Peserta sibuk mengambil air baja untuk menanam sayur menggunakan teknik akuaponik.


PERTANIAN adalah bidang ekonomi yang penting terutama bagi membekalkan makanan kepada penduduk sesebuah negara. Jika sesebuah negara hanya menjadi pembeli dan tidak menghasilkan sendiri makanan, ia amat berbahaya jika berlaku peperangan dan sekatan di seluruh dunia.

 Pertanian boleh bermula pada peringkat awal dengan menyediakan kemudahan dan minat bagi masyarakat untuk bertani, lama kelamaan jika diusahakan secara komersial, ia boleh menjadi bidang yang menguntungkan. Pertanian adalah satu perniagaan.


Peserta Program Laman Nazim - Ibrah Daripada Tumbuhan anjuran ISMA bergambar kenangan di hadapan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru, Bangi, Selangor.


Menyedari kepentingan pertanian dalam masyarakat, Biro Keluarga dan Masyarakat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan program Laman Nazim - Ibrah Daripada Tumbuhan, baru-baru ini.

Seramai 80 peserta terdiri daripada anak-anak dan ibu bapa mengambil bahagian dalam program sehari itu. Ia berjaya mendekatkan peserta dengan alam pertanian, kehijauan dan mematuhi tuntutan Allah bagi memakmurkan bumi dengan bercucuk tanah selain melihat kebesaran Ilahi melalui aktiviti tadabbur alam.  

Peserta hanya dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM5 dan mereka diberikan seekor ikan untuk diletakkan dalam kit semaian akuaponik utk dibawa pulang.


Mohd Johaary Abdul Hamid memberi penerangan ringkas mengenai program Laman Nazim sebelum peserta memulakan perlbagai teknik bercucuk tanam secara akuaponik dan semaian. 


Pengarah Laman Nazim, Kebun Bandar, Nur Annisa Abdullah, berkata peserta didedahkan dengan teknik bancuhan tanah dan semaian yang betul, teknik penanaman pokok melalui kaedah akuaponik dan demonstrasi menyiang ikan keli oleh lima fasilitator projek Urban Kit masjid, diketuai AJK Kebajikan Masjid Al-Hasanah, Mohd Johaary Abdul Hamid.

Mohd Johaary adalah pegawai penyelidik kanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) dan ilmu pertanian yang beliau miliki dikongsi bersama peserta dan komuniti.

Menurut Nur Annisa, laman Urban Kit di Masjid Al-Hasanah yang diusahakan sebelum tahun 2020 membantu golongan asnaf dan B40  menjana pendapatan tambahan. 

Ia membekalkan kira-kira 4 kilogram sayur-sayuran sehari kepada kedai makan di sekitar Bandar Baru Bangi. Ia turut memproses ulam-ulaman seperti pegaga untuk dijadikan jus. 


Nur Annisa Abdullah


"Peserta cilik dan ibu bapa amat teruja melakukan aktiviti pertanian tanpa menggunakan tanah kerana selama ini kebanyakan mereka beranggapan untuk bercucuk tanam memerlukan tanah untuk mendapatkan hasil yang banyak.

"Kami gembira melalui aktiviti kebuh bandar ini, peserta lebih menghargai alam semulajadi dan usaha bercucuk tanam. Inilah generasi muda yang mahu kita lahirkan, tidak hanya menjadi seorang pembeli tapi mampu menghasilkan makanan sendiri. 


Pelajar diajar menggunakan bekas telur ayam untuk menyemai benih sayur-sayuran.


"Walaupun program hanya berlangsung sehari, peserta dapat faham bagaimana menyemai pokok walaupun duduk di bandar. Ini sekali gus menanam sifat cinta kepada pertanian dalam kalangan anak-anak

"Melalui kebun bandar, anak-anak lebih rasa bertanggung jawab menjaga alam sekitar dan ekosistem kehidupan. Malah, pembabitan ibu bapa membolehkan mereka dapat meluangkan masa dengan anak-anak dengan cara lebih efektif," katanya lagi.

Nur Anissa berkata, sepanjang program sehari itu, peserta belajar menyemai biji benih menggunakan teknik aquaponik, menyiang ikan keli dan pelbagai perkara lain berkaitan kebun bandar.


Ini cara yang betul menggunakan baja untuk menyemai tanaman.


Ustaz Zaizul Irshadi Zaman.


Program Laman Nazim - Ibrah Daripada Tumbuhan ini telah dirasmikan Yang Dipertua ISMA Bangi, Ustaz Zaizul Irshadi Zaman. Turut hadir, Penolong Setiausaha Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Helmy Rizal Salahuddin.

Pada akhir program, Kelab NAZIM Bangi menyampaikan hadiah kepada peserta paling aktif Banin, Mohamad Ammar Wafi dan Ahmad Mu'tasim. Peserta paling aktif Banat pula dimenangi Nusaibah Ahmad Anwar dan Nur Zulaika. 

 

Dalam kategori kit akuaponik terbaik, ia dimenangi Muhammad Rafiq Adli, Tasnim Azzahra dan Muhammad  Shareef. Manakala bagi kategori ibu bapa terbaik pula dimenangi Nor Fazirah Omar, Edura dan Nur Shafila Zakaria. 

Peserta diajar bagaimana cara mudah bagi menyiang ikan keli.

 

18
16
0
12
0

Copy Link: