makin uzur. Walaupun sayang untuk merobohkannya kerana banyak kenangan di situ, tapi kalau dibiarkan begitu saja, akhirnya ia akan runtuh.

“Selepas berbincang adik-beradik, kami bersetuju untuk merobohkan rumah lama dan membina rumah baharu di tapak yang sama,” ujar Ramle.

Rumah baharu yang menelan kos lebih RM100,000 itu dibiayai sepenuhnya oleh Ramle, siap dibina pada Disember 2024 lalu dan dirasmikan pada 29 Disember 2024 oleh beliau sendiri selaku abang sulung.

Ia dinamakan Teratak Bonda Aishah sebagai menghargai kasih sayang ibu mereka Aishah Mohd Desa. Pada masa sama, jasa ayah mereka, Nayan Ahmad tidak pernah dilupakan.


HAMPIR 100 orang generasi Nayan Ahmad dan Aishah Mohd Desa berkumpul untuk majlis tahlil dan doa selamat menyambut Ramadan (2025) pada 22 Februari 2025.


“Sebagaimana fungsi rumah pusaka dahulu, Teratak Bonda Aishah akan menjadi tempat kami adik-beradik serta anak cucu berkumpul, selalunya setahun tiga empat kali kami balik berkumpul di sini.”

Menurut Ramle, menjadi tradisi mereka adik-beradik berkumpul menyambut Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Haji atau jika ada majlis tertentu seperti perkahwinan.

Bagi menyambut bulan Ramadan tahun ini (2025), Ramle dan adik-beradiknya menganjurkan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat pada 22 Ferbruari, 2025 lalu, sekali gus menjadi acara pertama dilangsungkan di Teratak Bonda Aishah.

Majlis itu dihadiri hampir 100 orang ahli keluarga dan 300 orang terdiri saudara mara serta masyarakat setempat. Ia merupakan acara wajib yang dilangsungkan setiap kali menyambut kedatangan bulan puasa. 

Mereka akan sekali lagi berkumpul untuk mengadakan ibadah korban pada sambutan Hari Raya Aidiladha pada Jun, 2025 nanti.



“Inilah cara kami mengekalkan keakraban keluarga yang kini sudah memasuki generasi keempat Nayan dan Aishah. Ia juga secara tidak langsung membolehkan anak cucu kami saling kenal mengenali,” ujar Ramle.

Bagi Rodzalan yang merupakan abang kedua, beliau sangat bersyukur dengan keakraban yang terjalin antara mereka kerana bukan senang hendak menyatukan enam individu menjadi ‘sekepala’ walaupun adik-beradik. Malah beliau bersyukur kerana ipar-duainya juga turut memiliki sifat yang sama menjadikan keluarga mereka sangat harmoni.

“Saya harap ini akan menjadi contoh kepada anak cucu kami bagi meneruskan ikatan kekeluargaan selepas kami tiada nanti.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada abang saya, Ramle dan isterinya, Datin Azmon Abdul Rahman kerana membiayai pembinaan Teratak Bonda Aishah bagi menggantikan rumah pusaka. 

"Ia akan terus menjadi lambang kesepakatan dan kasih sayang kami,” kata Rodzalan. - KitaReporters


 

MAJLIS bacaan Yaasin, tahlil dan doa selamat sempena menyambut kedatangan Ramadan 1446 H (2025).

 

15
17
0
13
0

Copy Link: