Kate Hashimoto menyelongkar tong sampah di kawasan kejiranannya untuk mencari barangan yang masih boleh digunakan semata-mata untuk berjimat. - Kredit foto: Infomalaysia & Viral Video.


SUKAR untuk membayangkan apatah lagi untuk mempercayai terdapat individu yang terlalu obses untuk berjimat sehingga sanggup menyelongkar tong sampah bagi mendapatkan barang-barang keperluan termasuk keperluan asas yang dibuang oleh jiran-jiran.

Namun hakikatnya memang terdapat individu bersikap sedemikian iaitu seorang akauntan wanita berbangsa Jepun, Kate Hashimoto dari New York, Amerika Syarikat yang mendedahkan kisah hidupnya  dalam satu rancangan TLC Extreme Cheapskates yang mampu bertahan dengan perbelanjaan bulanan hanya  AS$200 atau kira-kira RM 829 sahaja.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan New York

Kate Hashimoto.-Kredit foto  : Infomalaysia & Viral Video.


Menurut Hashimoto yang telah tinggal selama tiga tahun di bandar raya New York yang merupakan salah satu bandar raya termahal di dunia,  dia cuba mengelakkan untuk mengeluarkan wang dan sekiranya perlu untuk berbelanja dia akan berusaha untuk membayar seminimum mungkin

“Saya tidak pernah membeli perabot, sebaliknya saya hanya menggunakan perkakas atau perabot rumah yang dibuang oleh jiran-jiran di tepi jalan atau tong sampah berhampiran apartmen tempat tinggal saya.

“Selalunya saya akan mengambil perabot-perabot yang dibuang jiran sebelum lori sampah datang mengangkutnya dan ini membolehkan saya berjimat beberapa ribu dolar untuk membeli perabot baharu,” katanya.

Menurutnya lagi, dia hanya memiliki sofa di ruang tamu yang dihasilkannya sendiri daripada bahan terpakai iaitu bingkai katil kecil beralaskan tilam nipis selain berasa selesa tidur di atas katil bertilamkan span nipis yang dikutip dari jalanan.


Hashimoto turut mendapatkan perabot dari timbunan sampah yang dibuang oleh jiran-jiran di kawasan kejiranannya. - Kredit foto: Infomalaysia & Viral Video.



Dia juga menggunakan susunan buku dan majalah lama yang didapati daripada timbunan sampah di luar asrama sebuah sekolah sebagai meja makan.

Disebabkan terlalu obses untuk berjimat, akauntan bertauliah ini tidak pernah membeli pakaian baharu selama lebih lapan tahun selain tidak menggunakan pakaian dalam baharu sejak tahun 1998 serta enggan menggunakan peralatan mandian.

“Saya mengikuti rapat laman web yang memberikan barangan secara percuma kepada orang ramai dan melalui laman web tersebut saya dapat mengumpul banyak barang keperluan secara percuma seperti ubat gigi, deodoran, pisau cukur dan produk kesihatan.

“Saya lebih selesa mengitar semula tisu yang telah digunakan di tandas awam menggunakan alat pengering tangan kerana saya tidak mahu membazirkan wang untuk membeli tisu tandas dan tisu muka yang merupakan barangan yang akan dibuang,” katanya yang juga menyifatkan tidak berbaloi untuk membeli peralatan mandian itu.


Bukan sekadar perabot dan keperluan lain, Hashimoto turut mendapatkan makanan yang dibuang oleh restoran dan pasar raya di kawasan kejiranannya. - Kredit foto: Infomalaysia & Viral Video.


Lebih pelik lagi, Hashimoto tidak mencuci pakaiannya di kedai dobi, sebaliknya dia menggunakan tandas awam untuk membasuh pakaian semata-mata mahu menjimatkan wang sebanyak AS$3 (RM12) sekiranya menggunakan mesin basuh dobi dan kali terakhir dia betul-betul mencuci pakaian adalah tiga tahun lalu.

Hashimoto turut mengakui dia juga enggan mengeluarkan wang untuk membeli makanan buat diri sendiri dan hanya akan keluar makan bersama-sama rakan-rakan sekiranya rakan-rakannya bersetuju untuk membelanjanya.

Dia juga sanggup menyamar sebagai gelandangan pada sebelah malam hanya untuk menyelongkar beg sampah di luar restoran atau pasar raya di kawasan kejiranannya kerana dia mendapati kedai-kedai tersebut sering membuang banyak makanan berkualiti tinggi serta makanan siap dimasak.

“Saya hanya menggunakan makanan yang didapati dari tong sampah yang masih berada di dalam bekas yang bertutup bagi mengelakkan termakan kotoran.

“Dengan cara ini saya boleh berjimat dengan banyak di mana saya hanya perlu membelanjakan sekitar AS$200 (RM829) sebulan berbanding kos sebenar sekitar AS$1,300 (RM5,385),” katanya yang turut  menggunakan tandas awam untuk membersihkan diri dengan menggunakan sabun dan sebotol air semburan. - KitaReporters


Hashimoto juga tidak mencuci pakaian di dobi, sebaliknya mencuci pakaian sendiri di tandas awam. - Kredit foto: Infomalaysia & Viral Video

5
11
0
18
0

Copy Link: