GAMBAR hiasan... Kucing yang dipercayai berada di sisi bayi perempuan. - Kredit foto: Logesdo/Pixabay


MEOW! Meow! Meow! Bunyi bising sekumpulan kucing telah menyelamatkan nyawa seorang bayi perempuan yang dibuang di tepi longkang di Mumbai, India sebelum diketemui seorang penduduk tempatan pada 14 November 2021 lalu.

Bayi tersebut dipercayai berusia lima hari dikatakan telah dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum dijumpai seorang yang kebetulan melalui jalan di kawasan longkang itu selepas mendengar suara jeritan beberapa ekor kucing yang sedang berada di sisi bayi itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bayi

PEGAWAI polis Mumbai sedang mendukung bayi perempuan berusia lima hari yang ditemui seorang penduduk di tepi longkang. - kredit foto : Times of India


Sebelum itu, penduduk terbabit mendengar suara jeritan kucing yang bising itu menyebabkan dia menghampiri tempat berkenaan dan mendapati seorang bayi yang baru dilahirkan lalu melaporkan kepada pihak polis.

Ketika pihak polis tiba di lokasi tersebut, bayi perempuan itu berpakaian baju nipis berada di tepi longkang dalam keadaan kesejukan dan terdapat kesan lebam pada tubuhnya sedang menangis.

Dua anggota polis mengambil bayi itu kemudian diselimut dengan sehelai kain sebelum dihantar ke Hospital Rajawadi dan keadaan bayi itu kini dilaporkan stabil.


BAYI perempuan yang diselimut dengan kain putih dihantar ke Hospital Rajawadi untuk rawatan selanjutnya. - Kredit foto : Times of India.


‘’Polis masih siasat punca kejadian dan siapa yang membuang bayi itu tidak diketahui lagi sama ada ibu bapa bayi malang yang terbabit dengan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan,’’ kata seorang pegawai polis di Sheetal Sonawane kepada akhbar Times of India pada 15 November 2021 lalu.

Insiden itu telah mendapat perhatian orang ramai dalam media sosial dan gambar yang diambil oleh polis memaparkan seorang pegawai polis memegang bayi perempuan yang ditemui di tepi longkang dibalut dengan kain putih.

Polis Mumbai setakat ini tidak boleh membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian itu kerana terdapat kes-kes sebelum ini yang melaporkan pembuangan bayi perempuan biasanya dilakukan oleh ibu bapa bayi terbabit yang kecewa kerana tidak dikurniakan anak lelaki sewaktu bersalin.

Budaya seumpama itu dikatakan masih berlaku lagi di negara India sehingga kini dan kejadian yang sama membabitkan bayi perempuan itu dianggap sudah menjadi kebiasaan.


BAYI perempuan ditemui menangis dalam kesejukan selain terdapat lebam pada badannya kini dilaporkan stabil dirawat di hospital. 


Berdasarkan kes-kes yang lepas, pembuangan bayi perempuan berlaku kerana dikatakan ibu bapa bayi terbabit menghadapi masalah yang besar apabila mempunyai anak perempuan bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Dua tahun lepas (2019), seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan ditemui masih bernyawa lagi selepas ditanam hidup-hidup di dalam periuk tanah di Bandar Bareily, Uttar Pradesh.

Sebelum itu, pada 2016, seorang bayi ditemui di dalam beg pelastik tanpa pakaian di New Delhi, India. 

Pada bulan Jun 2021 lalu, seorang pengusaha bot telah menyelamatkan seorang bayi perempuan yang ditemui terapung-apung di permukaan air di dalam sebuah kotak kayu di Sungai Gangga. - KitaReporters


18
14
1
10
0

Copy Link: