Sembang-Sembang| Terima kasih abah! Jazakallah abi! Ayah, anda hero di hati kami! Selamat Hari Bapa!

Published by
KitaReporters


“Kasih bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang kehidupan .” 

Apabila mendengar perkataan bapa, ayah, walid, abi, abah, daddy, abuya dan apa sahaja kita terus terbayang pada  karakter tegas, garang, serius dan tidak banyak bercakap kepada seorang lelaki. Karakter bapa juga dilihat sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari rezeki untuk seluruh keluarga. 

Malah kita  selalu terlupa untuk menghargai bapa berbanding ibu yang sering menjadi idola anak-anak kerana kasih sayang mereka yang terlalu menebal. Sedangkan peranan bapa juga hebat dan sama penting dengan ibu. Itu yang kita terlepas pandang! 
Sehubungan itu peranan para ibu dilihat lebih ke hadapan dan besar dalam mendidik, melindungi dan berkorban demi membesarkan anak-anak berbanding para bapa. Sedangkan peranan bapa sebagai tonggak keluarga dianggap sebagai orang kedua dalam kehidupan anak anak. 


Jika Itu andaian anda, kita sebenarnya tersalah menilai akan pengorbanan dan peranan orang tua kita. 
Kedua-duanya mempunyai peranan bersama dan saling melengkapi dalam memastikan rumah tangga dan keluarga mereka berjaya dibentuk dalam keadaan aman dan bahagia.
Tanpa tiang yang kukuh,  sesebuah bangunan akan bergoyang yang mungkin membawa rebah. Demikian juga tanpa susuk bapa yang mantap, bergoncanglah sesebuah keluarga yang mungkin membawa kepada perpisahan dan terlerainya hubungan keluarga. 

Ini kerana, institusi keluarga adalah unit paling asas dan terpenting dalam proses pembentukan masyarakat dan dalam memacu kekuatan sebuah keluarga rahmah. Oleh itu peranan bapa sangat penting dalam membentuk sebuah institusi keluarga yang mantap dan teguh kasih sayangnya.

Peranan dan tanggungjawab seorang bapa tidak boleh dipandang ringan kerana bapa mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai pemimpin, pelindung, pendidik, dan juga pemberi nafkah buat isteri dan anak-anak. 

Malah bapa adalah hero di hati anak anak! Juga penentu arah mewujudkan rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. 



Oleh itu, kedudukan seorang bapa amat dimuliakan dalam Islam sebagaimana kedudukan seorang ibu sehingga diingatkan oleh Allah Taala dalam al-Quran pada Surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”
Malah sifat bapa yang lebih tegas garang dan tidak banyak bercakap menentukan pembentukan nilai-nilai agama, moral, sosial dan disiplin dalam diri anak-anak berbanding ibu yang mudah mengalah. 
Sentiasa perlu diingat bahawa anak-anak adalah ibarat kain suci dan bapa adalah individu yang mencorakkannya selain ibu.
Bapa juga berperanan sebagai pelindung kepada keluarganya. Seorang bapa bertanggungjawab dalam memastikan ahli keluarganya sentiasa berada dalam persekitaran yang sihat dan selamat.
Selain bapa, isteri selaku ibu berserta anak-anak turut mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan keluarga yang dibina sentiasa sejahtera dan bahagia. Sabar dan prihatin juga mestilah sentiasa ada dalam diri untuk membina keluarga yang utuh dan melimpah ruah kasih sayang antara satu sama lain. 


Dan pada 16 Jun setiap tahun Hari Bapa disambut walaupun sebenarnya ia patut dirayakan setiap hari. Namun tidak salah kita meletakkan satu tarikh istimewa untuk meraikannya bersama hero di hati kita. 
Jika pada hari ibu kita boleh membeli hadiah dan membawa ibu makan makan kenapa tidak dibuat sambutan yang sama untuk Hari Bapa. Tunjukkan kasih sayang dan syukur kita kepada bapa atas segala pengorbanan dan didikan serta penat lelahnya membesarkan kita selama ini. 
Bawa mereka keluar. Belikan hadiah. Tidak perlu mahal asal ingat. Gembirakan mereka. Makan dengan gembira seisi keluarga. 
Atau pergi bercuti sambil mengeratkan silaturahim. Tentu atuk seronok dapat bersama cucu, dan anak menantu. 
Alangkah indahnya jika masih ada ibu untuk sama sama merasakan keseronokan tersebut. Nikmat kurniaan Allah yang tidak ada bandingnya dengan apa-apa jua di dunia ini. 
Bagi yang telah tiada bapa dan ibu sedekah Fatihah dan berdoa untuk ketenangan mereka di negara abadi. Sesungguhnya Allah penentu segalanya! 
Selamat Hari Bapa! - KitaReporters

14
13
0
12
0

Copy Link: