Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia dengan sukacitanya hari ini mengumumkan pelantikan Siti Fadilah Mohd Hood sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Islamic Relief Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Menurut Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia, pelantikan itu bagi menggantikan Mohd Shukor Tahir yang telah menamatkan perkhidmatan pada 31 Januari 2025.

Siti Fadilah sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia yang bertanggungjawab merancang, melaksana dan memantau pelaksanaan operasi organisasi.


Siti Fadilah Mohd Hood menyantuni kanak-kanak di Malawi dalam satu misi kemanusiaan pada tahun 2018.


Dengan pengalaman luas dalam bidang kemanusiaan dan kebajikan selama 18 tahun bersama Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah telah menunjukkan kepimpinan dalam aspek penjanaan dana, pemasaran, komunikasi, dan pembangunan program. 

Berkelulusan Ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Biokimia-Bioteknologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Fadilah membuktikan kewibawaannya dalam memacu inisiatif kemanusiaan berimpak tinggi menerusi rekod prestasi yang cemerlang.

Sepanjang berkhidmat di Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah bersama pasukannya berjaya menjalankan beberapa kempen utama merangkumi program bermusim, kecemasan mahupun pembangunan mampan di dalam dan luar negara seperti Rezeki Ramadan, Palestine Appeal, Save Syria, MyYateem, Dana Wakaf Sistem Air, Kecemasan Lokal dan MySedekah.

Selain itu, beliau juga telah mewakili organisasi dalam kumpulan kerja global serta melaksanakan misi kemanusiaan di negara-negara seperti Somalia, Malawi, Bosnia and Herzegovina, Kosova, Turkiye, Jordan dan Bangladesh.

Kepakaran dan komitmen beliau terhadap misi Islamic Relief diyakini dapat memacu usaha organisasi di dalam menyediakan bantuan kemanusiaan yang berkualiti dan mampan.


Siti Fadilah membantu salah seorang penerima manfaat program Harapan Ramadan 2023 di Kampung Menawo Ulu, Keningau Sabah.


"Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pengurusan tertinggi, dan seluruh warga kerja Islamic Relief Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan ini. 

"Dengan kepimpinan dan pengalaman yang dimiliki, Islamic Relief Malaysia yakin Siti Fadilah akan terus memperkasakan organisasi dalam mencapai visi dan misi kemanusiaan yang diamanahkan," kata Syed Saleh. - KitaReporters/Kenyataan Media

22
6
0
14
0

Copy Link: