SEBELUM bulan Ramadan lalu, pelakon dan pelawak Noorkhiriah Ahmad Shapie, 41, berjanji untuk menjadikan kereta serba guna (MPV) berjenama Hyundai miliknya sebagai van jenazah sebagai saham akhirat. Ketika itu sebahagian masyarakat menganggap pelakon ini hanya berlawak atau sengaja hendak membuat sensasi. : KitaReporters


Ramai yang beranggapan takkanlah Noorkhiriah sanggup menyerahkan sebuah kenderaan MPV  kesayangannya  bernombor plet WDV 414 untuk dijadikan van jenazah,

Tetapi hasrat itu kini menjadi kenyataan. 

Melalui Instagramnya @kiriah17 pelakon ini menyatakan MPV yang sudah diubah suai itu siap sedia untuk beroperasi secara percuma.

Bagi pihak yang ingin mendapatkan khidmat percuma itu boleh menghubungi talian 012-2058005/012-8005996 (Faizul) seperti yang tercatat pada bahagian belakang van jenazah itu.

Kerja pengubahsuaian van jenazah itu dilakukan dengan bantuan sumbangan amal sejumlah pihak.

Menurut Noorkhiriah, hasratnya untuk menyediakan perkhidmatan tersebut itu mula digerakkan pada Ramadan lalu selepas mendapat sokongan dan dorongan daripada suaminya, Azfaizal Ahtan.


"Sebenarnya dah terdetik lama nak buat benda ni. Cuma, sebelum ini rasa macam on off, sampailah bulan Ramadan yang lepas ni, terdetik dan beritahu suami. 

"Jadi, dialah yang banyak beri sokongan dan galakan kerana katanya, Insya-Allah, niat ikhlas ni Allah akan bantu permudahkan.. akan ada lah rezeki tu nanti," katanya.

Menurut Noorkhiriah sejak dikongsikan dalam media sosial, sudah ada pihak yang mula bertanya mengenai perkhidmatan van jenazah tersebut. 

"Ada yang tanya saya kalau ke utara boleh percuma ke.. nak cakap lebih-lebih pun saya tak berani, tak tahu apa akan jadi masa akan datang. 

"Apa yang saya boleh katakan sekarang, kalau dah percuma tu, percumalah. Cuma, saya mohon agar Allah murahkan rezeki saya dan suami untuk terus bantu semua orang," katanya. 

Selain tidak mengenakan biaya pengangkutan, kos petrol turut ditanggung oleh Noorkhiriah. 

Langkah yang dilakukan oleh pelakon drama ‘Nur 1 dan 2’ ini mendapat sokongan para netizen termasuk golongan artis antaranya Azhan Rani dan Zarina Zainuddin.

Nurkhiriah semakin mendalami agama dan melakukan kerja amal selepas berusia 40 tahun.

Dia yang mula berlakon pada 1999 kini hanya menerima tawaran berlakon jika watak dan jalan ceritanya tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Sebagai salah satu sumber pendapatan Noorkhiriah menjalankan beberapa perniagaan secara dalam talian. - KitaReporters

1
0
0
0
0

Copy Link: