Kala cinta memendam rasa. Yang buruk indah di mata. Hilang segala hormat di dada. Lupa pengorbanan ibu bapa. Tapi Allah kan ada! 
Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anaknya hidup susah, semua hendak tengok anak mereka bahagia. Tapi fikiran anak-anak lain pula. Ikut cinta, ikut rasa, nasihat ibu bapa tidak diterima. Sudahnya nikah secara rahsia.
Sampai sekarang tak tahu di mana, tak nampak rupa. Tanpa khabar berita. Lupa dia masih ada ibu bapa. 

Sedih? Nak menangis? Sudah kering air mata. Ringkas kata Hasnah, ibu yang ditinggalkan anak demi cinta.

Semua sudah berlaku. Itu pilihan dia, tambah Hasnah tentang anak bongsunya, Shila yang kahwin lari dengan suami orang. 
Kata Hasnah, dia berkongsi kisah ini bukan untuk aibkan sesiapa, jauh sekali membuka aib sendiri tapi supaya ibu bapa lain tidak menghadapi masalah seperti yang dia dan keluarga alami. 


Semuanya bermula setahun lalu. Shila pada usia awal 20-an telah terjebak dengan cinta kepada suami orang. Usia lelaki itu 43 tahun sama usia abang sulungnya. 
Mereka bertemu dalam satu seminar. Tak sangka hubungan menjadi lebih serius selepas seminar itu. Sebelum itu Shila memang ada teman lelaki yang Hasnah dan suami restu. Sesuai jadi menantu dan suami yang baik. 
“Tapi keadaan menjadi sebaliknya. Shila  putuskan hubungan dengan teman lelakinya tanpa sebab. Terkejut kami. Tambahan pula abang dan kakaknya ternampak banyak gambar dia dan seorang lelaki berumur di IG dan FB,“ cerita Hasnah. 
Menurut Hasnah  bila tanya Shila mengamuk. 
“Suruh kami jangan kontrol hidup dia. Makin lama makin pelik perangainya. Lalu abang-abangnya menyiasat. Betul Shila sedang mabuk cinta dengan suami orang, seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta, bapa 4 orang.“
Sedihnya lagi, Shila macam orang mamai. Perangainya berubah jadi baran, cakap menengking-nengking. Tak boleh tegur langsung. 

Ramai kata dia terkena. Tapi kata Hasnah  dia yakin pada ketentuan Allah. Hidup Hasnah berendam air mata, fikirkan anak bongsu yang tiba-tiba berubah laku. Sedih yang amat. 

Akhirnya Shila  keluar rumah. Abangnya bersemuka dengan lelaki itu. “Dia yang kejar saya, “ katanya mudah. Tak berasa salah langsung. Tak beradab. 
Laporan polis dibuat, tapi tak ada kes sebab Shila yang rela hati mengikut lelaki itu. Segala usaha keluarga gagal, sehinggalah Shila mengirim mesej dengan kata-kata, “Shila dah nikah di sempadan. Jangan cari Shila.“
Kata Hasnah dia pengsan mendapat mesej tersebut. Berhari-hari menangis, kurung diri dalam rumah. Malu kat keluarga dan jiran. Tapi takdir Allah mengatasi segala. Reda. Kepada Allah dia berserah. 
Itu yang dia pilih. Biar dia harung sendiri. Hati Hasnah. Luluh, berderai bagai kaca yang terhempas ke lantai! 
Terima kasih Hasnah kongsi kisah ini. Semoga anda sekeluarga tabah. Menunggu pengakhiran yang indah. Insya-Allah. 


Iktibar daripada kisah ini:
Apa yang berlaku atas kehendak Allah. Reda dan bersabar. Ada hikmah yang Allah lindungi daripada kita. Allah memilih hamba-Nya yang kuat diuji. Allah sayang kita. 
Jangan sedih. Jangan ikut hati. Berdoa banyak banyak. Doa ibu mustajab. Seorang ibu walau hatinya terguris, sayang dan kasih seorang ibu  tetap kukuh. 
Duhai anak anak yang sayang dan kasihkan ibu bapa. Fikir dahulu sebelum bertindak. Ingat masa hadapan, bukan masa sekarang. Ingat dunia akhirat. Ingat buruk baik, ingat dosa pahala. 
Jangan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu. Jangan korbankan diri kerana cinta. Restu ibu bapa penting untuk bahagia sampai syurga. 
Pernikahan bukan sehari dua. Untuk seumur hidup. Ia bukan impian tapi kenyataan. Silap langkah merana berpanjangan. 
Ingat restu ibu bapa sangat penting dalam setiap perhubungan terutama perkahwinan. Tolong hadam wahai anak anak! - KitaReporters

16
16
0
8
0

Copy Link: