Baik punya! Catopia, Taman Kucing Shah Alam tempat riadah kucing! Dibuka 5 Julai 2024 secara percuma!
Published byRumah-rumah kucing yang berwarna warni. - Kredit foto: Gambar-gambar diambil daripada koleksi LAr Khairunnisa Mohd Zaini, Timbalan Pengarah Landskap MBSA
Secara fitrahnya, kucing binatang yang sangat manja, suka kebebasan dan alam semula jadi. Kucing juga suka memanjat dan berlari. Secara lazimnya sifat lincah kucing membuatkan mereka menyukai kawasan luas, bebas dan dapat menikmati cahaya matahari serta kawasan tinggi.
Bagi pencinta kucing yg menjaga kucing di rumah, mereka pasti takut melepaskan kucing di luar rumah sebab bimbang kucing mereka hilang, lari dari rumah, dilanggar kereta atau diculik oleh orang.
Kucing juga berasa stres bila sentiasa tinggal di dalam rumah, manakala pemilik kucing juga dalam dilema tak tahu di mana ada tempat untuk membawa kucing beriadah di luar.
Disebabkan itu, ada berita baik untuk pencinta kucing di Shah Alam dan kawasan-kawasan sekitar Lembah Klang. Pihak MBSA telah menyediakan sebuah tempat riadah kucing yang sangat menarik terletak di Seksyen 14, Shah Alam.
Pengunjung dan pencinta kucing boleh membawa kucing masing-masing beriadah di Catopia, Taman Kucing Shah Alam yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan persekitaran yang indah dan tenang.
Jambatan gantung untuk kucing-kucing bermain.
Catopia adalah sebuah taman kucing di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan diselia serta di selenggarakan oleh Jabatan Landskap MBSA. Menariknya kawasan yang luas seluas 300 meter persegi ini juga di pagar setinggi 1.2 meter untuk ciri keselamatan kucing-kucing yang datang beriadah.
Tempat ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk kucing-kucing menikmati suasana kehijauan, di bawah matahari sambil berlari dan memanjat tempat permainan yang disediakan.
Taman Kucing Shah Alam ini akan dibuka kepada orang ramai pada 5 Julai 2024 ini secara percuma.
Kreativiti MBSA khususnya Jabatan Landskap menyediakan rumah-rumah kucing yang pelbagai bentuk dan warna, jambatan gantung dan terowong kecil sangat dipuji dan dapat menjadi tarikan pengunjung.
Melihat pada infrastrukur yang disediakan di taman kucing ini, ia bakal menjadi taman permainan kucing yang selesa serta syurga riadah bagi kucing-kucing, khususnya yang sentiasa terkurung di dalam rumah.
LAr. Khairunnisa Mohd Zaini
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Landskap MBSA, LAr Khairunnisa Mohd Zaini, taman kucing ini adalah khas untuk pencinta kucing yg mahu masa berkualiti bersama kucing-kucing mereka.
Biasanya kucing-kucing tinggal di dalam rumah seharian, mereka hanya bermain di dalam rumah dan adakalanya dikurung dalam sangkar berjam-jam, secara tidak langsung ini boleh membuatkan kucing-kucing rasa stres.
Oleh itu beliau memberitahu, taman ini direka khas sebagai sebuah taman permainan bagi kucing yang sentiasa terkurung di dalam rumah untuk beriadah dan menikmati suasana bebas di luar rumah.
Di taman ini terdapat pasir tempat buang najis, juga tempat makanan dan minuman kucing yang dahaga dan lapar setelah penat beriadah dan bermain di sana. Uniknya d taman kucing ini juga terdapat rumput-rumput kucing (rumput helikopter) yang biasa dimakan olehg kucing yang sakit atau sebagai penghadaman kepada kucing-kucing ini.
Terdapat 14 rumah kucing berwarna warni dan jambatan gantung serta terowong-terowong kecil untuk kucing-kucing bermain.
Menurut Khairunnisa, Catopia, Taman Kucing Shah Alam ini terletak di kawasan luas di sebuah padang di belakang Hotel Mardiyyah dan di hadapan Muzium Shah Alam di Seksyen 14, Bandar Raya Shah Alam.
Kepada pencinta kucing anda boleh datang ke Catopia dan menikmati suasana riadah yang tenang bersama kucing-kucing kesayangan anda sambil melihat suasana indah taman kucing yang penuh warna warni. Secara tidak langsung taman ini juga boleh menjadi satu aktiviti riadah sekeluarga. - KitaReporters
Kucing menikmati kebebasan bermain di Catopia, Taman Kucing Shah Alam